Mangsa banjir lumpur cerita detik cemas
Mangsa banjir lumpur cerita detik cemas | CAMERON HIGHLANDS - "Kami terkurung di dalam rumah kerana pintu tak dapat dibuka, ketika itu air terus melimpah masuk sehingga paras dada," kata Shaifa Jamil seorang daripada 54 penduduk yang dipindahkan apabila rumah mereka di Lembah Bertam musnah dalam kejadian banjir kilat awal hari ini.
Shaifa, 19, yang ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini, berkata ketika kejadian beliau dan ibunya berada di dalam rumah manakala ayah dan abangnya berada di luar rumah.
Menceritakan kembali detik cemas yang dialami itu, beliau berkata siren kecemasan dibunyikan dua kali sebelum beliau ternampak kayu balak dibawa arus.
"Tak sampai dua minit air terus melimpah masuk ke dalam rumah dan saya tidak sempat nak selamatkan harta benda," kata pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata itu.
Shaifa berkata, ayahnya terpaksa memecahkan tingkap untuk mengeluarkan beliau dan ibunya yang terperangkap di dalam rumah mereka itu.
"Arus deras menyebabkan barang-barang terpelanting dan menyukarkan kami untuk menyelamatkan diri," katanya yang mengalami sedikit kecederaan akibat terpijak objek tajam.
Beliau berkata, sebelum ini banjir pernah berlaku di Lembah Bertam namun kejadian kali ini adalah paling buruk.
"Walaupun tidak dapat menyelamatkan harta benda, yang penting saya bersama ibu, ayah dan abang selamat," kata Shaifa.
Sementara itu Mohd Esswandy Zubir, 21, berkata hampir semua rumah di kawasan itu musnah akibat limpahan air dari empangan Sultan Abu Bakar.
"Telefon bimbit dan barang keperluan lain termasuk sijil tidak dapat diselamatkan tetapi dokumen pengenalan diri dapat diselamatkan kerana dari awal lagi ibu saya telah menyimpannya," kata lepasan diploma Politeknik Muadzam Shah, Rompin Pahang itu.
Mohd Esswandy yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu bersyukur kerana selamat daripada tragedi buruk itu.
Beliau berkata kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan adalah warga tempatan dan kawasan kediaman berhampiran rumahnya mempunyai enam keluarga Melayu.
Kejadian arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan penduduk di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.
Kejadian kira-kira 1 pagi itu turut menyebabkan dua rakyat asing dan seorang warga tempatan maut, seorang lelaki tempatan cedera manakala seorang lagi rakyat asing masih hilang.
Seramai 54 penduduk dari 12 keluarga kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet dan operasi mencari dan menyelamat wanita Indonesia yang dilapor hilang itu akan diteruskan esok. - Bernama
0 komentar:
Posting Komentar