Sorotan Kejutan & Kontroversi Industri Hiburan Tempatan Sepanjang 2013
Sorotan Kejutan & Kontroversi Industri Hiburan Tempatan Sepanjang 2013 | WALAUPUN lembaran 2013 masih berbaki lebih dua bulan lagi, namun sepanjang tahun ini terlalu banyak kejutan dan kontroversi yang telah tercipta dalam industri seni hiburan tempatan.
Malah pada pemerhatian penulis, tahun ini merupakan tahun yang penuh debaran dan kejutan dalam dunia selebriti.
Boleh dikatakan sepanjang tahun ini, lebih banyak kontroversi yang terpalit berbanding kejayaan dan pencapaian artis tempatan.
Mana tidaknya, bukan sahaja kontroversi melibatkan masalah disiplin, malah ia turut disertakan dengan penyalahgunaan dadah, kahwin rahsia, berperang dengan ibu dan bapa sendiri, skandal, percintaan, dan jenayah sabotaj filem yang pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman.
Menyelak kontroversi demi kontroversi yang tercipta, ada beberapa kisah yang tidak disangka turut terjadi kepada golongan artis yang juga mempunyai kelompok peminat yang tinggi.
Membuka lembaran 2013, industri dikejutkan dengan penangkapan pelakon dan model, Zarina Anjoulie Lavocah, bersama rakannya yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Walaupun ia bukanlah kontroversi pertama daripada pelakon seksi ini, namun penangkapan itu membawa imej buruk kepada industri dan kariernya.
Pun begitu, Zarina mengakui tidak bersalah di Mahkamah Majistret, atas tuduhan memiliki dadah jenis Eramin 5 seberat 0.6 gram.
Sebelum ini, Zarina pernah ditangkap polis dalam Ops Perayaan Tahun Baru Cina, pada tahun 2010 di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) kerana disyaki mengambil dadah.
Ketika itu, pelakon drama Anak Pontianak ini, mengaku mengambil dadah jenis ketamin dan syabu, sebelum menjalani ujian air kencing.
Berhubung kes penangkapan ini, Presiden Seniman, Zed Zaidi, menegaskan sekiranya pelakon itu disabit kesalahan, dia boleh dibuang daripada keahlian Seniman.
Skandal Adi Putra
Ramai terkejut apabila pelakon kacak, Adi Putra, dikaitkan berskandal dengan isteri orang.
Kontroversi ini mula menjadi perhatian apabila laporan polis yang dibuat suami wanita itu tersebar di laman internet. Dalam laporan itu, pelakon filem, ku Terima Nikahnya, ini didakwa berkongsi gambar lucah ketika berada di Tanah Suci mengerjakan umrah.
Pun begitu, Adi dan isterinya, Aida Yusof, tidak berdiam diri dan turut membuat laporan polis.
Namun, sehingga kini keputusan mengenai kes itu belum diketahui apabila ianya masih disiasat.
Walaupun lelaki yang juga ahli perniagaan berasal dari Johor itu tampil membuat pengakuan di dada akhbar dan rancangan hiburan, Melodi, namun baik Adi mahupun Aida, masing-masing bertindak mengunci mulut.
Katanya, mereka tidak mahu kenyataan itu mengganggu urusan siasatan polis. Sekiranya keputusan diketahui, barulah mereka akan bersuara.
Cinta Shila-Sharnaaz tak direstui
Setelah setahun menyulam kasih, akhirnya cinta pasangan selebriti, Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah, kecundang di tengah jalan pada Februari lalu.
Bukan kerana orang ketiga, namun campur tangan bapa Shila, ND Lala, akhirnya memaksa mereka memutuskan hubungan yang tidak direstui itu.
Kisah mereka menjadi perbualan ramai apabila Shila melarikan diri dari keluarganya sehingga ND Lala membuat laporan polis.
Cuba menyelamatkan cintanya, Shila menghantar luahan hati berbentuk emel ke media agar dapat menjernihkan keadaan.
Namun akhirnya Sharnaaz mengambil langkah untuk berundur dan melupakan Shila.
Afiq Muiz dilabel 'Tanggang'
Mei lalu, masyarakat digemparkan dengan kenyataan ibu pelakon baharu, Afiq Muiz yang mendakwa anaknya itu menderhaka dan membuang keluarganya setelah berjaya.
Tidak berdiam diri, Afiq tampil ke hadapan dan menafikan tuduhan dilemparkan kepadanya menerusi sidang media bersama pelakon, Eina Azman.
Bermula saat itu, timbul pelbagai kisah tidak enak berhubung masalah keluarga pelakon ini dan turut melibatkan campur tangan pihak luar.
Pengakuan Afiq tidak membawa kepada jalan penyelesaian apabila ramai yang bertindak mengecam tindakan Afiq yang dilihat memburukkan ibunya persis 'Tanggang'.
Malah, Afiq juga turut diboikot media dan stesen televisyen yang menolak kemunculannya di kaca televisyen dalam tempoh terdekat itu.
Namun, sejak kes itu hangat diperkatakan, Afiq mengakui, dia kerugian berpuluh ribu ringgit garagara tidak menerima sebarang tawaran lakonan sehinggakan Afiq bertindak memohon maaf kepada ibunya di atas kesilapannya itu
KL Gangster 2 disabotaj!
Pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman negara, filem terbaru arahan, Syamsul Yusof, KL Gangster 2, disabotaj dan tersebar dua bulan lebih awal dari tarikh tayangan di pawagam.
Penyebaran ini berlaku setelah ada pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem aksi prekuel KL Gangster itu hingga membolehkan peminat menonton karya tersebut di internet.
Malah, ia menyaksikan 'perompak seni' tanpa segan silu menjual filem ini dalam bentuk video cakera padat (VCD) dengan harga serendah RM5. Masih lagi ditayangkan bermula 3 Oktober lalu, filem ini berjaya meraih RM4.55 juta setakat ini.
Walaupun disabotaj lebih awal, namun filem ini dilihat masih boleh memberi pulangan modal dan berjaya mencapai sasaran iaitu RM7.5 juta
Cinta tiga segi Puteri Sarah, Ammar Alfian & Syamsul Yusof
Setelah bertahun menyulam cinta, akhirnya pasangan selebriti, Puteri Sarah Liyana dan Ammar Alfian, nekad memutuskan hubungan.
Akui Puteri Sarah, perpisahan itu adalah jalan terbaik buat mereka apabila masing-masing mengakui tiada lagi keserasian antara satu sama lain.
Pun begitu, pelakon dan model, Ammar Alfian tidak berpuas hati dengan keputusan itu apabila cinta Puteri Sarah mula beralih kepada pengarah muda, Syamsul Yusof.
Mendakwa bekas kekasihnya itu mula menjalinkan hubungan cinta bersama anak penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, Ammar bertindak menyerang mereka menggunakan media sosial.
Walaupun dimaki dan dihentam teruk dengan kata-kata yang kurang bijak, namun Syamsul membalas kenyataan itu dengan cara yang berhemah.
Turut menafikan hubungan istimewa bersama Puteri Sarah, Syamsul menyusun satu pertemuan untuk meleraikan persengketaan itu agar tidak terus berlanjutan.
Perang Farid Kamil & ibu mertua
Walaupun isu mengenai kelahiran bayi pertama mereka di Australia, masih belum reda, pelakon, Farid Kamil tampil mendedahkan kontroversi baharu.
Menerusi akaun Twitter rasmi miliknya, pelakon ini meluahkan perasaan berkaitan masalah dengan ibu mertua.
Bait-bait tulisannya itu berhubung rapat dengan kepincangan hubungan bersama ibu isterinya, Diana Danielle. Malah, setibanya Farid bersama Diana dan anak di ibu kota, Farid meletakkan syarat kepada ibu mertua jika mahu menziarahi anak dan isterinya.
Pun begitu, baik Farid mahupun ibu Diana, mereka masing-masing enggan mendedahkan punca sebenar masalah mereka berdua
Fizz Fairuz curangi Almy Nadia
Tujuh tahun, bukanlah tempoh waktu yang singkat dalam percintaan, malah segala pahit manis sudah sebati dikongsi bersama.
Namun, sekelip mata, hubungan yang dibina bersama hancur apabila pelakon, Fizz Fairuz mengikat tali pertunangan bersama wanita lain walaupun masih bergelar kekasih Almy Nadia.
Walaupun terkejut dengan keputusan itu, pelakon, Almy sudah menduga dari awal perubahan Fizz yang dikatakan semakin menjauh darinya.
Pun begitu, ALLAH Maha Kuasa, pertunangan Fizz bersama gadis bernama, Azlyn Massiela Mohd Nazar, hanya bertahan seminggu sahaja apabila wanita itu dikatakan isteri orang.
Walaupun Fizz beberapa kali memohon maaf di atas kesilapannya terhadap Almy, namun akui Almy hatinya sudah tawar dan itu semua adalah hukum karma buat kekasihnya itu.
Pun begitu, ternyata cinta Almy buat Fizz terlalu kuat dan pelakon ini sedia menerima Fizz kembali apabila Fizz mendedahkan akan mengahwini Almy pada tahun hadapan
Nikah dua kali Aeril Zafrel & Wawa Zainal
Masih menjadi perbualan hangat, pernikahan rahsia pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, mengundang pelbagai kontroversi.
Aeril dan Wawa bernikah kali pertama pada 25 Februari 2012 mengikut syariat Islam. Pun begitu, mereka bernikah buat kali kedua pada 5 Februari lalu, apabila Wawa hamil pada Disember 2012.
Pernikahan pertama dikatakan tidak sah mengikut undang-undang Negara Malaysia dan sekiranya tidak bernikah sekali lagi, perkahwinan itu gagal didaftarkan dan anak dilahirkan tidak boleh ber'bin'kan Aeril.
Walaupun tampil memberi penjelasan mengenai pernikahan dua kali mereka, namun setiap hari, ada sahaja kontroversi timbul. Pada sidang media tersebut, Wawa memberitahu tindakannya kerana menghormati pendirian pemilik Metrowealth International Group (MiG), David Teo serta kontrak yang ditandatanganinya.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar