Inilah Balasan Terhadap Ugutan Bunuh Ibu
Inilah Balasan Terhadap Ugutan Bunuh Ibu | KOTA BHARU - Tindakan luar batasan seorang anak yang mengugut bunuh ibunya dengan parang terbalas apabila dihukum penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Mohd Al-Fattah Mat, 29, dari Wakaf Mek Zainab, di sini.
Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan itu mengaku salah mengugut bunuh Sabariah Jusof, 57, sehingga menimbulkan ketakutan kepada mangsa di rumah mereka di Wakaf Mek Zainab, di sini, jam 9 malam, 13 Ogos lalu.
Kejadian berlaku sejurus tertuduh menuduh ibunya itu menyembunyikan isteri dan anaknya, walhal mereka telah melarikan diri berikutan tidak tahan kerana sering dipukul lelaki itu.
Ibunya yang bimbang perkara buruk berlaku bertindak membuat laporan polis yang membawa penahanan tertuduh sehari selepas kejadian.
Sebelum hukuman diputuskan, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana insaf dan memiliki dua isteri, manakala ibu pula perlu menerima rawatan akibat penyakit kencing manis.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal dengan alasan tidak mahu kes sama berleluasa.
Nik Habri kemudian menasihatkan tertuduh supaya memohon maaf kepada ibunya sejurus tamat menjalani hukuman itu kelak.
“Jadikan kes ini sebagai pengajaran dan jangan ulangi lagi,” katanya. Beliau juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar