Searching...
Sabtu, 19 Oktober 2013
23.18 0

'Aeril, Wawa minta campur tangan Seniman'


'Aeril, Wawa minta campur tangan Seniman' | "SAYA keluarkan kenyataan setelah mendapat aduan daripada Aeril dan Wawa berhubung kontrak tersebut!" kata Presiden Seniman, Zed Zaidi berhubung tindakannya menyelar isi kandungan kontrak syarikat produksi, Metrowealth International Group (MIG).

Menurut Zed, sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut, pihak Seniman menerusi Biro Aduan telah menerima laporan daripada pasangan suami isteri itu berhubung kontrak yang ditandatangani Wawa Zainal sepanjang bergelar artis residen MIG.

"Baru-baru ini, Wawa dan Aeril datang berjumpa saya untuk membuat laporan mengenai kontrak tersebut. Malah, saya dimaklumkan, kontrak yang ditandatangani Wawa masih berada dalam simpanan MIG.

"Saya pelik, kenapa MIG tidak memberi salinan kontrak kepada artis yang bernaung di bawah syarikatnya? Ada juga dalam kalangan artis yang tidak pernah diberi kontrak sehingga tamat kontrak mereka. Ia adalah hak artis! Bila dah timbul kes begini, mulalah bertindak mendedahkan kontrak.

"Saya tidak bertindak terburu-buru apatah lagi berada dalam keadaan tidak waras kerana saya telah mengkaji kesemua bukti yang ada terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata," katanya yang turut menghantar surat rasmi kepada MIG untuk berbincang mengenai perkara ini.

Zed juga berharap pihak MIG segera memberi tarikh untuk perbincangan itu agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya berharap, Seniman dan MIG dapat bertemu mata pada minggu hadapan. Sebagai Presiden, saya perlu menyiasat apabila menerima aduan daripada ahli Seniman.

"Pertemuan itu akan membincangkan mengenai kontrak, kandungan perjanjian di klausa 4.3 dan memohon agar salinan kontrak artis diberi ketika proses tandatangan.

"Saya dimaklumkan kebanyakan artis tidak diberi salinan kontrak ketika proses menandatangani kontrak dibuat. Jadi, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan atau isi kandungan itu diubah, ada baiknya kontrak itu diserahkan secepat mungkin," katanya yang

Lapor Suhakam

Serius dalam perkara ini, Zed turut memberitahu tindakan seterusnya akan dilakukan sekiranya MIG gagal menyelesaikan perkara ini dengan lebih berhemah.

Katanya, sekiranya perbincangan bersama MIG gagal mencapai kata putus, Seniman akan membawa perkara ini ke muka pengadilan dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).  

"Saya mahu MIG memansuhkan undang-undang di klausa 4.3 yang membawa maksud di mana artis di bawah label MIG tidak dibenarkan bercinta. Ia sama seperti mencabul hak asasi manusia dalam soal peribadi.

"Sepatutnya, undang-undang sebegitu tidak perlu ada kerana ia adalah soal peribadi dan tidak boleh di campur adukkan dalam soal kerja. Soal jodoh, maut dan rezeki, semuanya di tangan Tuhan.

"Walaupun dalam kontrak tidak di hurai secara spesifik, namun ia lebih kurang sama maksudnya seperti itu. Ini adalah pengajaran kepada artis-artis baru di mana mereka perlu meneliti kontrak sebelum menandatangani," katanya yang memberitahu kontrak yang dibuat lebih menguntungkan syarikat.

Artis dimanipulasi

Memandang serius berhubung perkara ini, Zed berkata, Seniman juga bakal mengadakan mesyuarat bersama Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) untuk membincangkan lebih lanjut berhubung isu kontrak artis.

Katanya, bukan sahaja MIG, malah hampir kesemua syarikat produksi tempatan 'mengikat' artis dengan kontrak yang mengarut.

"Saya pernah bergelar artis dan saya pernah melalui perkara ini. Satu ketika dahulu, saya ada menerima kontrak daripada produksi. Namun, dalam kontrak itu ada menyebut, sekiranya artis itu mempunyai masalah disiplin seperti lewat tiba di lokasi, produksi akan memotong gaji serta bayaran yang diterima.

"Tapi, bila saya mempersoalkannya, produksi itu gagal memberikan jawapan yang bernas. Jadi, saya tidak tandatangan kontrak itu. Saya lihat, kontrak yang dibuat lebih memihak kepada produksi sahaja sedangkan artis terus-menerus dimanipulasi.

"Saya tidak boleh membiarkan perkara ini dari terus berleluasa sehingga menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari. Malah, artis juga paranoid dengan kontrak mereka sendiri," katanya lagi.-sinar harian

0 komentar:

Posting Komentar