Searching...
Tampilkan postingan dengan label tempatan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label tempatan. Tampilkan semua postingan
Rabu, 13 Agustus 2014
19.51 0

Budak Perempuan Hamil 9 Bulan Selepas Dirogol Oleh Bapa Saudara

sekadar gambar hiasan

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengandung sembilan bulan selepas beberapa kali dirogol bapa saudaranya di rumah mangsa di Bagan Sungai Burung, Sungai Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, mangsa yang tidak lagi bersekolah itu dipercayai dirogol sejak awal Disember tahun lalu ketika ibu dan bapa mangsa tiada di rumah.

Menurutnya, mangsa dipercayai dirogol setiap bulan oleh suspek yang tinggal di Hutan Melintang, Perak dan kali terakhir kejadian itu berlaku pada Julai lalu.

“Mangsa mula dirogol bapa saudaranya itu ketika usianya masih 11 tahun dan kandungannya kini memasuki usia sembilan bulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, suspek sebelum ini berjanji ingin berkahwin dengan mangsa, bagaimanapun mangsa seakan-akan tertipu dengan kata-kata manis bapa saudaranya itu selepas mereka menjalin hubungan terlarang.

“Ibu bapa mangsa terkejut selepas mendapati anaknya mengandung dan mangsa telah menceritakan kejadian terbabit kepada kedua-dua orang tuanya,” katanya.

Katanya, mangsa yang menerima rawatan di Klinik Desa Sungai Burung kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar sebelum satu laporan polis dibuat seorang jururawat atas arahan seorang doktor pakar di klinik kesihatan terbabit.

Sehingga kini katanya, polis sedang memburu suspek bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam kejadian berasingan katanya, seorang pelajar dari Pasir Mas, Kelantan dirogol di dua tempat berasingan di daerah ini oleh seorang abang angkatnya yang dikenali menerusi aplikasi SMS Koloni.

Katanya, kejadian berlaku pada 4 Ogos lalu selepas mangsa mengikut suspek berusia 25 tahun itu dari KLIA ke rumah lelaki itu di Sungai Besar.

"Dalam perjalanan ke Sungai Besar itu, mangsa dan suspek tidak terus pulang ke rumah sebaliknya mereka menginap di sebuah hotel di Sekinchan sebelum melakukan hubungan terkutuk itu pada waktu malam hari yang sama.

“Keesokannya, mangsa dibawa ke rumah suspek di Taman Padu Permai Sungai Besar dan sekali lagi melakukan perbuatan itu pada 7 Ogos lalu di bilik tidur di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Noor Mushar memberitahu, mangsa dihantar pulang oleh suspek di Perhentian Bas Klang pada 8 Ogos lalu untuk pulang ke rumahnya di Kelantan.

“Hasil siasatan mendapati ibu mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di KLIA pada 4 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, mangsa memaklumkan kepada ibunya menerusi SMS dia mengikut rakannya dan akan pulang dengan selamat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah beberapa kali didesak ibunya selepas kehilangannya selama empat hari, akhirnya mangsa mengaku dia telah dirogol suspek dan membuat laporan polis di Pasir Mas, Kelantan.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.-sinar harian
Senin, 31 Maret 2014
17.56 0

Najib Tidak Pernah Sebut Terhempas

Najib Tidak Pernah Sebut Terhempas


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan "terhempas atau tiada yang terselamat" semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
   
Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri HishammuddinTun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.
   
"Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.
   
Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.
   
Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi".
       
Pengumuman itu mencetuskan kekecewaan di kalangan sanak saudara penumpang dan anak kapal terbabit dan menggesa kerajaan supaya memberikan keterangan konkrit dalam dapatan mereka.
   
Pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 12.41 tengah malam.
   
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.
   
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha mencari sebarang serpihan yang dicerap satelit berkemungkinan berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines itu akan diteruskan.
   
Walaupun serpihan yang ditemui di Lautan Hindi didapati tidak berkaitan dengan pesawat malang itu, Hishammuddin berkata tiada garis masa bagi operasi mencari.

"Kami perlu berlaku adil kepada anggota keluarga (penumpang dan anak kapal). Buat masa ini usaha itu tidak akan dikurangkan. Apa yang berlaku selepas ini, kami telah berbincang tetapi ia tidak sesuai untuk berkongsi dengan orang ramai untuk berlaku adil kepada anggota keluarga," katanya.
     
Semasa sidang akhbar itu, beberapa media asing meminta Hishammuddin menjelaskan maklumat grafik mengenai tindakan MH370 berpatah balik yang diberikan semasa taklimat kepada keluarga penumpang di Beijing.
   
"Saya tidak boleh sahkan. Saya tidak akan berdebat mengenai perkara itu di sini. Taklimat dengan keluarga itu diadakan secara tertutup," jawab Hishammuddin.
   
Bagi setiap soalan teknikal mengenai MH370, Hishammuddin mengulangi bahawa ia hanya boleh dijawab apabila kotak hitam itu ditemui.
   
"Masa semakin suntuk, untuk isyarat itu keluar daripada kotak hitam, jika ia memang di selatan Lautan Hindi," katanya.
   
Hishammuddin juga berterima kasih kepada pihak berkuasa Australia atas kerjasama dan komitmen mereka mengetuai operasi mencari di koridor selatan.
   
"Saya mahu bukan sahaja untuk berterima kasih tetapi memohon mereka meneruskannya di sebalik pelbagai cabaran dan jaraknya. Tetapi setiap hari saya lihat mereka tidak mengecewakan kita terutama anggota keluarga," katanya. - Bernama
17.55 0

Kerajaan Tidak Pernah Sorok Apa-Apa

Kerajaan Tidak Pernah Sorok Apa-Apa


Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah merahsiakan sebarang maklumat atau maklumat baharu yang diperoleh.

Menurutnya, persoalan yang dilontarkan oleh keluarga penumpang MH370 adalah persoalan yang sama dimiliki oleh kerajaan.

"Pihak kerajaan tidak ada jawapan kepada persoalan demi persoalan yang diajukan oleh keluarga penumpang MH370, kerana itu juga persoalan kerajaan dan kami masih belum menerima jawapan kepada persoalan tersebut.

"Soalan yang ditanya sebahagian daripada siasatan, kami tak boleh bagi sebarang kenyataan semasa siasatan sedang berjalan," katanya.

Dalam pertemuan yang berlangsung antara beliau dan pihak keluarga penumpang MH370 semalam, beliau mengakui ianya merupakan satu pertemuan yang paling sukar dalam hidupnya.

Beliau turut berjanji akan meneruskan misi mencari MH370 dan merungkai misteri kehilangan pesawat terbabit.

"Pihak kerajaan amat berterima kasih kepada pihak keluarga yang mahukan bukti kukuh sebelum mempercayai sebarang dakwaan atau spekulasi, kami tidak akan menghentikan siasatan sehingga MH370 ditemui," katanya.-sinar harian
17.52 0

Jambatan Kedua Pulau Pinang Berhantu?

Jambatan Kedua Pulau Pinang Berhantu?


Segelintir penduduk di sini gempar apabila tersebarnya dua keping gambar mengenai kejadian penemuan pocong di tengah-tengah Jambatan kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Shah.

Pengguna laman sosial, Rahimi Ishak berkata, gambar berkenaan tersebar sejak beberapa hari lalu dan menjadi buah mulut penduduk setempat.

Menurutnya, melalui gambar berkenaan dengan jelas menampakkan seolah-olah terdapat imej yang berbungkus putih dan terbang tinggi.

“Kemudian ia berada di atas jambatan pada gambar kedua, kejadian dikatakan berlaku di tengah-tengah jambatan pada waktu malam.

“Saya sendiri yang mendapat gambar berkenaan memang terkejut,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pengguna jambatan, Mohd Ali Mohd Noor berkata, dia pada mulanya terkejut melihat gambar berkenaan dan cuba bertanya kepada rakannya yang juga kerap menggunakan jambatan.

“Mereka kata ini perkara biasa, kalau dia nak muncul kita mana boleh halang, yang penting kita kena buat biasa saja.

“Lagipun ini bukan pertama kali berlaku cerita jumpa macam-macam makhluk halus atas jambatan, ia adalah biasa,” katanya.

Sementara itu bagi Zulkifli Zainal berkata, pengalamannya diganggu pada waktu malam ketika menunggang motosikal di atas jambatan pertama Pulau Pinang membuatkannya berwaspada.

“Bukan apa, kadang-kadang ada yang terlalu terkejut sehingga boleh sebabkan kemalangan, kalau yang tak kuat semangat, lebih baik elakkan.

“Saya pernah tunggang motosikal pada tengah malam di atas jambatan, setibanya di tengah-tengah, motor saya berat dan saya terpaksa menunggang lebih kuat dan laju, tetapi tiba-tiba ia menjadi ringan dan saya seolah-olah dalam keadaan tercampak ke depan, nasib baik saya boleh kawal motor.

“Kalau saya silap, bimbang kemalangan saja, apa pun kita kena tawakal kepada ALLAH SWT,” katanya.

Bagi pengamal perubatan Islam, Izzwandy Mamat, kejadian penemuan pocong di tengah jambatan adalah perkara biasa.

“Laut memang tempat tinggalnya dan mereka akan buat pelbagai rupa di kawasan mereka tinggal.

“Tidak dinafikan laut juga menjadi tempat kepada tukang perubatan membuang benda yang tidak baik, jadi ia bukan mustahil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sama seperti manusia, makhluk halus berkenaan juga memenuhi setiap pelosok tempat.

“Malah jin boleh menyerupai pelbagai bentuk tidak kiralah pocong, atau hantu raya ataupun toyol,” katanya.

Beliau menegaskan, bagaimanapun rupa bentuknya, perkara tersebut hanya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

“ALLAH mahu menguji sejauh mana keimanan kita, sama ada takut pada makhluk atau pada-NYA.

“Ia juga sebagai tanda supaya kejadian sebegini akan mendekatkan kita lebih kepada ALLAH,” katanya.-sinar harian
05.28 0

Keluarga Kapten Zaharie Bidas Fitnah Daily Mail

Keluarga Kapten Zaharie Bidas Fitnah Daily Mail


Anak perempuan kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah berkata dia tidak akan memaafkan Daily Mail kerana mengada-adakan cerita yang membayangkan bapanya mungkin bertanggungjawab terhadap misteri kehilangan pesawat MH370.

Dalam satu entri di Facebook, Aishah Zaharie berkata, akhbar tabloid British itu harus mempertimbangkan untuk menghasilkan filem kerana mereka begitu bagus dalam mereka cerita dan skrip.

"Semoga Tuhan merahmati roh-roh anda. Saya tidak akan memaafkan anda," tulisnya.

Akhbar tersebut memetik seorang sumber rapat dengan keluarga tersebut sebagai berkata, emosi Kapten Zaharie terganggu kerana masalah rumah tangganya.

Laporan pada Ahad mendakwa, isteri Zaharie, Faizah Khanum Mustafa Khan memberitahu penyiasat bahawa Zaharie tidak bercakap dengannya sebelum dia berlepas pada 8 Mac lalu dan menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik yang menempatkan simulator pesawatnya.
Akhbar British itu turut memetik Aishah sebagai berkata, dia terkejut kerana tidak dapat menerima orang yang menyayanginya bersikap sedemikian.

"Dia bukan seperti bapa yang saya kenali. Beliau seolah-olah terganggu dan hidup dalam dunianya sendiri," kata Aishah.

Dr Mohammad Ghouse Noor, seorang rakan yang rapat dengan Zaharie berkata, akhbar tersebut menyebarkan pembohongan dan berunsur fitnah.
 
Dr Ghouse yang juga moderator laman Facebook, “Friends of Captain Zaharie MH370”  berkata, beliau telah bercakap dengan ahli keluarga terdekat keluarga Zaharie, termasuk anak lelaki Zaharie, yang membidas laporan tersebut.
"Ia satu fitnah, dari mana mereka dapat cerita ini? Itu tidak benar sama sekali. Saya menyeru anda semua untuk bersama-sama berhimpun demi soladiriti
untuk membidas laporan sedemikian, kita mesti menentang sekeras-kerasnya perkara yang tidak masuk akal ini," tulisnya dalam entri Facebook miliknya.

Ketika dihubungi, Dr Ghouse berkata, gambar yang digunakan oleh akhbar tabloid itu bukan ahli keluarga Kapten Zaharie atau isterinya.
"Tiada satupun gambar isterinya. Ini sebenarnya keluarga anak saudara Zaharie dan tiada kaitan dengan Faizah," katanya.- mStar Online
Minggu, 30 Maret 2014
19.00 0

Jururawat Mahu Saman Hospital Buat Prosedur Rawatan Tanpa Persetujuan

Jururawat Mahu Saman Hospital Buat Prosedur Rawatan Tanpa Persetujuan


Seorang jururawat bercadang memfailkan saman terhadap sebuah hospital yang didakwanya melakukan satu prosedur rawatan tanpa mendapatkan persetujuan ahli keluarganya hingga dia terpaksa melakukan pembedahan kali kedua dalam tempoh 48 jam selepas melahirkan bayinya.

Dalam kejadian Februari lalu, Noralisa Mohd Malid, 29, mendakwa, tiub fallopio sebelah kirinya diikat oleh doktor pakar yang menjalankan pembedahan caesarean ke atasnya ketika dia melahirkan anak ketiganya di hospital itu.
Difahamkan, tindakan itu dibuat kerana terdapat lekatan pada dinding pelviknya berikutan saluran tiub mangsa cedera ketika pembedahan dilakukan.

Noralisa berkata, dia hanya mengetahui  keadaannya sehari selepas pembedahan apabila mendapati pembalut luka di abdomennya basah dan berdarah.

“Ketika doktor buat pemeriksaan, saya sempat tanya sama ada berlaku komplikasi semasa pembedahan dijalankan.

“Doktor itu kata, mereka telah mengikat tiub fallopio sebelah kiri saya kerana ada lekatan pada dinding pelvik.

"Doktor cuba untuk menanggalkannya namun secara tidak sengaja saluran tiub itu tercedera dan menyebabkan pendarahan tidak berhenti hingga mereka terpaksa ikat tiub itu bagi menyelamatkan nyawa saya,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Parit 13, semalam.

Noralisa berkata, apa dikesalkannya ialah doktor yang memberitahu perkara itu kepadanya tidak langsung menunjukkan rasa kesal walhal ia adalah satu perkara besar buat dirinya memandangkan tiub fallopio kirinya kini tidak berfungsi.

Katanya, selepas pembedahan, dia berasakan perutnya semakin sakit dan kain  dipakainya turut ditembusi darah daripada pembalut luka pembedahan.

“Saya terpaksa tunggu agak lama untuk doktor datang buat pemeriksaan dan saya menggigil menahan kesakitan di perut.

“Apabila doktor datang dan periksa luka, dia jerit dan mengatakan usus perut saya terkeluar menerusi luka pembedahan. Saya juga melihatnya," katanya.

Noralisa berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan kali kedua dalam tempoh tidak sampai 48 jam oleh doktor pakar lain dan masalah tersebut didakwa berpunca daripada kecuaian doktor yang membedahnya sebelum ini.

Katanya, dia kini trauma dan kesal dengan apa yang terjadi serta telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.
18.57 0

#MH370 : Tidak Mampu Jamah Makanan Teringatkan Nasib Anak

#MH370 : Tidak Mampu Jamah Makanan Teringatkan Nasib Anak


“Tak boleh. Tak boleh nak makan. Sebab teringat kat baby. Tak tahu dia makan ke tidak kat sana,” kata Normah Jaafar, 56 sambil menitiskan air mata apabila diminta rakannya, Norazlina Rohani, 44 untuk terus menyuap nasi lemak.

Normah yang begitu sedih dengan kehilangan anaknya, Mohd Khairul Amri Selamat, 29, bersama anak kapal dan penumpang pesawat MAS MH370 sejak 8 Mac lalu, tidak berselera untuk menjamah makanan dan hanya bergantung kepada air minuman semata-mata.

Berikutan itu, dia kerap pengsan beberapa kali sebelum ini dan terpaksa dibawa ke klinik berdekatan, oleh kaunselor kerana lemah badan dan sakit kepala.

“Saya diberikan vitamin B Kompleks dan Parasetamol. Doktor beritahu, saya kurang tidur dan kurang rehat. Dia minta saya banyakkan rehat.

“Memang saya nak makan tapi saya tidak berselera. Tadi lepas makan ubat, saya rasa tak sedap badan. Mungkin sebab saya tak makan apa-apa dari pagi tadi,” katanya.

Katanya, dalam situasi yang menimpa anak bongsunya itu, dia tidak sanggup menjamah makanan yang enak, sedangkan tidak mengetahui keadaan Mohd Khairul Amri.

Menurutnya, naluri dan perasaannya dalam hatinya kuat mengatakan anaknya masih hidup.

“Sejak kejadian itu, saya tidak pernah mimpikan dia. Jadi, saya yakin dia masih hidup. Cuma tidak tahu keadaan dia kat sana sahaja.

“Kalau saya nampak dia depan mata, saya boleh terima kenyataan. Tetapi, kejadian ini masih belum membuktikan apa-apa, dan percaya, dia masih hidup,” katanya.
18.54 0

"Saya Yakin Anak Saya Masih Hidup'

"Saya Yakin Anak Saya Masih Hidup'


"Saya yakin anak saya masih hidup," kata Normah Jaafar, ibu kepada Khairul Amri Selamat, seorang daripada 239 penumpang pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
   
Bagi ibu tunggal berusia 56 tahun ini, selagi belum ada bukti sahih tentang nasib pesawat itu, selagi itu beliau yakin anaknya yang mesra dengan panggilan 'adik' masih selamat.
   
"Saya tidak pernah bermimpi apa-apa pun setakat ini, kerana itu sebagai seorang ibu, hati kecil ini kuat mengatakan beliau masih selamat," katanya yang ditemui semasa menerima lawatan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
   
Menurutnya, sejak kehilangan pesawat itu, setiap hari jugalah apabila jam 5.30 petang, dengan penuh harapan beliau akan menanti panggilan daripada anak bongsunya itu.
   
Ini kerana kelazimannya pada waktu itulah, anaknya akan membuat panggilan telefon untuk bertanya khabar setiap kali anaknya pulang dari kerja.
   
Normah berkata beliau teramat merindui anaknya daripada tiga beradik itu dan mengharap sesuatu keajaiban akan berlaku.

Menurutnya, berikutan kejadian itu juga kesihatan cucunya Mohd Airil yang berumur 1 tahun 4 bulan yang merupakan cahaya mata pertama Mohd Khairul Amri hasil perkahwinannya dengan Erni Artila Mustafa, 29, turut terganggu kerana terlalu rindukan ayahnya.
   
Ismail Sabri pula berharap keluarga tersebut akan terus tabah selain melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya usaha mencari pesawat tersebut dipermudahkan yang maha kuasa.
   
"Sebagai orang Islam kita kena banyak bersabar, mohon doa dan solat hajat agar diberkati ALLAH serta dipermudahkan operasi mencari serta menyelamat yang kini sedang giat dilakukan.
   
"Dalam masa yang sama, kita juga perlu meneruskan kehidupan seharian dan menjaga kesihatan serta makan minum. Jika sakit, ia akan menyulitkan lagi keadaan," katanya yang mengunjungi Normah di Taman Kerayong Makmur.
   
Terdahulu Ismail Sabri bersama anggota Wanita, Pemuda dan Puteri Umno serta penduduk turut mengadakan bacaan doa selamat.
   
Beliau turut menasihati Normah dan anggota keluarganya supaya tidak mendengar berita tentang pesawat itu yang tidak jelas dan sahih sumbernya.
   
"Kita perlu mendapat berita daripada MAS, Jabatan Pengangkutan, Jabatan Penerangan dan pihak-pihak yang terbabit kerana mereka yang mengetahui segalanya. Berita tidak sahih dan benar hanya akan menyusah dan mengelirukan," katanya. - Bernama
18.46 0

Kaki Si Kecil 7 Tahun Tersepit Dalam Lubang Tandas

Kaki Si Kecil 7 Tahun Tersepit Dalam Lubang Tandas


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam setelah kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama di sini Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi tadi, Muhammad Daniel Amir sedang mandi apabila dengan tiba-tiba kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas itu.

Bapanya Amir Ali, 47, berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk keluar membeli barangan dapur di bandar Melaka.

"Saya terdengar jeritan Daniel lalu terus meluru ke bilik air untuk lihat keadaan dia dan saya nampak kakinya sudah termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras lutut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Katanya beliau cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu selama setengah jam, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Ayer Keroh Mohd Shahril Zauni berkata pihaknya memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak itu pada 11.40 pagi.

Amir berkata Muhammad Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kakinya dikeluarkan anggota bomba.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membawa anaknya itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.- mStar Online
18.43 0

#MH370 : Malaysia Dakwa Tidak Terima Laporan Kes 'Missed Call' Penumpang Indonesia

#MH370 : Malaysia Dakwa Tidak Terima Laporan Kes 'Missed Call' Penumpang Indonesia


Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada Ahad menafikan menerima laporan daripada keluarga Indonesia yang mendakwa mereka telah menerima beberapa panggilan tidak dijawab (missed call) daripada Firman Candra Siregar yang merupakan salah seorang penumpang penerbangan MH370.
Beliau menjawab laporan portal berita Indonesia dalam talian yang memetik adik mangsa, January Siregar sebagai berkata bahawa beliau mendapat 'panggilan tidak dijawab' itu pada 11 dan 13 Mac daripada adiknya melalui Skype di iPad selepas pesawat hilang pada 8 Mac.

Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak mendengar mengenai perkara itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai semua yang mereka baca di portal berita kerana maklumat yang disiarkan kadang-kadang tidak disahkan, belum disahkan dan boleh mengelirukan.

"Semua perkembangan terkini dan maklumat mengenai MH370 dihantar kepada ahli-ahli keluarga mangsa dan juga melalui taklimat harian oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak berkuasa berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen senyuman di pasar tani Parit Raja, di sini, Ahad.

Portal dalam talian itu juga melaporkan bahawa January menunggu jawapan daripada kerajaan Malaysia dan MAS mengenai laporan beliau kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu.- mStar Online
03.05 0

Tentera Udara Anggap MH370 Bukan Satu Ancaman - Kapten Abdul Rahmat

Tentera Udara Anggap MH370 Bukan Satu Ancaman - Kapten Abdul Rahmat


Selepas tiga minggu kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370, Malaysia masih dikritik mengenai radar tenteranya yang dikatakan telah mengesan sebuah pesawat yang tidak dikenali, namun didakwa tidak mengambil sebarang tindakan ketika itu.

Dalam rancangan Agenda AWANI pada Sabtu,  bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff mempertahankan tindakan itu.

Katanya, pihak tentera udara memang telah mengesan pesawat MH370 pada malam itu dan telah membuat satu penilaian bahawa trek, atau laluan, yang diambil pesawat itu tidak membahayakan.

“Untuk MH370, saya jangkakan mereka telah menyatakan itu bukan satu ancaman, disebabkan itu, mereka teruskan merakam laluan MH370,” kata Penyiasat Insiden & Pengurus Kanan Korporat Sapura Kencana itu.

Kapten Abdul Rahmat juga menerangkan proses yang perlu diambil tentera udara apabila mengesan sesebuah pesawat yang tidak dikenali, dan bagaimana ia menentukan sama ada perlunya menggerakkan pesawat pejuang negara ini.

Kapten Abdul Rahmat yang juga dikenali sebagai Seademon pernah menulis di laman blognya tentang tidak adilnya Tentera Udara dikritik berkaitan insiden radar itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pesawat telah diterbangkan sedemikikan untuk mengelakkan daripada dikesan oleh radar-radar yang lain, dengan melalui kawasan yang langsung tidak mempunyai radar.


Sabtu, 29 Maret 2014
22.01 0

Luka Pembunuhan Beramai-Ramai Di Memali Kini Berdarah Kembali

Luka Pembunuhan Beramai-Ramai Di Memali Kini Berdarah Kembali


Di antara dosa terbesar dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap orang Melayu-Islam di negara ini adalah pembunuhan beramai-ramai terhadap Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 19 November, 1985.

Selepas 29 tahun berlalu, kes ini panas kembali apabila bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Musa Hitam pada awal minggu ini mendedahkan sebuah fakta penting yang beliau sembunyikan selama ini.

Menurut Musa, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan dan dua tiga hari selepas kejadian sedangkan selama ini majoriti rakyat Malaysia difahamkan bekas perdana menteri itu berada di China.

“Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang,” kata Musa pada majlis Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran kerajaan negeri Kelantan di Kota Baru minggu ini dan menambah itulah juga yang dinyatakan beliau kepada kawan-kawanya dalam politik dan di mana-mana jika ditanya mengenai tragedi berdarah Memali.

Ramai yang bertanya mengapa selepas 29 tahun baru perkara ini didedahkan Musa?

Saya tidak akan bertanya soalan seperti ini kerana apa yang dilakukan Musa sama seperti dilakukan Michael Corleone dalam filem The Godfather III apabila beliau membuat pengakuan kepada Cardinal Lamberto mengenai dosanya besarnya mengarahkan pembunuhan abangnya Fredo.

Manusia tidak akan mampu memendamkan sesuatu dengan terlalu lama apa lagi kesalahan besar seperti pembunuhan beramai-ramai di Kampung Memali.

Ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur semalam mengenai pendedahan Musa, Dr Mahathir berkata: “Saya sedang kaji kebenaran tentang apa yang disebut oleh Tun Musa.

“Pasal ini berlaku sudah begitu lama saya kena semak baliklah apa yang dia kata betul ataupun tidak,” kata Dr Mahathir selepas menghadiri majlis dianjur Alumni Universiti Utara Malaysia di Hotel Istana malam tadi.
Walaupun sudah lama peristiwa ini berlalu, ianya tidak akan selesai sehingga pelaku yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai ini dihadapkan ke muka pengadilan.

Fakta baru yang didedahkan Musa boleh menjadi asas untuk kes ini dibuka semula.

Saya masih teringat beberapa tahun lalu apabila berkesempatan ke kampung Memali dan menemuramah keluarga dan sahabat Ibrahim untuk projek filem pendek arahan seorang teman mengenai tragedi berdarah itu.

Saya melihat bagaimana kesedihan masih lagi menghantui penduduk kampung tersebut terutama yang menyaksikan sendiri bagaimana serangan dilakukan terhadap kampung mereka.

Sebak di hati melihat linangan air mata Solehah, isteri kepada Ibrahim apabila menceritakan detik-detik kematian suaminya.

Ibrahim memberikan satu pengajaran besar kepada rakyat Malaysia. Beliau tidak hanya bercakap seperti ramai ahli politik Malaysia.

Beliau tidak tunduk kepada undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menghalalkan penahanan tanpa bicara.

Ibrahim dan 13 pengikutnya bukan sahaja tidak menyerah kalah malahan membayar dengan nyawa dalam melawan kekejaman ISA.

Selepas 29 tahun, nama Ibrahim dan pengikut-pengikutnya masih lagi disebut-sebut seperti tidak pernah mati. Luka Memali berdarah kembali.



Penulis: Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau “berkicau” di www.twitter.com/aminiskandar.
10.02 0

#MH370 : Cerita Aneh Dari Philip Wood

#MH370 : Cerita Aneh Dari Philip Wood


Cerita Philip Wood, seorang eksekutif syarikat komputer IBM yang juga penumpang MH370, yang dikatakan telah menghantar mesej secara rahsia mendakwa pesawat itu dirampas pihak tertentu dan dia kini ditahan di sebuah pangkalan tentera, tidak harus dipercayai.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, dakwaan itu hanya satu usaha memburukkan Malaysia oleh pihak yang mahu masyarakat antarabangsa mempercayai bahawa kerajaan negara ini menyembunyikan maklumat apa yang didakwa sebagai fakta sebenar di sebalik kehilangan MH370.

"Mesej itu dibuat oleh orang. Mustahil dalam tempoh 22 hari, dengan begitu banyak negara terlibat dalam usaha mencari secara besar-besaran, perkara ini boleh disimpan sebagai rahsia. Bagi saya, ini tidak logik. Media asing sengaja membesarkannya sebagai berita sensasi untuk memburukkan imej Malaysia," katanya.

Dalam mesej internet bertarikh 19 Mac lalu, pengirim yang mengaku dirinya 'Philip Wood' itu mendakwa mereka ditahan sepasukan anggota tentera selepas pesawat MH370 dirampas.

'Wood' mendakwa ketika rampasan itu, matanya ditutup dan dia percaya, telah diberikan dadah oleh perampas.

Apa yang lebih mengejutkan, pengirim mesej itu juga mendakwa dia dan penumpang lain ditahan di Pulau Diego Garcia di mana dia ditempatkan dalam sel yang berasingan daripada penumpang lain.

"Saya menyembunyikan telefon di dalam dubur, membolehkan saya menghantar mesej ini," tulis 'Wood'.

'Wood' yang nama itu sememangnya direkodkan sebagai seorang daripada 227 penumpang MH370, rakyat Amerika Syarikat dan merupakan eksekutif kanan IBM berpangkalan di Beijing
sejak dua tahun lalu, menyertai penerbangan MH370 dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan kerjanya di negara ini.

Dia juga memuat naik gambar profilnya yang setelah dikaji, menggunakan perisian tertentu dirakam di Diego Garcia bertarikh 18 Mac 2014.

Orang ramai turut memberi reaksi terhadap mesej yang diragui itu malah, ada yang menganggap tidak masuk akal.-sinar harian
09.46 0

Empat Beradik Redha Ibu Bapa Terima Hukuman Penjara

Empat Beradik Redha Ibu Bapa Terima Hukuman Penjara



Keempat-empat anak pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin, yang dihukum penjara oleh mahkamah di Sweden pada Jumaat, menerima keputusan itu dengan tabah walaupun sedih.

Ibu saudara empat beradik itu, Shaleena Norshal, berkata ketika beliau memberitahu keputusan mahkamah itu, mereka dapat menerimanya dengan tenang.

"Saya maklumkan perkara tersebut selepas solat Maghrib semalam dan memang mereka sedih tetapi saya dapat lihat ketabahan mereka.

"Jadi mereka memahami dan bersyukur yang ibu bapa mereka hanya dikenakan hukuman penjara minimum," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini, Sabtu.

Shaleena, 43, seorang guru, merupakan penjaga sementara kepada empat anak saudaranya itu.

Pada Jumaat, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Shalwati dan Azizul Raheem Awaluddin iaitu Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan memukul empat anak mereka, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7.

Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan 67,200 krona (RM33,909) manakala Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan 36,400 krona (RM18,367) kepada anak mereka.

Shaleena berkata dia dan anggota keluarga yang lain sering memberitahu empat beradik itu bahawa perkara itu terjadi bukan kerana salah mereka.

"Mereka akan terus tinggal bersama-sama kami dan mereka juga dah semakin selesa tinggal di sini, Aishah pun dah boleh bertutur dalam bahasa Melayu sekarang.

"Saya juga nak berterima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Stockholm yang banyak membantu dari awal hingga akhir," katanya.- mStar Online
09.29 0

Sayu : Tangisan Dari TG Nik Aziz Mohon Maaf Kepada Seluruh Rakyat Kelantan

Sayu : Tangisan Dari TG Nik Aziz Mohon Maaf Kepada Seluruh Rakyat Kelantan


TG Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS mengalirkan air mata memohon maaf kepada rakyat Kelantan ketika menyampaikan kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka, Kelantan, pagi tadi.

TG memohon maaf di atas segala kesilapan yang beliau lakukan sepanjang memimpin Kelantan sebelum ini.

TG juga mengaitkan sakit yang beliau alami sekarang adalah kifaarat (balasan untuk membersihkan dosa) daripada dosa dilakukan selama memimpin Kelantan

“Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan. Ni sakit saya mungkin Allah nak kifaarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan,” kata bekas menteri besar Kelantan yang paling lama memimpin negeri itu pagi tadi.

Lazimnya, Nik Aziz akan membelakangkan makmum ketika memberikan tazkirah Subuh di masjid, tetapi pagi ini beliau mengadap Jemaah yang memenuhi Masjid Pulau Melaka.

09.26 0

Biadap : Pemilik Toyota Vios Buang Yasin

Biadap : Pemilik Toyota Vios Buang Yasin 

Sekadar gambar hiasan

Seorang pemandu kereta yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu bertindak biadab kerana dipercayai membuang beberapa naskhah surah Yasin, kelmarin.

Perbuatan pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna merah jambu itu dilihat seorang jurutera dari sebuah syarikat di Kerteh yang juga dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu bersama keluarganya.

Ketika dalam perjalanan, jurutera berusia 29 tahun itu terkejut apabila ternampak senaskhah surah Yassin di tepi jalan di Kilometer 114 Jalan Kuala Terengganu-Kerteh pada jam 6.15 petang sebelum bertindak memberhentikan kenderaan dan mengambil surah Yasin itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pengadu tersebut kemudian meneruskan perjalanan dan setibanya di stesen minyak Petronas Paka di Dungun, dia ternampak sebuah Toyota Vios membuang sesuatu di tepi jalan dalam jarak tiga kenderaan dari keretanya.

Menurutnya, pengadu memperlahankan keretanya dan mendapati barang yang dibuang itu adalah surah Yasin, namun pengadu tidak dapat memberhentikan keretanya berikutan jalan sesak.

“Ketika tiba di Kampung Nyior, Paka, sekali lagi pengadu lihat pemandu kereta Vios itu membuang sesuatu dari keretanya, jadi pengadu memberhentikan keretanya di tepi jalan dan mendapati barang itu adalah tiga surah Yasin.

“Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun,” katanya.

Selain pengadu, polis juga menerima aduan pada jam 7.30 petang daripada orang awam di Kuala Dungun yang turut melihat kereta sama membuang surah Yasin di tepi jalan.

Beliau berkata, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta tersebut didaftarkan atas nama seorang bekas tentera yang beralamat di Jasin, Melaka.

“Selepas dihubungi, penama berkenaan mengaku kereta itu miliknya, namun ditarik bank Kuala Lumpur dua tahun lalu dan rakannya telah membayar tunggakan bank.

“Jadi kereta itu dijual atau diserah kepada rakannya secara sambung bayar ansuran sehingga sekarang tanpa tukar hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, Che Suza berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik semasa kereta terbabit untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.- sinar harian
Jumat, 28 Maret 2014
11.52 0

Bekas TPM Dakwa Tun Mahathir Berada Di Kuala Lumpur Ketika Peristiwa Memali

Bekas TPM Dakwa Tun Mahathir Berada Di Kuala Lumpur Ketika Peristiwa Memali


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mendakwa ketika berlakunya peristiwa Memali, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur bukan di China sepertimana yang dikatakan sebelum ini, lapor The Malaysian Insider.

Pendedahan itu dibuat selepas 29 tahun peristiwa berdarah Memali yang mengorbankan nyawa 14 orang penduduk kampung tersebut manakala berpuluh yang lain cedera.

Ketika kejadian itu berlaku, Musa turut memegang jawatan selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

"Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang," kata Musa ketika menjadi ahli panel Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Kelantan yang diadakan di Kota Bharu, pada Rabu.

Musa juga menegaskan selepas kejadian itu, Dr Mahathir terus berada di Kuala Lumpur; "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

Peristwa berdarah di Kampung Memali, Kedah itu berlaku pada 19 November 1985. Selain 14 orang terkorban dan berpuluh yang lain tercedera, polis juga menahan ratusan penduduk kampung berkenaan yang dikatakan pengikut Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Pertempuran antara pihak Polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila Ibrahim Libya cuba ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Musa merupakan individu yang dipersalahkan dalam kejadian tersebut atas kapasitinya sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Namun, ada juga pihak sebelum ini mendakwa Musa mengeluarkan arahan supaya polis bertindak keras ke atas penduduk Kampung Memali kerana mendapat arahan dari Dr Mahathir yang dikatakan berada di China.

PAS menyifatkan semua yang terbunuh dalam kejadian Memali itu sebagai mati syahid.


11.48 0

5 Pesawat Dakwa Nampak Beberapa Objek Pelbagai Warna Terapung

5 Pesawat Dakwa Nampak Beberapa Objek Pelbagai Warna Terapung


Lima pesawat dilaporkan terlihat beberapa objek pelbagai warna ketika dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada Jumaat.

Misi mencari tersebut kini telah berakhir dengan pencarian dalam kawasan seluas 256,000 kilometer persegi.

Imej fotografik objek-objek tersebut telah diambil dan ia akan dikaji malam ini.

Objek-objek terbabit setakat ini masih belum disahkan atau dinafikan sebagai milik MH370 sehingga ia ditemui dan dibawa balik oleh kapal.

Pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Di Raja New Zealand (RNZAF) dilaporkan melihat beberapa objek berwarna putih dan terang serta satu boya memancing.

Sementara itu, pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Di Raja Australia (RAAF) turut melihat objek sama yang dilihat pesawat RNZAF, disamping dua objek segi empat tepat berwarna biru/kelabu terapung di permukaan laut.

Pesawat P3 Orion kedua milik RAAF turut melihat beberapa objek pelbagai warna di satu kawasan lain, kira-kira 546 kilometer dari kawasan penglihatan pertama.

Sejumlah sepuluh pesawat dikerahkan dalam misi pencarian hari ini oleh AMSA, dan kini telah meninggalkan lokasi pencarian.

AMSA telah mengarahkan kapal peronda Pentadbiran Maritim China, Haixun 01, yang berada berhampiran kawasan pencarian dan akan tiba untuk mencari dan mendapatkan objek-objek terbabit, esok.

Cuaca pada Sabtu dijangka sesuai untuk misi mencari.


11.21 0

Benarkah Lelaki Kelantan Pemalas?

Benarkah Lelaki Kelantan Pemalas?


Artikel yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider 24 Mac lalu dengan yang mendakwa Tengku Razaleigh mengakui bahawa lelaki di negeri Kelantan rata-ratanya bersikap pemalas. Dan keadaan ini memaksa kaum wanita atau isteri terpaksa mengambil alih tanggungjawab ketua keluarga dengan bekerja mencari rezeki bagi menyara kehidupan seharian.

Menurut Tengku Razaleigh yang lebih senang dipanggil Ku Li, perkara itu dapat dilihat dengan jelas dan ketara di mana wanita Kelantan gigih berniaga, bercucuk tanam sedangkan suami mereka hanya menghabiskan waktu dengan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat.

Ku Li yang juga anak jati Kelantan berkata, "kenyataan ini menghina lelaki Kelantan dan saya sebagai seorang yang terkait tidak suka dengannya tetapi terpaksa menerima kerana sememangnya terdapat lelaki Kelantan yang begitu sikapnya,”.

Senario itu lebih ketara pada waktu dulu dan Ku Li tidak menafikan yang sikap malas dalam diri lelaki Kelantan masih wujud di zaman ini walaupun tidak begitu ketara.

“Malah seorang pemimpin masyarakat memberikan analogi yang cukup ekstrim dengan menyamakan lelaki Kelantan dengan ‘bapa ayam’ yang hanya suka berseronok dan urusan menjaga anak; mencari makan dan sebagainya dipikul oleh ‘íbu ayam’ semata-mata. -sumber
05.39 0

Penantian Selama 37 Tahun Keluarga Pesawat MAS MH653 Yang Terhempas 1977

Penantian Selama 37 Tahun Keluarga Pesawat MAS MH653 Yang Terhempas 1977


Masuk hari ke-21 misi mencari dan menyelamat pesawat MH370, ahli keluarga penumpang sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines yang terhempas menunggu selama 37 tahun dan masih belum mendapatkan jawapan sebenar, lapor CNN.

Pada 1977, pesawat MH653 ditawan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Boeing 737-200 itu terhempas ke kawasan paya bakau, menyebabkan kesemua 100 orang penumpang dan anak kapal terbunuh.

Ia merupakan kejadian paling dahsyat dalam sejarah Malaysia Airlines sebelum MH370.

“Tiga puluh tujuh tahun dan kami masih belum tahu perkara sebenar yang berlaku,” kata Ruth Parr yang berumur 19 tahun ketika ayahnya, Thomas meninggal dunia dalam kemalangan itu kepada CNN.

Orang atau kumpulan yang menawan MH653 masih belum dikenalpasti walaupun rakaman suara merakamkan segala-galanya daripada kokpit, termasuk bunyi tembakan yang membunuh kedua-dua juruterbang.

Laporan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengatakan pesawat itu ditawan ketika ianya menghampiri Kuala Lumpur.

Terdapat kekeliruan sama ada pesawat tersebut akan mendarat di situ atau terbang menuju ke Singapura.

Anak kapal ditembak dan pesawat akhirnya terhempas ke dalam tanah paya pada kedudukan 450 knot.

Laporan itu yang dipetik CNN, membuat kesimpulan kemalangan itu disebabkan oleh anak-anak kapal cedera parah dan tidak berupaya, lalu menyebabkan pesawat tidak terkawal.

Bagaimanapun, sesetengah saksi yang melihat kejadian itu mengatakan pesawat terbakar sebelum mencecah tanah, manakala ada yang berkata mendengar letupan sebelum kemalangan itu, walaupun tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan ini.

Bagi anggota keluarga penumpang yang dihubungi CNN, kehilangan MH370 menggembalikan memori silam yang cuba mereka lupakan.

“Memori ini akan tetap bersama sepanjang masa,” kata Tom Sherrington, yang mana bapanya Richard berada dalam MH653, kepada CNN.

Beliau percaya bercakap secara terbuka tentang kenangan bapanya, yang beliau sifatkan sebagai “lelaki yang kelakar” dan “pengembara”, membantu keluarganya untuk berdepan dengan kesedihan.

Keluarganya juga melawat memorial yang dibina berhampiran lokasi kemalangan di bandar pantai Tanjung Kupang, Johor, dan menurut Sherrington ini membolehkan keluarganya melawat tempat tersebut bagi menampung kesedihan mereka.

Sherrington memberitahu CNN keluarga penumpang MH370 perlu memberi tumpuan memperingati orang yang tersayang dan tidak menyalahkan orang lain untuk di atas apa yang berlaku.

Kedua-dua Parr dan Sherrington memberi amaran bahawa setiap orang melupakan kesedihan masing-masing dengan pelbagai cara dan tiada jalan pintas untuknya.

“Ia akan menjadi lebih mudah lama kelamaan akan tetapi anda tidak akan melupakan tarikh itu,” kata Parr kepada CNN.

Keluarga penumpang MH370 yang kesedihan mendesak Putrajaya membuktikan Boeing 777-200ER memang berakhir di Lautan Hindi seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.

Ch’ng Khai Cheak, yang kakaknya Ch’ng Mei Ling dalam penerbangan tersebut, berkata pengumuman hanya perlu dibuat apabila sudah terdapat bukti fizikal pesawat tersebut terhempas di lautan.