Searching...
Jumat, 04 Januari 2013
19.12 0

Benarkah Ogy tinggalkan dunia hiburan?


IMPIAN Ogy untuk membuka sebuah restoran kini tercapai. Banyak masanya kini dihabiskan di sini.

PELAKON dan pengacara sensasi, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy memberitahu, dia tekad mahu meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus kepada restoran yang baru dibukanya. Restoran itu dinamakan sebagai Ogy D’Greenwood.

Kata Ogy ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran itu yang terletak di Greenwood, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan tersebut diambil bukan kerana tidak mendapat sebarang tawaran lakonan tetapi memiliki sebuah restoran merupakan impiannya sejak dahulu lagi.


“Saya bukan merajuk atau sudah tiada tawaran lakonan tetapi membuka restoran memang impian saya dari dahulu lagi. Terus terang saya katakan bahawa saya telah ketepikan dunia seni sejak Mei tahun lalu untuk menghadiri kursus perniagaan dan persiapan membuka restoran.

“Lagipun sejak restoran mula beroperasi November lalu, masa saya banyak dihabiskan di sini dan diri ini tidak ada masa untuk ke lokasi penggambaran,” katanya yang merancang untuk membuka restoran itu sejak setahun setengah yang lalu.

Sungguhpun begitu, jelas anak kepada Allahyarham Ahmad Daud dan Saadiah itu, darah seni yang mengalir dalam dirinya tidak akan pernah luput.

Jika ada tawaran yang benar-benar menarik dan sesuai dengan jadual waktunya, tawaran itu akan dipertimbangkannya.

Meskipun pernah melalui jatuh bangun perniagaan menerusi syarikat penerbitan Ogy Production yang diusahakan sejak sekian lama, pengalaman pahit itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Jatuh bangun dalam perniagaan itu adat. Pengalaman itulah yang menjadikan saya kuat seperti hari ini. Saya bersyukur kerana keluarga dan rakan kongsi banyak membantu,” tuturnya.

Selain itu, restoran itu akan menjadi peninggalan buat anak angkat Ogy, Nur Aminah Aishah yang kini berusia lima tahun.

“Ketika saya masih aktif dengan dunia seni dahulu, dia selalu memahami kesibukan saya. Sekarang tibalah masa untuk saya membayar semula hutang masa saya kepada dia. Apa yang saya lakukan sekarang adalah demi masa depannya juga.

“Sejak menghabiskan lebih banyak masa dengannya, kehidupan diri ini lebih tenang, teratur dan bahagia. Jadi pada usia 50 tahun, saya bukannya muda lagi. Rasanya sudah tiba masanya untuk saya bertukar corak kehidupan,” luahnya yang berazam untuk menjadi ibu yang berdedikasi buat anaknya itu.

Ogy D’Greenwood mula dibuka pada pukul 12 tengah hari sehingga 12 malam itu menghidangkan masakan Thai, Barat, mi kuah Singapura, rojak Singapura dan paling istimewa, mi udang resipi arwah bapanya, Datuk Ahmad Daud serta hidangan nasi Arab.

Setakat hari ini sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan, malah pihak Ogy tidak menang tangan menerima tempahan perkhidmatan katering.

“Sambutan setakat ini sangat menggalakkan kerana pihak Ogy D’Greenwood bukan sahaja menyediakan perkhidmatan katering tetapi juga menyediakan tempat untuk majlis pertunangan, perkahwinan dan juga pelbagai acara lain,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, menariknya Ogy D’Greenwood turut menawarkan kursus dalam bidang masakan termasuklah pastri, bakeri, pramusaji, kecantikan, keusahawanan dan seni persembahan.

Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.ogydgreewood.com.my. Selain itu, Ogy juga sedang merancang untuk membina sebuah studio yang boleh disewakan untuk penggambaran berdekatan dengan restorannya.-kosmo

0 komentar:

Posting Komentar