Terkilan Tidak Sempat Lepak Bersama Kawan Baik
Hasrat Pegawai Pembantu Juruterbang pesawat MAS MH370, Fariq Abdul Hamid untuk meluangkan masa dengan teman baiknya sebelum melakukan penerbangan ke Beijing tidak kesampaian apabila pesawat kendaliannya bersama juruterbang professional, Kapten Zaharie Ahmad Shah hilang tanpa dikesan sejak awal pagi Sabtu lalu.
Teman seperjuangan yang mahu dikenali sebagai Syafiq berkata, Fariq sempat menghantar pesanan ringkas melalui sistem komunikasi Whatsapp untuk mengajaknya keluar bersama sebelum beliau ke Beijing.
Menurutnya, dia terpaksa menolak permintaan Fariq kerana sedang sibuk bekerja, namun sempat berjanji untuk menghubungi Pembantu Juruterbang itu sekembalinya Fariq ke tanah air kelak.
"Kami menjadi kawan baik sejak menyertai sekolah kejuruteraan HM Aerospace di Langkawi, setelah tamat belajar, kami berdua bekerja di syarikat yang sama.
"Kami berdua sibuk, jika saya ada kelapangan, dia (Fariq) pula sedang sibuk bekerja dan begitulah sebaliknya, namun kami selalu lepak bersama bila 'off day'," katanya kepada Sinar Harian Online.
Juruterbang di syarikat penerbangan MAS itu berasa sangat terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan temannya dan dia sentiasa berharap agar temannya itu sentiasa selamat walau di manapun Fariq mungkin berada.
Menurut Syafiq lagi, pihak MAS tidak pernah berputus asa dalam usaha mencari pesawat yang dikendalikan oleh Fariq dan Kapten Zaharie.
"Kami tidak pernah 'terbang' bersama, namun saya boleh katakan dia (Fariq) tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan pesawat.
"Pihak MAS mempunyai pasukan yang sentiasa cuba untuk menghubungi mereka, setakat ini masih tiada jawapan dari MH370, bersama-samalah kita berharap dan berdoa," katanya.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar