Luahan Hati Asyraff Untuk Abang
'Saya mahu berjaya dalam pelajaran', 'adik sayang abang, mak dan ayah'. Itulah antara kata-kata yang terkandung dalam sepucuk surat ditulis Zamzuri Asyraff Don, 13, kira-kira seminggu lalu sebelum ditemui maut bersama abang tirinya, Zamzuri Aswad Zainol Bidin, 34, selepas rumah mereka hangus terbakar, malam semalam.
Selain itu, kandungan surat itu juga menterjemahkan niat Asyraff untuk menjadi seorang anak dan adik yang baik kepada keluarganya di samping mahu mentaati perintah ALLAH.
“Saya takkan buat masalah lagi kepada abang, mak, ayah. Saya akan mendengar apa yang ALLAH cakap,” tulis Asyraff dalam surat yang diberikan kepada abangnya, Zamzuri Aliff Zainol Bidin, 25.
Dalam pada itu, Aliff berkata, walaupun mereka berlainan bapa, hubungannya dengan Asyraff sangat rapat memandangkan Asyraff anak bongsu.
Menurutnya, Asyraff yang yang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah (SMK) Tengku Laksamana, selalu berkongsi apa jua perkara dengannya dan sangat manja dengan keluarga.
“Dia bagi kat saya surat itu seminggu lalu, saya simpan dalam dompet. Saya tak sangka rupanya dia akan tinggalkan kami.
“Kali terakhir kami jumpa masa saya ambil dia daripada mengaji sebelum kejadian, kemudian Asyraff minta saya simpan duit dia RM20.00,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambah Aliff, selepas hantar Asyraff di rumah di terus ke kedai laksa yang dijalankan keluarganya di kampung Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Aminah Daud, 66, berkata, ibu mangsa, Zubaidah Daud, 58, menyuarakan rasa tidak sedap hati dan tergesa-gesa mengemas kedai untuk pulang ke rumah.
“Masa itu kami sedang kemas kedai macam biasa...sebab kedai tutup pukul 9.00. Tapi dia ada (Zubaidah) habaq tak sedap hati dan mengemas pun cepat-cepat tak macam biasa.
“Masa itu juga ada kereta bomba lalu. Kami pun duk tanya-tanya rumah sapa terbakar, tak terlintas dalam hati rumah kami yang terbakar,” katanya yang turut tinggal bersama keluarga itu.
Tambah Aminah, selepas selesai mengemas mereka terus pulang ke rumah dan terkejut melihat orang ramai di kawasan rumah.
“Tak sangka, rupa-rupanya rumah rumah kami yang terbakar,” katanya.
Jenazah arwah Asyraff dan abangnya, Aswad selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Teluk Kechai kira-kira Jam 4.00 petang, semalam.
Aswad yang juga seorang duda meninggalkan seorang cahaya mata, Mohamad Zamil Haikal, berusia tujuh tahun.
0 komentar:
Posting Komentar