Searching...
Selasa, 11 Maret 2014
22.48 0

Si Ayah Tetap Yakin Anaknya Masih Hidup

Si Ayah Tetap Yakin Anaknya Masih Hidup

Bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 percaya anaknya masih lagi hidup mengikut gerak hatinya sebagai seorang ayah.

G Subramaniam, 60, berkata, dia yakin anak lelakinya, S Puspanathan, 34, bersama penumpang lain selamat dan persoalannya sekarang cuma tidak diketahui di mana lokasinya ketika ini.

"Dia anak yang sangat baik, suka tolong orang. Naluri saya sebagai ayah dapat rasa dia ok,  dia akan balik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Telok Panglima Garang, semalam.

Menurut Subramaniam, masih terngiang-ngiang di telinganya suara Puspanathan yang sempat menghubunginya melalui telefon beberapa minit sebelum berlepas ke Beijing atas urusan kerja.

"Dia telefon saya beritahu bila dia balik dari Beijing nanti, nanti nak ajak kami sekeluarga keluar makan malam untuk raikan hari jadi adiknya, S Thanmoley, 28. Dia kata akan duduk sana seminggu," katanya yang tidak dapat mengikuti ahli keluarga lain berkampung di Hotel Sama-Sama, Sepang kerana tidak mahu mengganggu fikirannya.

Tambahnya, dia tidak mampu melelapkan mata setiap malam mengenangkan nasib Puspanathan yang disifatkannya sebagai seorang anak yang bertanggungjawab.

"Dia anak sulung saya, memang rajin bantu kami sekeluarga. Dulu dia pernah kerja dekat Hotel Pan Pacific (kini Hotel Sama-Sama) sebagai pencuci pinggan semata-mata nak tolong keluarga. Dia pun rajin belajar sampai dapat kerja bagus sebagai jurutera teknologi maklumat. Bila dah berjaya dia belikan saya dan isteri, A Amirtham, 60, rumah yang kami duduk ni.

"Sekarang semuanya rasa macam mimpi. Tapi saya yakin, Tuhan akan tolong dia," katanya.-sinar harian

0 komentar:

Posting Komentar