Punca Sebenar Shakilla Khoriri Diserang Seorang Wanita
Pelakon Shakilla Khoriri mendedahkan pernah diserang oleh seorang wanita hanya kerana membenci dengan watak antagonis yang dibawanya dalam sebuah drama sebelum ini.
Shakilla, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk melayan permintaan peminat yang ingin bergambar dengannya sebelum wanita berkenaan menyerangnya dari arah belakang.
"Wanita berkenaan menggunakan tas tangannya untuk memukul bahagian belakang badan saya namun saya tenang kerana tidak mengetahui punca sebenar dia bertindak berkenaan.
"Namun apabila dia memarahi saya dan menyebut watak dalam sebuah drama lakonan saya baru saya sedar punca dia bertindak demikian," katanya.
Shakilla bakal muncul dengan drama bersiri Aku Isterinya disamping Anzalna Nasir dan Izzue Islam yang akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.
Drama arahan Fairuz Loy itu disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam.
Tambah Shakilla, dia tidak mengambil hati terhadap wanita berkenaan ekoran kejadian itu kerana menganggap ia perkara kecil selain memandang positif terhadap apa yang berlaku.
"Wanita itu kelihatan begitu bencikan watak yang saya bawa dalam drama itu dan itu menunjukkan lakonan saya berjaya memberi kesan kepada orang lain," jelasnya.
Sementara itu, Shakilla mengakui masih belum popular berbanding aktres seangkatannya biarpun telah bergelar anak seni sejak lapan tahun lalu.
Shakilla bagaimanapun berkata, dia bersyukur biarpun jarang mendapat publisiti namun tawaran lakonan diberikan kepadanya masih banyak.
"Alhamdulillah rezeki saya masih murah dalam bidang lakonan selepas lapan tahun menceburkan diri dalam bidang ini biarpun kurang popular dikalangan peminat," katanya.-mStar Online
0 komentar:
Posting Komentar