Ibu Tidak Restu Kahwin Janda
Sekadar gambar hiasan
Saya ingin mengahwini kekasih yang juga janda anak tiga. Saya tiada masalah untuk menjadi bapa kepada anaknya, cuma keluarga tidak merestui hubungan kami.
Puas saya memujuk ibu supaya mendoakan kebahagiaan kami tetapi ibu merajuk, malah tidak menjawab panggilan telefon saya. Saya ikhlas menyunting kekasih dan memberitahu ibu bahawa dia baik serta patuh kepada agama.
Bagaimanapun, ibu masih enggan mendengar alasan itu, sebaliknya meminta saya membatalkan hasrat mengahwini janda itu. Bakal isteri tahu mengenai keengganan ibu menerimanya sebagai menantu, membuatkan dia tawar hati.
Ini kerana dia tidak mahu menjadi punca saya dan ibu serta keluarga bergaduh. Dia sanggup memutuskan hubungan kami asalkan hubungan saya dan keluarga kembali jernih.
Lebih dua tahun saya memujuk ibu menerima kekasih tetapi masih gagal. Saya serba-salah memikirkan sama ada mahu meneruskan perancangan menikahi kekasih kerana takut disifatkan menderhaka kepada ibu.
AMAN
Kuala Pilah
Jangan putus asa memohon restu ibu untuk kebahagiaan saudara. Pinta padanya supaya memahami serta mendoakan kebahagiaan saudara dan bakal isteri.
Sebenarnya ibu mungkin bimbang, bukan malu anaknya mengahwini janda, disebabkan tanggungjawab saudara bakal berganda selepas menikahi kekasih yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu. Justeru, yakinkan ibu bahawa saudara mampu menggalas amanah itu.
Dalam situasi ini, Dang Setia sarankan saudara kerap mengadakan pertemuan antara ibu dan kekasih supaya dia dapat mengenali pasangan dengan lebih dekat.
Usah jarakkan pertemuan ibu dengan bakal pasangan kerana pertemuan lebih kerap akan menyebabkan mereka mempunyai ruang untuk berbual secara dekat dan mesra.
Selain itu, kerapkan masa bersama ibu dan bincang mengenai calon isteri saudara. Ceritakan hal peribadi kekasih yang memikat hati supaya dapat membantu menanam imej baiknya kepada ibu.
Sokongan ahli keluarga lain juga boleh membantu meyakinkan ibu untuk menerima pilihan hati saudara. Sekurang-kurangnya saudara tidak terlalu tertekan untuk memujuk ibu.
Beri juga dorongan kepada kekasih supaya cuba memikat hati ibu. Ini secara tidak langsung menunjukkan kekasih bersungguh-sungguh memenangi hatinya dan saudara boleh berkongsi maklumat mengenai kesukaan ibu bagi memudahkan kekasih memenangi hatinya.-hmetro
0 komentar:
Posting Komentar