Kelahiran Istimewa Imanina (2 GAMBAR)
Kelahiran Istimewa Imanina (2 GAMBAR) | BATU PAHAT – Sedih hati ibu bapa apabila anak yang dinantikan lahir dalam keadaan tidak sempurna. Ibu muda, Hamira Samsudin, 25, berkata, anak keduanya, Nur Imanina Jaferi yang kini berusia sebulan, mempunyai ‘keistimewaan’ apabila sebahagian otaknya berada di luar tempurung kepala.
Menurutnya, semasa pemeriksaan ketika kandungannya memasuki bulan keempat, doktor memberitahu mengenai ketidaknormalan itu.
"Sejak diberitahu doktor itu, hati saya jadi tidak keruan," katanya. Hamira berkata, anaknya itu juga buta kedua-dua mata, tidak mempunyai lubang dubur dan hanya mempunyai satu injap pada jantung.
"Ketika Imanina dilahirkan, keadaannya sangat menyedihkan. Setiap kali memandangnya, kami sekeluarga tidak dapat menahan sebak, ada kala menitis air mata melihat penderitaan
Imanina.
"Namun saya tetap menerimanya kerana dia darah daging saya. Walaupun dilahirkan dengan keadaan ini, dia tetap anugerah tuhan dan menjadi tanggungjawab kami sekeluarga menjaganya,” katanya semalam.
Tidak anggap Imanina beban Hamira berkata, penjagaan teliti perlu dilakukan setiap hari supaya penderitaan dialami bayi perempuannya itu tidak bertambah. Katanya, mereka sekeluarga sedih melihat otak Imanina yang terkeluar hanya dilitupi kulit kepala nipis dan makin membesar tiap hari.
“Buat masa ini, Imanina tidak meragam, sekali sekala menangis apabila mahu menyusu. Kami menjaganya dengan penuh kasih sayang dan tidak pernah menganggapnya beban.
“Berpegang pada pepatah ‘ibu mana yang tidak sayangkan anak’, saya terus sabar menjaganya walau apa juga rupanya,” katanya.
Menurutnya, sebaik mendengar dirinya mengandung anak kedua, suaminya, Jafery Isnin, 33, teruja menantikan kelahiran di samping anak pertama mereka yang kini berusia tiga tahun.
“Saya berharap tiada perkara buruk berlaku terhadap anak kedua kami ini kerana dia nyawa kami. Saya dan suami akan berusahasedaya upaya menyelamatkannya dengan memberikan rawatan termampu,” katanya yang kini tinggal di rumah ibunya, di Parit Samijan, Parit Raja.
Hadapi masalah kewangan
Bagaimanapun, Hamira mengakui berdepan beban kewangan apa-bila terpaksa berulang-alik dari Batu Pahat ke Johor Bahru untuk rawatan Imanina.
"Rawatan susulan Imanina hanya terdapat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, kos perubatan pula cukup tinggi. Ditambah suami saya hanya bekerja kilang di Pasir Gudang, sudah tentu kami menghadapi masalah kewangan.
"Saya dan suami bukan mahu merungut, namun itulah hakikat yang kami hadapi kini," katanya.
Kes jarang berlaku
Kes membabitkan bayi dilahirkan dengan bahagian otak berada di luar tempurung kepala disifatkan sebagai kes jarang berlaku di negara ini. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yakub berkata, perkara berkenaan berlaku semasa pembentukan janin.
Katanya, kes seperti ini berbahaya kerana ia mampu mengancam nyawa pesakit berkenaan sekiranya tidak dijaga dengan sempurna.
“Bagaimanapun pihak kami akan cuba melihat kes ini sebelum memutuskan sebarang bantuan yang boleh diberi," katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Adnan Mohd Yassin memberitahu pihaknya akan membantu keluarga berkenaan bagi meringankan beban.
Menurutnya, bantuan awal RM300 telah disampaikan dan borang permohonan bantuan pesakit terlantar daripada JKM turut diberi.
“Kita bersimpati dengan nasib menimpa keluarga terbabit, kita cuba membantu bagi mengurangkan beban ditanggung mereka.
"Bantuan yang bakal diterima boleh digunakan untuk menanggung kos rawatan bayi ini,” katanya.
Lancar tabung bantuan
Penderitaan Imanina mendapat perhatian Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang segera melancarkan ‘Tabung Bantuan Imanina’. Ab Aziz berharap, dengan adanya
tabung berkenaan, mampu meringankan beban ditanggung Hamira dan anaknya.
Katanya, dia rasa simpati dengan anak istimewa itu dan mengharapkan keluarga bayi berkenaan dapat bersabar serta menerima ketentuan Ilahi.
“Tabung ini akan digerakkan di seluruh parlimen, mereka yang berhasrat untuk membantu digalakkan. Selain itu saya berhasrat melakukan satu solat hajat untuk bayi yang cukup istimewa ini agar segala urusan rawatannya dipermudahkan,” katanya.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar