Fida Lari Dari Penggambaran?
Fida Lari Dari Penggambaran? | SAYA difitnah! Tidak berakhir dengan satu kontroversi, timbul satu lagi cerita tidak enak mengaitkan pelakon dan penyanyi yang popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang ini.
Menerusi sebuah portal berita, seorang penerbit, Hazmimi Johar, mendakwa Fida Ibrahim, sengaja melarikan diri daripada menjalani penggambaran telefilem Kampungku dan Aidiladha, di Baling, Kedah, atas alasan tidak berpuas hati dengan babak terakhir yang dikatakan cuba menyindir dirinya.
Bagaimanapun, lain pula reaksi yang diterima Zass, setelah menghubungi aktres ini. Akui agak terkilan dengan tuduhan itu, Fida berkata, penerbit itu sengaja memfitnahnya dengan membangkitkan alasan yang tidak munasabah terhadap dirinya.
Tegas Fida, dia tidak melarikan diri tetapi meninggalkan produksi itu kerana tidak mencapai perjanjian yang dipersetujui seperti sebelum ini.
"Saya tidak dapat terima cara yang dikendalikan oleh produksi itu. Sudah beberapa kali pengurus saya berbincang dengan penerbit produksi itu, tetapi tidak diendahkan," katanya.
Jelas Fida lagi, dia kesal apabila produksi itu tidak menjaga kebajikan artis dengan memaksanya bersama beberapa pelakon lain menjalani penggambaran di kawasan merbahaya.
"Mereka memulakan penggambaran di lokasi yang tidak dimaklumkan dan kami terpaksa meredah sungai, tak ikut 'track' hutan, sehingga kami hampir jatuh tebing.
"Bagaimana kalau kami cedera dan tidak boleh berlakon kerana terlibat dalam kemalangan?," katanya yang sangat tidak berpuas hati dengan pengurusan produksi itu.
Nafi berlagak diva
Menurut Fida, penempatan yang disediakan juga sangat teruk apabila dia terpaksa berkongsi bilik dengan empat pelakon lain termasuk ahli keluarga mereka.
"Saya bukanlah mengharapkan bilik mewah dan penempatan yang terlalu selesa, tetapi bayangkanlah apabila penginapan yang disediakan harus dikongsi seramai itu?
"Adakah salah saya mahukan hak saya dan sedikit keselesaan buat artis lain?," sangkalnya kembali.
Mengulas dakwaan mengenai sikapnya yang berlagak seperti diva, Fida bagaimanapun menganggap tuduhan itu sangat melampau.
"Saya tidak bertindak melampau atau mahukan tempat yang mewah dan selesa, namun saya tahu apa hak saya dalam sesebuah produksi.
"Bagi saya ia merupakan fitnah yang tidak berasas dan membuatkan kredibiliti saya benar-benar tercalar," katanya yang turut membawa isu itu kepada Seniman.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar