KHALWAT: REMAJA 13 TAHUN DITANGKAP BERSAMA ‘AWEK’ ABANGNYA SENDIRI!
KHALWAT: REMAJA 13 TAHUN DITANGKAP BERSAMA ‘AWEK’ ABANGNYA SENDIRI! | KUALA LUMPUR – Serbuan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah bilik hotel dikejutkan dengan penemuan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan teman wanitanya yang berumur dalam lingkungan 20-an di sini, awal pagi semalam.
Lebih mengejutkan, remaja berkenaan mengaku yang wanita berkenaan adalah ‘awek’ abangnya sendiri.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, remaja berkenaan pada mulanya cuba berbohong dengan mendakwa wanita itu adalah saudara kandungnya.
Menyedari ‘taktiknya’ gagal, remaja berkenaan akhirnya mengaku yang wanita tersebut sebenarnya adalah kekasih abangnya sendiri, yang dibawanya ‘bermalam’ di hotel berkenaan.
Katanya, mereka bermalam di hotel itu kerana gagal menghubungi keluarga untuk pulang ke rumah.
Pasangan berkenaan antara 10 pasangan yang ditahan dalam operasi cegah maksiat sempena Hari Kekasih yang dijalankan penguat kuasa JAWI di sekitar ibu kota bermula jam 12 tengah malam semalam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi.
Semua yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun disiasat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Perhubungan Awam JAWI, Tuan Asmawi Tuan Omar berkata, pihaknya sebenarnya sentiasa mengadakan serbuan pada setiap malam dan tidak semestinya pada hari-hari tertentu.
” Serbuan sebegini ibarat ‘makan nasi’ bagi anggota penguat kuasa kami cuma bukanlah menjadi amalan jabatan untuk menguar-uarkannya kepada masyarakat kerana bagi kami yang penting adalah kesedaran, bukannya berbangga dengan jumlah tangkapan dan sebagainya.
” Malah semakin kurang jumlah tangkapan sebenarnya satu kejayaan juga kerana sekurang-kurangnya masyarakat mula sedar tentang kesan dan impikasi menjebakkan diri dalam kesalahan syariah sebegini.
” Yang penting kami di JAWI tidak pernah berputus asa untuk memberi kesedaran itu pada masa yang sama proses penguatkuasaan akan terus dijalankan tanpa mengira penat dan lelah,” tegasnya.
Selain pemeriksaan hotel bajet di sekitar ibu kota, penguat kuasa JAWI yang bergerak dalam dua kumpulan seramai 60 itu turut melakukan rondaan di sekitar Taman Tasik Titiwangsa. – Mynewshub.my
0 komentar:
Posting Komentar