Afdlin Shauki Mengakui Sudah Mendalami Ajaran Agama Islam | PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon filem Afdlin Shauki mengakui sudah berhijrah mendalami ajaran agama Islam agar menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 42, perubahan itu berlaku selepas sebulan dia pulang dari melawat wilayah Gaza di Palestin pada Disember lalu.
"Saya tidak tahu adakah kenyataan yang saya berikan ini adalah yang tepat. Tetapi memang benar, saya sudah berhijrah.
"Apabila pulang dari Gaza, selama sebulan jiwa saya tidak tentu arah, tambah pula dengan memikirkan rakyat Palestin yang hidup susah di negara mereka.
"Kemudian, saya terus berjumpa dengan seorang ustaz yang juga merupakan delegasi Aqsa Syarif (pertubuhan bukan kerajaan, NGO) menceritakan perkara yang berlaku dalam diri. Alhamdulilah, perbincangan kami telah menemui jawapan di mana diri saya sendiri yang ingin menuju ke jalan Allah," katanya.
Tambah Afdlin, dia pada mulanya gusar, adakah dia patut meninggalkan dunia hiburan serta merta atau meneruskan perjuangan sebagai insan seni selepas menemui hidayah. Namun dia diberi nasihat untuk terus sambung berkarya tetapi dengan cara berdakwah pula.
"Jika dahulu, selain minat berkarya, niat menghasilkan filem lebih berunsur perniagaan dan wang, tetapi sekarang ini saya mahu memberikan mesej pengajaran pada masyarakat.
"Lagipun, jika dilihat pada filem-fielm saya terdahulu, ia sememangnya sudah ada unsur pengajaran. Cuma elemen karya yang akan dihasilkan pada masa akan datang nanti lebih kepada unsur agama, Insya-Allah," ujarnya.
Beritahu Afdlin lagi, sejak mendapat hidayah, dia telah pun menghasilkan sebuah lagu untuk penyanyi Shila Majid berbentuk ketuhanan.
Sementara itu, lakonan Afdlin bersama pelakon Harun Salim Bachik (Boboi) dapat disaksikan menerusi filem Lawak Ke Der 2 yang bakal menemui penonton di 70 pawagam di seluruh negara bermula 7 Mac depan.
Lawak Ke Der 2 diambil daripada pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya (IB) pada tahun lalu dan dipadatkan dengan lawak-lawak terbaik yang dipersembahkan oleh kumpulan Boboi, Jozan, Harith Iskander dan Nabil.
0 komentar:
Posting Komentar