Searching...
Jumat, 22 Februari 2013
04.42 0

Anak naik bas ziarah ayah maut kemalangan

Keadaan belakang lori dirempuh sebuah bas setelah terbabit dalam kemalangan maut di KM 314.3 Lebuhraya Utara Selatan di Tapah, hari ini. – Foto Bernama

Anak naik bas ziarah ayah maut kemalangan | TAPAH – Mohd Amin Abdul Rahman, 32, anak kepada mangsa maut dalam tragedi kemalangan bas pagi tadi, tidak menyangka kepulangan ayahnya ke Pulau Pinang untuk menziarahi jenazah datuknya turut menyebabkan beliau kehilangan ayah tercinta.

Mohd Amin yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkata beliau turut kehilangan datuknya yang meninggal dunia akibat sakit tua di Bagan Ajam, Seberang Perai pada 11 malam tadi.

“Bila dapat tahu Tok Wan meninggal saya terus menziarahinya kerana kebetulan saya ada kerja di Pulau Pinang. Saya hubungi mak dan ayah bagi tahu perkara ini dan menyatakan kepadanya yang saya tunggu di sini (Pulau Pinang).

“Saya minta mak dan ayah naik bas pagi ini, bila telefon mak kira-kira 12 malam tadi, mereka sudah berada dalam bas menuju ke Pulau Pinang, ” katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.
Dalam kejadian 7 pagi tadi, mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres, Mohd Anuar Jantan, 42, dan penumpang bas, Abdul Rahman Noh, 59.

Mohd Amin yang bekerja sebagai pengedar minuman berkata dia terkejut mendengar berita menyedihkan itu selepas menerima panggilan daripada ibunya pagi tadi.

“Bila dapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan dan ayah meninggal dunia, saya bergegas ke Hospital Tapah kerana mayat dihantar ke hospital ini,” katanya yang berasal dari Kempas Jaya, Johor Bahru.
Sementara itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, seorang penumpang yang terselamat Mohd Khaizul Safiee, 29, berkata dia tidak menyangka bas yang dia naiki terbabit dalam kemalangan.

“Ada beberapa penumpang meminta pemandu memandu lebih laju kerana bas dipandu terlalu perlahan. Tetapi pemandu bas ada bagi tahu dia sangat penat,” katanya.

Katanya bas terbabit bertolak dari Johor Baharu kira-kira 11.30 malam sebelum berhenti di Hentian Pudu Sentral 5 pagi tadi untuk menukar bas.

Beliau berkata dalam kejadian itu kebanyakan penumpang cedera di kepala akibat terhantuk pada tempat duduk penumpang di hadapan manakala sebahagiannya terperosok di bawah tempat duduk. – Bernama

0 komentar:

Posting Komentar