Searching...
Selasa, 05 Februari 2013
23.00 0

Hanya 3 Pelakon Muncul Untuk Jelaskan Kontroversi 'Sahara'



 Hanya 3 Pelakon Muncul Untuk Jelaskan Kontroversi 'Sahara' | KUALA LUMPUR: Lain jadinya! Sidang media yang diatur untuk menjelaskan kontroversi drama Sahara menjadi sebaliknya apabila ia hanya dihadiri oleh tiga orang pelakon baru drama itu sahaja.
Majlis yang sepatutnya di adakan di sebuah restoran di Wangsa Walk di sini pada Selasa dikatakan terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir selepas mendapat arahan daripada pihak-pihak tertentu yang enggan kontroversi drama itu berlanjutan.
Sahara yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima dikritik pelbagai pihak kerana dikatakan merendah-rendahkan martabat wanita berpurdah yang tidak menjaga adab kerana berpegangan tangan dengan lelaki bukan muhrim.
Tiga pelakon yang hadir ialah Farid Wari, 26, Muaz Aydyl, 23 dan Arief Farhan, 26.
Farid yang membawa watak Ustaz Zainal dalam drama itu berkata, para pelakon hanya dibenarkan memberi komen berdasarkan sudut peribadi sahaja tanpa melibatkan pihak produksinya iaitu Nusantara Seni Kreatif dan stesen televisyen yang menyiarkan Saharaiaitu Astro Prima.
"Apa yang ingin saya katakan di sini, kontroversi ini benar memberi tempias pada kami (para pelakon). Tak sangka pula, sidang media yang sepatutnya menjelaskan situasi sebenar dibatalkan pula.
"Walaupun tidak dikenali, tetapi kami telah dikecam menerusi laman sosial sehingga ada yang mengatakan yang kononnya kami adalah ejen Yahudi," katanya.
Tambah Farid, kontroversi itu juga membuatkan keluarganya dikecam daripada orang di sekeliling mereka.
Muaz yang membawa watak Badrul pula berkata, dia juga sering dikritik hebat menerusi laman Facebook dan risau sekiranya ia mampu menjejaskan karier lakonannya.
"Sudah lapan tahun saya di bidang lakonan dan ini adalah kali pertama kontroversi berlaku pada diri saya juga pelakon-pelakon lain.
"Risau juga, jika tidak diselesaikan, ia boleh mengganggu perjalanan karier saya," ujarnya.
Bagaimanapun, Arief, memegang watak Mubarak pula berkata, walaupun isu ini mampu menjatuhkan karier seseorang, namun dia memikirkan perkara tersebut daripada segi positif kerana ia secara tidak langsung memperkenalkan nama mereka kepada umum.
"Benar, dari segi positifnya, kami sudah dikenali, walaupun hampir lapan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.
"Namun saya tetap berdukacita kerana dikenali menerusi cara kontroversi yang tidak baik dan memalukan keluarga," ujarnya.
Sebelum ini akhbar melaporkan Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi dipetik sebagai berkata apa yang tercetus itu hanyalah salah faham dan tidak sepatutnya dijadikan isu memandangkan banyak mesej positif yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan.
Pihak Astro juga tidak berhasrat mengulang siar drama itu selepas mendapat bantahan banyak pihak.
Drama bersiri 15 episod itu mula ditayangkan pada 14 Januari lalu dan berakhir pada 1 Februari lepas.

0 komentar:

Posting Komentar