Searching...
Selasa, 12 Februari 2013
19.57 0

‘Doktor’ gersang jerat wanita

Dr Mohamad Omar

‘Doktor’ gersang jerat wanita | KUALA TERENGGANU – ‘Mat Gersang’ kembali lagi. Jika dahulu kecoh dengan kes lelaki menyamar sebagai doktor yang bertindak menghubungi pesakit wanita dan meminta melakukan aksi lucah, kes yang sama dilaporkan berulang kembali.

Terbaru, menggunakan modus operandi yang sama, seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital, bertindak menelefon mangsanya bagi melakukan aksi lucah, minggu lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr Mohamad Omar berkata, kejadian terbaru dikesan minggu lalu, membabitkan seorang wanita hamil berusia 30-an.


“Berdasarkan maklumat yang kita terima, lelaki terbabit bertanyakan tentang kesihatan pesakit, sebelum memintanya melakukan beberapa aksi lucah, termasuk membuka baju, dengan alasan ia sebahagian daripada proses rawatan selepas mendapat kepercayaan mangsa.

“Wanita itu pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa, akur dengan arahan lelaki terbabit memandangkan semua maklumat yang diberikan oleh lelaki berkenaan, tepat.

“Lelaki terbabit meminta mangsa melakukan beberapa aksi lucah, dipercayai bagi memuaskan nafsunya dengan mendengar suara mangsa ketika melakukan aksi yang diminta. Bagaimanapun, mangsa kemudiannya menyedari dirinya telah ditipu, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Dr Mohamad, kejadian sama pernah beberapa kali berlaku sebelum ini dan terakhir pernah dilaporkan, pada 2011.

Katanya, lelaki terbabit menyasarkan wanita mengandung sebagai mangsa dan menggunakan modus operandi dengan melakukan rawatan melalui panggilan telefon sahaja.

Menurut Dr Mohamad, cara memaklumkan mengenai keadaan pesakit dan melakukan rawatan melalui telefon bukanlah amalan doktor atau pegawai perubatan kerajaan, kecuali dalam kes-kes yang melibatkan kecemasan serta memerlukan tindakan segera.

Justeru, katanya, pesakit diminta berwaspada jika mendapat panggilan yang mencurigakan dan memaklumkan kepada hospital serta membuat laporan polis.

“Doktor atau kakitangan kesihatan tidak akan sesekali menyuruh pesakit membuat perbuatan lucah, apatah lagi membuat rawatan melalui panggilan telefon. Jika rasa curiga dan tertipu, maklumkan kepada kita dan pihak berkuasa.

“Berkuat kuasa serta-merta, kita telah mengeluarkan arahan agar maklumat pesakit tidak didedahkan kepada mana-mana pihak, kecuali doktor dan pihak pengurusan hospital, sebagai langkah berwaspada,” katanya.-sinar harian

0 komentar:

Posting Komentar