Searching...
Jumat, 11 Januari 2013
19.58 0

'Tetamu tidak diundang' mengamuk sakan




Seorang remaja perempuan bersama anak saudaranya berusia setahun terpaksa berkurung dalam bilik lebih sejam apabila rumah didiami mereka dikunjungi ‘tetamu tidak diundang’ iaitu seekor babun jantan yang mengamuk dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Taman Khong Lok, Batu 7, semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi, remaja berusia 17 tahun itu sedang berehat di tingkat bawah rumah sebelum terdengar bunyi mencurigakan dari satu bilik di tingkat atas.


Mangsa kemudian meninjau dengan membuka pintu bilik itu dan terkejut apabila mendapati seekor babun sedang menggeledah bilik berkenaan.

Pada masa sama, haiwan liar itu cuba menerkam remaja berkenaan, namun dia sempat menutup pintu bilik.

Mangsa membawa anak saudaranya keluar rumah untuk menyelamatkan diri, selain menghubungi kakaknya memaklumkan kejadian itu.

Pemilik rumah yang enggan dikenali berusia 30 tahun berkata, dia terkejut apabila dihubungi adiknya memaklumkan seekor babun menyerang mereka.

“Saya yang bimbang mengenai anak perempuan lantas menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu.

“Saya difahamkan babun yang datang dari hutan berhampiran bukan saja merosakkan barangan dalam bilik, malah turut membuang najis,” katanya, semalam.

Katanya, adik perempuannya mendapati haiwan liar itu memasuki rumah sebaik terdengar bunyi cakaran pada pintu bilik.

“Mujur adik bertindak bijak apabila segera menutup pintu bagi mengelak haiwan itu keluar dari bilik dan bertindak liar.

“Saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suami sebelum dia bergegas pulang untuk menyelamatkan adik dan anak kami,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota Jabatan Perhilitan yang tiba berjaya menangkap haiwan berkenaan selepas berusaha hampir tiga jam.

Sementara itu, Pembantu Pusat Pemulihan Orang Utan, Elis Pambing berkata, haiwan liar itu ditangkap menggunakan jaring dan dihantar ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok.

“Babun ini dipercayai terpisah dari kumpulannya dan tersesat sebelum memasuki rumah mangsa dan ia agresif apabila diancam,” katanya.-hmetro

0 komentar:

Posting Komentar