Surat pertama dari Fakri Saarani selepas ke Portugal
Pejam celik, pejam celik kini sudah hampir dua minggu saya berada di sebuah negara yang pernah menjajah kita suatu masa dahulu.
Nama Malaysia agak sukar untuk orang-orang di sini mengenalinya, tetapi bila sebut nama Melaka maka semua orang akan tahu kedudukannya.
Begitu besarnya nama Melaka di bumi Portugal ini. Secara kebetulan, pengurus peribadi saya Faisal Zakariah orang Melaka, apalah lagi bukan main bangganya dia.
Bak kata pepatah Melayu, 'jauh perjalanan luas pemandangan.'
Inilah yang saya alami sekarang ini, bukan hanya dapat melihat dunia malah dapat mempelajarinya dalam menempuh liku-liku kehidupan disini.
Maklumlah hidup di negara sendiri semuanya mudah tetapi bila kita berada di luar segalanya menjadi susah. Kesukaran inilah yang akan mengajar kita erti kehidupan.
Saya bermain di sebuah kelab yang terpencil yang diberi nama Athletico Sports Clube Reguengos (ASC) yang terletak di sebuah pekan kecil di Reguengos De Monsaraz dan beraksi dalam divisyen tiga, Portugal.
Walaupun kelab ini kecil tetapi saya teruja melihat kelab ini terurus secara professional. Walaupun pada mulanya hati saya berdetik, benarkah aku akan beraksi dengan sebuah kelab yang macam ini?
Maklumlah, melihat pekan yang kecil dan agak jauh terpencil maka tentunya saya akan berfikiran yang bukan-bukan.
Ejen saya, Marco Guimaraes dapat merasakan sesuatu yang tidak kena difikiran saya lantas menerangkan secara lengkap mengenai kemampuan kelab ini.
Memang benar apa yang diterangkan oleh Marco Guimaraes jelas dan nyata.
Hari pertama saya ingin memulakan latihan sahaja saya sudah dapat melihat bagaimana kelab ini terurus dengan rapi.
Bermula dengan mengambil pakaian latihan dan seterusnya ke bilik persalinan, saya telah mula teruja dan seterusnya ke padang latihan.
Beza dan memang amat berbeza, sebaik sahaja latihan memanaskan badan bermula, dapat dilihat semua pemain serius serta memberikan tumpuan dalam latihan yang berintensiti tinggi yang memerlukan tahap disiplin yang tinggi.
Boleh dikatakan tiada rehat, sentiasa dengan bola dan kelajuan serta juga memastikan teknik yang dibuat itu adalah sempurna.
Semua orang bekerja... Dalam erti kata lain tiada siapa yang boleh curi tulang. Begitulah rutin seharian dalam setiap latihan.
Pada 6 Januari yang lalu, pasukan kami tewas 1-2 dengan pasukan Gusmentemor yang merupakan pendahulu liga.
Saya tidak dapat beraksi didalam perlawanan ini kerana sijil perpindahan antarabangsa (ITC) belum dikeluarkan lagi, namun terus terang saya katakan saya belum bersedia untuk beraksi dalam perlawanan tersebut tetapi saya tetap bersama-sama pasukan ke stadium tempat lawan.
Alhamdulillah, ketika saya sedang mengarang catatan ini, saya menerima perkhabaran gembira bahawa ITC saya berjaya diperolehi.
Ini bermakna saya akan berada di dalam senarai pasukan untuk bermain. Sama ada saya akan berada di dalam kesebelasan utama atau pun dalam senarai pengganti tidak dapat saya pastikan.
Namun, saya berkeyakinan tinggi bahawa saya akan dapat beraksi untuk perlawanan tempat lawan pada 13 Januari nanti untuk bertemu pasukan yang menduduki tempat kedua liga pada masa ini iaitu pasukan CF ESP Lagos.
Peluang saya untuk beraksi di dalam perlawanan ini amat cerah kerana berdasarkan kepada petanda di dalam latihan itu sendiri saya telah diberikan tugas untuk menjalani latihan bersama kesebelasan utama.
Pastinya, saya perlu berusaha lebih gigih lagi agar saya terus mendapat perhatian dan kepercayaan pengurus pasukan berdasarkan merit.
Secara keseluruhannya, memang saya dapat rasakan perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan dengan negara kita.
Saya memohon kepada Allah, semoga tuhan memberikan saya kekuatan bagi menempuh hari-hari yang mendatang. Sesungguhnya cabaran disini amat tinggi dan bukan tugas yang mudah untuk saya bersaing bersama rakan pasukan yang secara teknikalnya lebih baik dan lebih laju dari saya.
Sayalah orang yang bertubuh paling kecil dan terendah dalam pasukan ini walaupun ketinggian saya adalah 176 sentimeter.
Saya menyeru kepada rakan-rakan dan pemain pemain muda negara untuk mencari peluang menimba ilmu dan bermain di luar negara serta tinggalkan seketika kesenangan dan kemudahan yang ada.
Insya-Allah banyak yang akan dapat kita pelajari dalam kita menjalani kehidupan sehari-hari.
Jadikan ia sebagai satu cabaran bagi menempuh hari-hari yang mendatang. Semoga kita bertemu dilain catatan. Salam buat keluarga saya dan seluruh rakyat Malaysia.
0 komentar:
Posting Komentar