Searching...
Senin, 14 Januari 2013
16.22 0

Isteri bekas Lans Koperal bantu 'gunting' jari reput


Anam menunjukkan ibu jari kakinya yang sudah dipotong oleh Fazilah kepada Hisham di rumahnya di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Bekas Lans Koperal Balai Dungun, Mat Anam Mohamad, 57, memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

Dia yang tinggal bersama isteri, Nor Fazilah Ramli, 40, sering keseorangan apabila isteri keluar bekerja malah urusan pergerakannya dalam rumah agak terbatas kerana mengalami bengkak pada kedua belah kaki.

“Selain bengkak akibat kencing manis yang dihidapi hampir 10 tahun lalu, kebanyakan jari kaki juga sudah tiada kerana buruk dan terpaksa digunting bagi mengelak kuman merebak ke bahagian lain.


“Kerja-kerja menggunting dilakukan isteri kerana saya tidak mahu ke hospital, bimbang dipotong terus bahagian kaki,” katanya di rumahnya di Jalan Tekukur di sini.

Sementara itu, Nor Fazilah yang bekerja di butik dengan gaji RM15 sehari berkata, dia terpaksa memberanikan diri menggunting tulang jari kaki suami yang reput kerana bimbang ia merebak.

“Kalau tidak buang risau memudaratkan bahagian lain, kerana dia tidak mahu ke hospital setelah disaran oleh doktor pada November lalu untuk dipotong.

“Sebelum ke tempat kerja, saya akan memastikan lukanya dicuci dan dibalut kemas supaya tidak tercemar,” katanya.

Dalam kepasrahan Fazilah meninggalkan Mat Anam ketika keluar bekerja, terdetik perasaan bimbang kerana selain menghidap kencing manis, suaminya itu turut disahkan mempunyai masalah jantung, buah pinggang dan paru-paru berair.

“Saya terpaksa juga keluar mencari rezeki, namun sekiranya suami kurang sihat, saya akan menjaganya di rumah,” katanya.

Sempena lawatan Cakna Prihatin yang diketuai Pegawai Pembangunan Dun Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Mat Anam dihadiahkan kerusi roda seperti yang diharapkan dan berterima kasih di atas pemberian itu.-sinar harian

0 komentar:

Posting Komentar