Eina Azman mahu terjun ke bidang nyanyian
KUALA LUMPUR – Sejak drama bersiri Mimpi Cinderella ditayangkan di kaca televisyen, nama pelakon remaja, Eina Azman, 18, kian menjadi sebutan.
Selain kehebatannya mendalami watak, dia juga tidak terlepas apabila dikaitkan bercinta dengan pasangannya, Afiq Muiz di dalam drama berkenaan.
Malah mereka dilihat hadir bersama ketika Anugerah Juara Lagu, baru-baru ini dan kemesraan mereka berdua tak ubah seperti pasangan kekasih.
Saat diajukan soalan itu, Eina bagaimanapun menafikan hubungan cinta yang terjalin dengan aktor berkenaan.
“Saya tidak bercinta dengan sesiapa termasuklah Afiq dan khabar angin itu tidak benar sama sekali.
“Bagaimanapun, saya akui berkawan rapat dengannya dan hubungan persahabatan kami telah terjalin sejak 3 tahun lalu,” jelasnya yang dipetik menerusi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Tambah Eina lagi, keserasian antara mereka berdua menerusi drama Mimpi Cinderella, turut mempengaruhi orang ramai mempercayai khabar angin itu.
Dalam perkembangan lain, anak saudara juru vokal dan penyanyi terkenal, Juliza Adlizan ini juga dikatakan bakal tampil dengan single pertamanya berjudul Bahagia Bersamanya.
Sebagai percubaan, menurut Eina, dia memfokuskan kepada genre balada terlebih dahulu dan sekiranya maklum balas yang diterima positif, dia tidak akan teragak-agak untuk mempelbagaikan genre nyanyiannya pada masa akan datang.
“Sementara usia masih muda, saya mahu mencuba banyak perkara dan akan melakukan yang terbaik tidak kiralah dalam lakonan mahupun nyanyian,” katanya.
0 komentar:
Posting Komentar