Dua Beradik Maut Kemalangan
KAJANG : Dua beradik maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki merempuh tembok Plaza Tol Sungai Ramal di Kilometer 24, Lebuh Raya Sistem Lingkaran Luar Kajang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kelisa, K. Harry Krisnan, 24, dan adiknya, K. Balamurugan, 19, yang duduk di sebelah pemandu maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta berwarna perak dinaiki tiga pemuda termasuk R. Ramesh, 21, yang cedera parah hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh tembok plaza tol itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, semasa kejadian, tiga pemuda itu dalam perjalanan pulang ke Taman Jasmin di sini selepas Harry menjemput Balamurugan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
“Ramesh yang cedera parah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kajang dan punca kemalangan itu masih dalam siasatan,” kata beliau ketika ditemui.
Menurut beliau, pihaknya turut menyiasat sama ada pemandu kereta itu berada di bawah pengaruh alkohol.
Sementara itu, ibu kepada dua beradik malang itu, R. Kalaichelvi, 46, berkata, dia tidak menyangka gurau- an anak sulungnya untuk bertemu mendiang bapanya kelmarin merupakan petanda dia akan menemui ajal.
“Semalam (kelmarin) Harry mengadu sakit pipi yang selalu membengkak sebelum memberitahu mungkin mendiang bapanya sedang tunggu mahu jumpa dia,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini.
Sebelum kejadian, penjaga stor di sebuah kilang di Nilai itu dikatakan menghantar ibunya pergi bekerja di Hospital Kajang pada pukul 6.45 pagi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menjemput Balamurugan pulang.
“Saya suruh dia pergi cari adik dia kerana Balamurugan sepatutnya bekerja pagi ini (semalam),” katanya yang memberitahu anak ketiganya itu bekerja sebagai penyembur kawalan serangga perosak di Cheras.
Jelas Kalaichelvi, kebiasaannya Balamurugan akan pulang ke rumah selewat-lewatnya pada pukul 3 pagi sekiranya keluar melepak namun semalam anaknya itu langsung tidak pulang selepas keluar pada pukul 9 malam kelmarin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau menghubungi talian 03-8736 2222 untuk membantu siasatan.-kosmo
0 komentar:
Posting Komentar