Searching...
Selasa, 05 November 2013
20.37 0

Wanita Ini 'Bahagia' Selepas Dipenjarakan


Wanita Ini 'Bahagia' Selepas Dipenjarakan | TAPAH – Seorang wanita merasakan ‘bahagia’ dipenjarakan setelah didapati bersalah mendera anak tirinya berusia lima tahun hingga cedera dua tahun lalu.

'Bahagia' dirasai seorang banduan penjara Tapah yang mahu dikenali sebagai Zulaika, 40, adalah apabila sikap ringan tangannya mengayun rotan kini dipenuhi aktiviti kerohanian dan mendalami ilmu agama.

Zulaika dihukum penjara tujuh tahun selepas jiran-jirannya membuat laporan polis berhubung tindakannya mendera dua anak tirinya akibat masalah kewangan dan rumah tangga.

Menurutnya, dia melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berubah menjadi baik melalui hukuman penjara yang dilaluinya.

“Sempena awal Muharram ini, saya mahu menjadi ibu terbaik buat anak-anak selepas keluar dari penjara ini selepas ditangkap dan dihukum penjara bermula tahun 2012. Sekurang-kurangnya saya dapat mengubah sikap panas baran saya ini.

“Sejujurnya, saya rasa bersalah dengan anak-anak kerana kekurangan didikan agama sehingga tergamak memukul anak tanpa belas kasihan dengan menggunakan pelbagai objek keras,” katanya.

Menurutnya, masa yang dimiliki kini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk mengaji al-Quran, mendalami ilmu fardu ain, ceramah agama dan pelbagai program ilmuwan.

“Saya tidak menyesal dipenjarakan sebaliknya berasa gembira dan tenang di sini kerana mampu mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya.

Pengarah Penjara Tapah, Abdul Halim Mahasan, berkata,  selain pengisian program agama, pihaknya turut mementingkan ikatan kekeluargaan antara banduan dan ahli keluarga masing-masing di luar tembok penjara.

“Pelbagai program diatur dan terbaru sekali adalah program Program Jalinan Kasih Penjara Tapah Sempena Aidiladha pada minggu lalu yang disertai oleh lebih 100 keluarga tahanan.

“Melalui program seumpama itu, tahanan dibenarkan menemui ahli keluarga dalam suasana mesra selain disajikan pelbagai hidangan lazat oleh pihak penjara,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu disifatkan sebagai salah satu program pemulihan bagi menyampaikan mesej kepada banduan bahawa ahli keluarga berharap mereka kembali ke pangkal jalan dan hidup bersama masyarakat.

“Saya yakin program seumpama ini termasuk Sambutan Hari Ibu, sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali serta hari penting lain mampu dijadikan dorongan untuk tahanan di penjara ini berubah,” katanya.-sinar harian

0 komentar:

Posting Komentar