Kekasih ‘pisau cukur’
Dulu saya berbangga dengan teman wanita yang cantik dan pandai bergaya. Meskipun hanya minah kilang, penampilannya tidak ubah seperti wanita berkerjaya. Saya sering dipuji rakan kerana memilikinya.
Selepas setahun berpasangan, saya bosan dengan sikapnya yang ‘bercita rasa tinggi’ dan sering memaksa saya membeli barangan berjenama.
Saya terpaksa mengikat perut, malah duit yang ingin dikirim ke kampung kadangkala diberi kepadanya. Saya makan hati kerana panggilan serta mesej saya tidak dilayan.
Saya sayangkan teman wanita saya tetapi tidak tahan dengan sikapnya yang ‘kaki kikis’. Saya kini keliru sama ada mahu meninggalkan kekasih atau terus bersamanya.
EZHAN
Klang, Selangor
Seawal menjadi teman wanita sudah sukar dikawal, bagaimana pula keadaannya andai berumah tangga kelak? Fikir dan renungkan situasi akan datang andai saudara gagal menasihati dan membantu teman wanita mengubah sikap borosnya.
Rasionalnya memakai barangan jenama bagi penampilan bergaya tidak selalunya tepat. Bagi Dang Setia, tiada jenama mahal tidak menjejaskan rupa fizikal individu, sebaliknya ia lebih kepada kemahuan dipengaruhi hawa nafsu.
Biarlah berbelanja ala kadar dan mengikut kemampuan sendiri serta bukan berhabis semata-mata memenuhi keinginan memakai barangan mewah.
Dang Setia bimbang jika teman wanita terus bersikap demikian, dia hanyut dibuai kemewahan sehingga menjadi hamba hutang.
Saranan Dang Setia, jika saudara mengasihi teman wanita, nasihat dia sebaik- baiknya. Gambarkan situasi kewangan bertambah berat apabila berkeluarga kelak.
Andai teman wanita sayangkan hubungan saudara dengannya, tentu dia sanggup berubah tetapi jika berlaku sebaliknya, dia bukan gadis sesuai disunting sebagai pasangan hidup saudara.-hmetro
0 komentar:
Posting Komentar