KESIAN! Rakan Hassan Perdaya Nenek (2 GAMBAR)
KESIAN! Rakan Hassan Perdaya Nenek (2 GAMBAR) | PONTIAN - Seorang warga emas di sini melalui detik cemas apabila diragut seorang lelaki dalam kejadian di rumahnya di Kampung Parit Sulaiman, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam jam 12.30 petang itu, mangsa, Tukimah Turingon, 65, sedang berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal.
Tukimah berkata, ketika itu, hanya dia dan menantu, Norani Masnan, 41, berada di rumah, manakala anak serta cucu masing-masing keluar bekerja dan bersekolah.
Menurutnya, pada mulanya, dia beranggapan lelaki itu hendak meminta pertolongan berkaitan motosikalnya.
“Rupanya dia mahu tahu mengenai arah rumah rakannya yang didakwa merupakan penduduk kampung ini.
“Mula-mula dia sebut nama rakannya ialah Hassan, pemandu teksi, kemudian mengubahnya kepada Hassan, tukang urut. Namun, tiada penduduk dimaksudkan tinggal di sini.
“Nenek beritahu, hanya Hassan yang bekerja sebagai tukang kebun sahaja tinggal di sini,” katanya.
Katanya, lelaki itu kemudiannya memintanya menunjukkan arah ke rumah Hassan berkenaan.
“Nenek terpaksa keluar dari rumah selepas berulang kali lelaki berkenaan mengajukan soalan sama.
“Ketika nenek berada di laman, lelaki itu terus merentap rantai leher sehingga nenek jatuh tersungkur,” katanya.
Dia berkata, mujur menantunya bertindak pantas cuba memukul lelaki berkenaan dengan kayu.
Sementara itu, Noraini berkata, dia rasa tidak sedap hati sebaik terdengar perbualan ibu mertuanya dengan lelaki itu.
“Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi seperti ibu terjatuh dan meminta pertolongan.
“Saya keluar dengan membawa kayu, lelaki itu yang melihat kehadiran saya kemudiannya bertindak melarikan diri dengan motosikalnya,” katanya.
Norani berkata, akibat kejadian itu, ibu mertuanya mengalami kecederaan di bahagian lutut dan siku selain kehilangan rantai emas berharga kira-kira RM3,000.
“Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Pontian,” katanya.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar