Liyana Jasmay Sudah Bergelar Isteri | KUALA LUMPUR: Perselisihan faham antara jurufoto Saiful Nang mengenai gambar pra perkahwinan Liyana Jasmay dan Fathuddin sehingga mengundang kontroversi gara-gara aksi mesra pasangan itu tidak menjejaskan persiapan majlis perkahwinan mereka.
Liyana yang kini bergelar isteri Fathuddin berkata, dia langsung tidak mengendahkan kontroversi itu dan menganggapnya sebagai isu remeh yang tidak perlu diambil tahu langsung.
"Tentang kontroversi itu, kami tidak bercakap mengenainya dan ia juga tidak menjejaskan sepanjang perjalanan persiapan perkahwinan kami.
"Saya dah biasa dengan kontroversi remeh seperti ini di mana ia akan senyap dengan sendirinya," kata Liyana selepas diijabkabulkan pada pagi Sabtu di Hotel Seri Pasific, di sini.
Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada sebelah malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Dua minggu sebelum pernikahan Liyana, ibu pelakon yang juga penyanyi itu, Habsah Simpon terkilan apabila foto pra perkahwinan yang sepatutnya untuk simpanan peribadi menjadi tatapan umum dan menyalahkan Saiful, yang bertindak sebagai jurugambar pasangan itu bertanggungjawab dalam penyiaran foto berkenaan.
Saiful yang juga pemilik syarikat fotografi, CandidSyndrome International, turut tampil menjelaskan situasi sebenar di mana dia tidak bersalah dalam hal tersebut.
Bagaimanapun, Liyana menyifatkan ia sebagai dugaan kecil buatnya dan hanya mampu menghadapinya dengan tenang.
"Saya pun sebenarnya tidak marah atau bengang dengan apa yang telah berlaku ini. Yang penting perjalanan perkahwinan kami berjalan dengan lancar," tuturnya.
Sementara itu, Liyana turut memberitahu, dia enggan mempunyai anak dalam masa terdekat kerana ingin melalui alam percintaan bersama suaminya memandangkan sebelum ini mereka hanya pernah keluar bersama untuk beberapa kali sahaja.
"Sudahlah saya belajar selama enam bulan sepanjang pertunangan kami pada tahun lalu, jadi inilah masanya untuk kami bercinta. Kalau boleh saya mahu berbulan madu bersama suami selama setahun sebelum menerima kehadiran orang baru dalam rumah tangga kami.
"Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya ada, ia satu rezeki buat kami," ujarnya.
Liyana bakal berangkat ke New York, Amerika Syarikat pada 15 Februari ini bagi menjalani penggambaran telefilem terbaru di bawah produksinya, Mermaid Studio iaitu 'NY Cinta' bersama Bront Palarae.
Fathuddin turut menemani isterinya dan kemudian pasangan itu akan ke London, England pada 28 Februari ini.
"Sebenarnya, kami ke London untuk membeli belah dan Fathuddin pula tidak menganggapnya sebagai sebuah percutian.
"Baginya, berada di sebuah pusat peranginan yang tenang adalah lokasi sesuai untuk berbulan madu, mungkin kami akan bercuti di tempat menarik di Sabah," selorohnya.
0 komentar:
Posting Komentar