Julia Ziegler Terbuka Hati Untuk Menerima Cinta Seorang Lelaki | KUALA LUMPUR: Pelakon Julia Ziegler terbuka hati untuk menerima cinta seorang lelaki yang dikenalinya selama lapan tahun selepas menjalani ibadah Umrah pada tahun lalu.
Julia, 29, berkata, kesungguhan lelaki itu yang cuba menambat hati wanitanya selain menyifatkan kekasihnya itu sangat memahami telah membuatkannya terpaut dengan jejaka tersebut.
"Kesungguhan dia yang telah menawan hati saya dan selepas berdoa semasa menjalankan ibadah Umrah tahun lalu hati saya terbuka untuknya.
"Alhamdulillah hubungan kami kini semakin kukuh dan saya selesa berkawan dengannya kerana dia menerima saya seadanya," jelasnya kepada mStar Online.
Julia bakal muncul dengan sebuah teater berjudul Asmara Songsang arahan Rahman Adam yang akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 1 dan 2 Mac depan. Ia boleh disaksikan secara percuma.
Dalam pada itu, Julia berkata, buat masa ini dia masih belum memikirkan soal perkahwinan memandangkan hubungan yang terjalin itu masih diperingkat awal.
Julia menjelaskan, walaupun telah mengenali teman lelakinya itu sebagai kawan namun dia ingin memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak saling mengenali dengan lebih mendalam sebagai pasangan kekasih sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
"Terlalu awal untuk cakap pasal kahwin dan biarlah hubungan ini kukuh terlebih dahulu," jelasnya.
Sementara itu, Julia berkata, tahun ini dia sudah bersedia untuk merancakkan kembali aktiviti lakonannya selepas menyepi daripada sebarang projek terbaharu.
Julia berkata, kehilangannya sebelum ini adalah kerana dia telah menghabiskan masa dengan menggembara ke pelbagai negara untuk mencari ketenangan.
"Telah banyak negara saya pergi sepanjang tahun lalu untuk menggembara sambil bercuti menenangkan fikiran dan sekarang saya sudah bersedia untuk merancakkan kembali aktiviti seni," katanya yang bakal terlibat dalam beberapa projek drama rantaian dan telefilem.
0 komentar:
Posting Komentar