Azad Jazmin Dilarang Jumpa Anak Dan Isteri | PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin memberitahu dia dilarang berjumpa dengan anaknya, Amarra Sofea Rose sekiranya pulang ke rumah selepas waktu senja.
Azad, 37, berkata, larangan itu dibuat oleh ibu mertuanya yang sedang menjaga anak dan isterinya, Eira Syazira berpantang selepas bersalin melalui pembedahan 11 Januari lalu.
"Biasalah orang tua ada pantang larang dan sekiranya saya mempunyai penggambaran yang berlarutan sehingga malam saya tidak akan balik ke rumah mertua di Putrajaya kerana ibu mertua bimbang jika ada anasir buruk yang turut 'ikut' balik bersama yang mungkin akan memberi kesan kepada anak dan isteri yang sedang berpantang.
"Jadi jika saya tiada apa-apa hal penting saya akan memastikan akan terus balik ke rumah sebelum waktu senja untuk bersama isteri dan anak," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Azad berkata, dia kini sudah pandai menjaga serta menguruskan anaknya ekoran pergerakan Eira yang terbatas akibat bersalin melalui pembedahan.
Jelas Azad, dia banyak membantu ibu mertuanya menguruskan Ammara termasuk bangun malam setiap dua jam untuk membancuh susu buat anaknya dan menguruskan hal lain.
"Tanggungjawab semakin besar dan sejujurnya saya tidak kisah menguruskan anak kerana faham dengan keadaan isteri yang sedang dalam proses pemulihan daripada luka pembedahan.
"Walaupun letih tetapi saya cukup seronok dapat bergelar bapa kerana ia telah mematangkan saya dalam banyak perkara," katanya.
Tambah Azad, dia juga bersyukur kerana sejak berkahwin dan menimang cahaya mata rezekinya dalam bidang seni semakin bertambah dan menyifatkan ia sebagai rezeki anak.
"Dulu saya tidak faham apa yang dikatakan sebagai rezeki anak tetapi selepas berkahwin dan isteri mengandung baru saya fahami dan rezeki yang datang bagaikan air, Alhamdulillah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azad memberitahu selepas filem Gangster Celop yang akan ditayangkan pada 21 Februari ini dia akan mengikat kontrak sebanyak 10 buah filem bersama Grand Brilliance.
Bagaimanapun kata Azad, kontrak itu bukanlah bererti dia kini artis naungan syarikat itu sebaliknya hanya untuk muncul untuk projek istimewa itu sahaja.
Azad kini menguruskan sendiri kerjayanya tanpa diikat mana-mana produksi selepas menamatkan kontrak bersama Metrowealth (MIG).
0 komentar:
Posting Komentar