KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan OAG, Radhi enggan terburu-buru untuk berkahwin semula dalam tempoh terdekat walaupun sudah memiliki kekasih baharu sejak tiga tahun lalu.
Pemilik nama penuh Muhammad Radhi Razali, 36, berkata, dia hanya akan memperkenalkan gadis yang dikenali sebagai ‘A’, yang berusia 19 itu kepada khalayak apabila tiba waktu yang bersesuaian.
“Semua orang hendak kahwin tetapi kalau boleh untuk kali kedua ini biarlah kekal.
“Saya selesa berkawan dengan ‘A’ sejak tiga tahun lalu kerana dia memahami dan banyak menyokong.
“Namun kena tunggu waktu yang sesuai untuk diperkenalkan kepada umum,” katanya ketika ditemui pada pelancaran album mini Projek 3D (3 Duda: Dadidu) di sini, petang Isnin.
Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif, 35, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki Muhammad Rifdhi Muslim berusia tahun.
Penyanyi lagu 60’s TV itu berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah membina semula kerjaya nyanyian bersama OAG dan pulih sepenuhnya daripada ketagihan dadah.
“Yang penting sekarang mengeluarkan album baharu bersama OAG dan mengekalkan proses pemulihan daripada ketagihan dadah.
“2013 adalah sambutan ulang tahun ke-20 bagi OAG dan sudah lima tahun OAG tidak ada album baharu. Jadi kami perlu kemunculan semula dengan sebaik mungkin,” katanya.
Radhi berkata, proses pemulihan ketagihan dadah selepas keluar dari pusat pemulihan Pengasih Malaysia, kira-kira setahun setengah lalu adalah lebih mencabar.
“Proses pemulihan ini bukan terhenti selepas saya keluar sahaja. Ia berlanjutan sehingga akhir hayat.
“Walaupun sudah tidak ambil (dadah), di luar ini dugaannya lebih berat dan terlalu banyak. Sebab itu saya sentiasa berhati-hati dan perbaiki banyak aspek termasuk sikap dan pemikiran,” katanya.
0 komentar:
Posting Komentar