Searching...
Jumat, 04 Januari 2013
01.50 0

Kenapa Nabi Muhammad kahwin lebih?



Bismillahirrahman al-rahim. Demi yang menciptakan hati manusia, demi yang mengurniakan rasa cinta dan kasih, demi yang mengurniakan taufik dan hidayah, tunjukilah kami semua jalan yang benar, jalan para Anbiya’, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin, sesungguhnya engkau Ya Allah maha berkuasa ke atas setiap sesuatu”.

Ramai ulama yang tidak membincangkan perkara ini kecuali untuk menjawap keraguan-keraguan dan tohmahan yang ditimbulkan oleh orientalis dan beberapa anak-anak islam yang liberal @ jahil agama. Sepatutnya semua tindakan Nabi tidak dipertikaikan dan dipersoal jika keimanan kita kepada baginda menebal. Ini kerana Nabi tidak melakukan sesuatu kecuali dengan perintah tuhan. Saya timbulkan persoalan ini sebagai menjawap kepada keraguan-keraguan yang ditimbulkan oleh beberapa golongan yang mahu mencalarkan imej kenabian Muhammad bin Abdullah insan termulia, pemilik syafaat pada hari akhirat dengan izin Allah Ta’ala.


Mari kita fahami kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi ini tanpa kita cuba menyeleweng dan menjadikannya hujjah kepada kesesatan sebahagian orang yang berkahwin lebih daripada 4 orang dalam satu masa. Kemulian yang dikurniakan kepada Nabi ini, iaitu kahwin lebih daripada 4 orang adalah perkara yang khusus kepada baginda & tidak dihalalkan kepada umatnya. Demikian juga dibolehkan bagi Nabi mengahwini wanita yang dimahukannya tanpa memberi mahar. Seperti juga permasalahan khumus (1/5) yang diperuntukkan hanya kepada Nabi. Justeru wajar diketahui bahawa disana terdapat beberapa perkara khusus hanya dibolehkan untuk baginda Nabi sahaja berdasarkan kepada dalil-dalil kitab dan sunnah.

Terdapat banyak hikmah yang dapat dikaji daripada keizinan ini kepada Nabi Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Nabi tidak pernah bertindak mengikut hawa nafsunya kerana baginda maksum, ditarbiyah dan dipantau oleh Allah Ta’ala. Semua perbuatan baginda adalah terpuji. Nabi tidak pernah marah dan membalas dendam untuk mengambil hak-haknya, akan tetapi marahnya baginda adalah jika hak-hak Allah dicerobohi, marah Nabi adalah jika hak-hak agama ditentang dan dipermainkan. Mari kita lihat beberapa hikmah kepada pernikahan Nabi yang semuanya berjumlah 9 orang dalam satu masa.

Hikmah Mendidik dan Mentarbiyah;

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila isteri-isteri nabi yang merupakan ibu-ibu kepada seluruh umat islam menjadi ilmuan yang terkenal dan dihormati oleh para sahabat. Lebih khusus lagi mereka inilah yang mengajarkan kita ilmu-ilmu rumahtangga dan apa-apa permasalahan hukum hakam berkait dengan wanita. Kita mengetahui petunjuk-petunjuk Nabi tatkala Nabi bermuamalah bersama isteri-isterinya melalui Ummahatil Mukminin. Bagaimana cara-cara yang diajarkan baginda dalam masalah perhubungan suami isteri, dalam permasalahan haid dan nifas, dalam permasalahan tandas dan sebagainya. Ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar adalah isteri Nabi yang paling berilmu. Paling dihormati dari sudut keilmuaannya oleh para sahabat yang telah banyak meriwayatkan hadis-hadis Nabi.

Justeru inilah kesan yang dapat dilihat hasil daripada pernikahan baginda yang sebenarnya bertujuan tarbiyah dan mendidik serta melahirkan seorang wanita mukminah yang memahami dan beramal dengan tuntutan agama. Sebagai contoh hadis dalam soheh bukhari dan muslim yang diceritakan oleh Ummu Salamah Radiyallahu anha berkata; “Telah datang seorang perempuan kepada Nabi lalu berkata; “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara-perkara yang hak, adakah seorang wanita wajib mandi jika dia bermimpi?” Nabi menjawap kepadanya; (Ya, jika dia melihat air).

Hikmah Pensyariatan;

Banyak hikmah dan manfaat yang dapat diambil daripada pernikahan Nabi yang ramai itu. Ianya melibatkan pensyariatan kepada agama ini dan menjelaskan kepada beberapa hukum islam itu sendiri. Islam membatalkan beberapa hukum-hukum jahiliyyah yang tersohor ketika itu. Sebagai contoh permasalahan berkaitan dengan anak angkat. Arab jahiliyyah mengaggap bahawa anak angkat menjadi pewaris dan mewariskan, haram dinikahi dan sebagainya yang mengambil hukum seorang anak kandung. Nabi juga pernah mengambil anak angkat bernama Zaid bin Harithah yang akhirnya menceraikan isterinya bernama Zainab binti Jahsyin disebabkan beberapa pertelingkahan rumahtangga diantara mereka.

Nabi meminati Zainab binti Jahsyin setelah diceraikan. Lalu Allah memerintakan agar dinikahi oleh Nabi. Tetapi kerana Nabi risau kepada percakapan orang-orang munafik dan fitnah yang bakal ditimbulkan maka nabi melengah-lengahkannya. Pasti mereka akan mengatakan “Muhammad telah menikahi isteri kepada anaknya (Zaid)”. Akhirnya turun ayat yang menyangkal tindakan Nabi itu. Allah berfirman dalam al-Ahzab ayat 37 yang maksudnya;

“Dan (ingatlah), ketika kamu Berkata kepada orang yang Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) Telah memberi nikmat kepadanya: “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah”, sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid Telah mengakhiri keperluan terhadap Istrinya (menceraikannya), kami kawinkan kamu dengan dia[1] supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu Telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya [2], dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi”.

Lihatlah hikmah daripada pernikahan ini yang ianya datangnya daripada arahan Allah. Sebab itulah Zainab bte Jahsyin berbangga dengan pernikahan ini dan ianya menjadi satu-satunya aset termahal beliau kerana dinikahkan oleh Allah daripada atas langit. Dalam soheh Bukhari dinyatakan bahawa Zainab berbangga ke atas isteri-isteri Nabi yang lain dan berkata; “Kamu semua dikahwinkan oleh ahli keluarga masing-masing, sedangkan aku dikahwinkan oleh Allah daripada atas langit yang tujuh”. Dengan pernikahan Nabi ini, maka terbatallah beberapa hukum jahiliyyah dan persepsi buruk mereka kerana Nabi telah menikahi bekas isteri kepada anak angkatnya. Maha suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.

Hikmah Sosial & Kemasyarakatan;

Ini dapat dilihat daripada perkahwinan Nabi dengan Aisyah yang merupakan anak kepada Abu Bakar as-Siddiq. Insan yang paling banyak menyumbang kepada agama Allah. Yang paling banyak membantu baginda dari semua segi sehinga tidak mampu dibalas oleh Nabi. Kemudian pernikahan Nabi dengan Hafsah binti Umar al-Khattab. Pernikahan ini amatlah menggembirakan Abu Bakar dan Umar yang masing-masing menawarkannya kepada baginda. Dengan pernikahan ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan semakin erat dikalangan kabilah Quraish yang terkenal. Ini secara langsung menjadikan hati orang-orang kafir Mekah semakin hampir terhadap dakwah Nabi. Demikianlah pernikahan Nabi dengan anak perempuan Abu Sufian yang mana Abu Sufian ketika itu masih kafir. Apabila sampai khabar berita itu kepada Abu Sufian, beliau tidak membantahpun, bahkan memujinya sedangkan beliau ketika itu amat memusuhi Nabi. Ini kerana mereka mengetahui bahawa nabi muahammad adalah insan yang mulia, bertanggungjawab bahkan sangat jujur (al-amin) seperti diakui sendiri oleh kafir Quraish sebelum perutusan Nabi.

Perkahwinan ini menjadi kebanggaan kepada bapa-bapa mertua Nabi. Menjadi kemulian kepada mereka dan secara langsung menguatkan hubungan mereka secara nasab dan perbesanan. Justeru hikmahnya dapat diketahui melalui hikmah social dan amatlah salah jika perkahwinan ini hanya dikaitkan dengan nafsu semata-mata. Amatlah silap, biadap bahkan menjadi kafir jika Nabi dipersendakan dengan sebab perkahwinan baginda yang ramai ini. Semua yang dilakukan oleh Nabi ini telah mendapat keredhoaan Allah, maka siapakah anda untuk mempertikaikan? Bahkan para Anbiya’ sebelum baginda dikalangan Bani Israel lebih banyak bilangan isteri mereka berpuluh kali ganda berbanding Nabi Muhammad. Umpamanya Nabi Sulaiman, mengapakah tidak timbul prejudis terhadap beliau menurut pandangan orientalis? Jelaslah bahawa kedengkian mereka terhadap islam dan Nabi menjadikan mereka mencari-cari kelemahan tertentu yang kononnya boleh menjadi umpan bagi memesongkan akidah umat islam.

Hikmah Politik;

Perkahwinan seringkali menjadi penyumbang kepada perubahan banyak pihak. Sekurang-kurangnya ianya memberi kesan samada positif mahupun negetif kepada hidup seseorang. Sebab itu islam melarang wanita mengahwini golongan kafir dan membenarkan muslimin mengahwini kafir ahli kitab. Ikatan individu terhadap sesuatu kaum melalui pernikahan menjadi kuat, permusuhan menjadi kurang, dan hati semakin terbuka untuk menerima sesuatu pandangan. Demikian diterimanya dakwah Nabi oleh kaum arab jahiliyyah yang sangat kasar tabiatnya. Lihatlah bagaimana kehebatan siasah @ politik Nabi dalam menjalankan tugas dakwahnya.

Mari kita lihat beberapa contoh perkahwinan Nabi yang melibatkan hikmah politik. Sebagai contoh, perkahwinan Nabi dengan Juwairiyah bte al-Harith. Bapa Juwairiyah adalah ketua kaum bani al-Mustoliq. Juwairiyah ini telah ditawan bersama ahli keluarganya setelah tewas dalam peperangan. Maka beliau datang kepada Nabi meminta supaya dibebaskan daripada menjadi tawanan kaum muslimin dengan meminta bantuan kewangan daripada Nabi. Nabi telah menawarkan kepada Juwairiyah untuk membayar pampasan baginya dan mahu menikahi dirinya. Juwairiyah telah menerima lamaran tersebut dan bersetuju menjadi isteri baginda. Tatkala para muslimin mengetahuinya mereka berkata; “Besan kepada Nabi dibawah tawanan kita?”. Maka mereka membebaskan semua tawanan yang punya hubungan persaudaraan dengan Juwairiyah yang jumlah mereka 100 keluarga. Akhirnya mereka semua memeluk islam setelah melihat penghormatan muslimin terhadap keluarga tersebut. Rujuk kisah ini dalam sunan Abi Daud no 3429 “Bab Fi Bai’e Makatib…”. Lihatlah ketinggian politik Nabi yang akhirnya menjadi sebab kepada keislaman mereka!

Demikianlah juga hal pernikahan Nabi dengan Sofiah binti Huyai yang merupakan anak kepada seorang pembesar Yahudi Khaibar (Huyai bin Akhtob). Hal yang sama juga berlaku dalam kes pernikahan Nabi dengan anak Abu Sufian bernama Ramlah yang kematian suaminya. Ramlah telah memeluk islam ketika di Mekah dan berhijrah ke Habsyah. Disanalah suaminya meninggal dunia yang menyebabkan Ramlah binti Abu Sufian keseorangan dibumi asing. Apabila Nabi mendapat khabar, lalu baginda menghantar surat kepada Najasyi untuk menikahinya. Betapa gembiranya Ramlah apabila dimaklumkan hal itu oleh Najasyi, kerana Ramlah mengetahui bahawa pasti dia dipaksakan kepada kafir jika kembali ke Mekah dan tinggal bersama keluarganya.

Pernikahan ini menjadi sebab kepada kurangnya seksaan terhadap umat islam di Mekah. Ianya juga telah melunakkan hati golongan kafir Bani Umayyah kepada islam disebabkan ikatan perkahwinan ini. Demikianlah diantara hikmah-hikmah pernikahan baginda melebihi 4 orang dalam satu-satu masa. Ianya didasari niat dakwah. Ianya adalah dengan keizinan Allah dan ianya adalah kemulian kepada Nabi yang Allah mengharamkan orang islam menikahi isteri-isteri Nabi setelah kewafatan baginda pada tahun 10 Hijrah.

Diantara maklumat terpenting yang wajar diketahui ialah, semua isteri-isteri Nabi adalah janda kecuali Aisyah bte Abu Bakar sahaja. Ini menjadi bukti jelas bahawa perkahwinan Nabi adalah didasari oleh iman, sifat rahmah, memelihara akidah, tarbiyah, siasah, dan lain-lain lagi maslahat umum melibatkan umatnya. Wallahu alam.

[1] Maksudnya: setelah habis Eddahnya.

[2] Yang dimaksud dengan Orang yang Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya ialah Zaid bin Harisah. Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya dengan memberi taufik masuk Islam. Nabi Muhammadpun Telah memberi nikmat kepadanya dengan memerdekakan kaumnya dan mengangkatnya menjadi anak. Ayat Ini membuktikan bahwa harus bagi umat islam mengawini bekas isteri anak angkatnya.-2dayblogger via gilerkentang

0 komentar:

Posting Komentar