Simulator Penerbangan Kapten Zaharie Dipertikai
Juruterbang berhak mempunyai hobi masing-masing termasuk memiliki simulator penerbangan di kediaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.
"Bagi juruterbang, mereka bebas mempunyai hobi masing-masing...mempunyai simulator di rumah sendiri," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan kehilangan pesawat MAS MH370 di sini, Jumaat.
Beberapa media tempatan dan asing melaporkan dengan memetik gambar daripada laman sosial Facebook milik juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah, yang menunjukkan juruterbang itu mempunyai simulator penerbangan sendiri di rumahnya di Shah Alam.
Ahmad Jauhari berkata, siasatan secara terperinci ke atas juruterbang tersebut hanya akan dilakukan jika terdapat petunjuk tertentu.
Jelasnya MAS masih lagi meneliti kesemua senarai krew penerbangan dan penumpang pesawat MH370 itu sebelum memulakan sebarang siasatan terperinci.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kemudian menjelaskan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas simulator tersebut belum lagi dilakukan.
"Kami tidak dapat jawab soalan mengenai perkara itu sehingga mereka pergi ke rumah itu untuk melihat simulator.
"Polis belum pergi ke rumah itu...belum memeriksanya...tetapi siasatan ke atas juruterbang itu sedang dijalankan," katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan ke rumah juruterbang itu untuk menemu bual anggota keluarga juruterbang tersebut, yang merupakan siasatan rutin untuk mencari sebarang petunjuk membabitkan aspek psikologi atau mental.
Kapten Zaharie merupakan juruterbang berpengalaman kerana sudah berkhidmat lebih 30 tahun.
Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu lepas.-mstar online
0 komentar:
Posting Komentar