Sebahagian Besar Data Simulator Penerbangan Milik Kapten Zaharie telah Dipadam - Zahid Hamidi
Kebanyakan maklumat dalam simulator milik juruterbang Malaysia Airlines MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah yang kini masih dalam siasatan polis telah dipadamkan pemiliknya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini semua input dalam simulator itu sedang diuji dan dikaji.
Bagaimanapun, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kaedah forensik untuk memperoleh semua maklumat yang telah dipadamkan itu.
"Harus diingat bahawa apa yang dilakukan pihak polis bukan untuk menuduh atau mahu menekan mana-mana anggota keluarga, tetapi dibuat untuk menjalankan siasatan paling teliti dan rapi supaya punca kejadian dapat diketahui.
"Kita kaji dan membuat siasatan jika terdapat beberapa kemungkinan untuk pihak polis mengkaji sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama para penjawat awam di sini Rabu.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang itu untuk diperiksa oleh pakar dengan harapan mendapat petunjuk bagi membantu mencari pesawat itu.
"Saya fikir polis sedang mengambil beberapa aspek terutamanya kita undang beberapa pakar yang terlibat dalam Boeing 777 dan pakar yang mengendalikan simulator latihan dan beberapa aspek teknologi maklumat (IT) kerana ia mempunyai kaitan dan pihak polis sedang minta kerjasama daripada pihak ini," kata Ahmad Zahid.
Menurutnya maklumat terperinci mengenai hasil siasatan itu belum dapat dimaklumkan memandangkan siasatan masih dijalankan.
"Saya yakin oleh kerana perkara ini sesuatu yang dikatakan 'pengendalian', saya beri kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara untuk memberikan maklumat apabila tiba masanya kepada media dan untuk diketahui masyarakat," katanya.
Ahmad Zahid berkata, polis turut melakukan penyiasatan di rumah pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, namun tidak mendapat sebarang petunjuk mengenai penglibatannya jika pesawat itu dilencongkan.
Ahmad Zahid juga menafikan dakwaan bahawa Malaysia tidak memberi kerjasama kepada Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan polis antarabangsa (Interpol) mengenai misteri kehilangan MH370.
"Kita yang minta mereka bekerjasama dengan kita kerana tidak boleh bersendirian dalam siasatan ini. Banyak negara itu mempunyai pengalaman mereka sendiri dari segi menangani kehilangan pesawat atau mempunyai sistem komunikasi yang boleh membantu mengesan di mana pesawat itu berada.
"Matlamat kita untuk mencari di mana kapal terbang itu. Kita bekerjasama rapat dengan semua badan perisikan antarabangsa," kata beliau.
Sementara itu, beliau berkata langkah-langkah keselamatan di kesemua pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan ditambah baik termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kami sudah ambil beberapa langkah. Saya sendiri yang telah mempengerusikan mesyuarat itu," katanya.
Penerbangan MH370 ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi, 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.-mStar Online
0 komentar:
Posting Komentar