Mayat Reput Ditemui Terapung Disahkan Mayat Muhammad
Penantian seorang ibu selama 36 hari untuk mengebumikan mayat anaknya yang ditemui mati lemas berakhir apabila jasad anaknya itu berjaya dituntut selepas keputusan DNA mengesahkan identitinya.
Mayat Muhammad Ariffin, 40, dituntut dari Unit Forensik Hospital Kemaman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan jam 3 petang, kelmarin.
Fatimah Sulong, 56, berkata, dia bersyukur kerana jasad anak sulungnya itu akhirnya berjaya disemadikan selepas melalui tempoh menunggu agak lama berikutan keraguan identitinya.
“Walaupun mayatnya dah jumpa, tapi tak boleh bawa pulang sebab memerlukan keputusan DNA bagi mengesahkan identitinya.
“Sekarang Alhamdulillah, semuanya dah selesai, hasrat mak cik nak kebumikan berdekatan pusara arwah bapanya termakbul,” katanya.
Muhammad Ariffin dilaporkan hilang 22 Januari lalu ketika terjatuh dari bot akibat dihempas ombak selepas pulang dari menangkap ikan di laut sebelum mayatnya ditemui 4 Februari lalu di Pantai Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.
Sinar Harian 5 Februari lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang kira-kira enam batu nautika timur perairan Tanjung Gelang, Kuantan, pada jam 11 pagi.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar