Searching...
Senin, 13 Februari 2012
10.15 0

Penyudah bergaya

HEBAT...juara keirin lelaki, Josiah (tengah) dan pemenang pingat perak, Azizulhasni serta juara keirin wanita, Fatehah meraikan kejayaan mereka selepas tamat perlumbaan semalam.
HEBAT...juara keirin lelaki, Josiah (tengah) dan pemenang pingat perak, Azizulhasni serta juara keirin wanita, Fatehah meraikan kejayaan mereka selepas tamat perlumbaan semalam.
PENAMAT satu dua acara keirin pada hari terakhir Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Cheras dianggap satu penyudahan yang cukup simbolik buat pelumba negara, Josiah Ng.
Pelumba yang baru menyambut ulang tahun ke-31 pada 2 Februari lalu menyifatkan kemenangan itu sesuatu yang cukup bermakna buat dirinya, apatah lagi dia tidak pernah menyumbang sebarang pingat di ACC sebelum ini.

“Lebih baik lambat daripada langsung tidak pernah meraih apa-apa. Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Ia memberi banyak makna buat saya. “Tidak kiralah siapa menang dalam perlumbaan itu, sama ada saya atau Azizul(hasni Awang), yang pasti kami akan gembira atas kejayaan masing-masing. Kami berdua begitu rapat, seperti adik dan abang. Bersaing sesama sendiri dalam dunia basikal dan banyak kongsi waktu gembira bersama.
“Saya pasti jika saya menang, dia gembira dan jika dia menang, saya juga gembira. Penamat satu dua, membuktikan penguasaan kita dalam acara keirin sejak dari Sukan Komanwel,” kata pelumba kelahiran Filipina itu.

Josiah melepasi garisan penamat dengan catatan 10.985 saat untuk mengatasi Azizul yang memenangi perak dan Yudai Nitta dari Jepun, gangsa. Josiah berkata, jika dulu Azizul menjadikan dirinya sebagai idola, tapi hari ini sebaliknya apabila Azizul pula yang menjadi sumber inspirasi kepadanya.

Azizul dianggap sebagai pencetus fenomena baru dalam dunia berbasikal dan Josiah menyifatkan apa yang diperolehnya ketika ini adalah kerana didorong beberapa faktor.
“Kita mempunyai satu pasukan kuat. Kehadiran Azizul memberi kehidupan kedua kepada saya dan tidak lupa kepada isteri saya, Kim Ong yang sentiasa menyokong di saat saya susah dan senang,” katanya.

Bagi Azizul, biarpun sekadar menduduki tempat kedua dan gagal menebus kekecewaan dalam acara pecut, Azizul tetap gembira kerana pingat emas masih lagi menjadi milik negara.
Mengulas mengenai strateginya, Azizul berkata, dia tidak sempat mencari posisi terbaik apabila dikepung dan dihalang pelumba Jepun.

“Saya tak kisah biarpun nombor tiga, sebab saya tengok Josiah sudah berada di depan. “Tapi saya tetap cuba mempamerkan kayuhan terbaik untuk membuktikan dominasi Malaysia dalam acara keirin,” katanya.

Selepas menamatkan saingan dalam acara trek, Malaysia setakat ini berada di tempat ketiga keseluruhan dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, manakala Hong Kong mendahului dengan 5-3-4 dan China, 4-2-2.

Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia akan diteruskan dengan acara perlumbaan lebuh raya yang akan bermula esok.
sumber

0 komentar:

Posting Komentar