KUALA LUMPUR – Seorang tukang masak yang dipercayai hadir ke Mahkamah Majistret Jalan Duta di sini untuk menjamin rakannya pada Isnin lalu, sebaliknya hari ini dia didakwa atas tuduhan mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang peguam pada hari tersebut.
Lim Chou Huat, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.Tertuduh didakwa mencuri telefon bimbit jenis Blackberry Torch yang bernilai RM1,500 milik Nur Ain Jaafar, 32, di Mahkamah Majistret Jenayah Enam, Aras 3, Jalan Duta di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 13 Februari lalu.
Lelaki yang masih bujang itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Hemavthi yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tetapi Chou Huat yang tidak diwakili peguam bela merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM1,000.
Mahkamah kemudian membenarkan lelaki terbabit diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya seminggu sekali sehingga kes selesai.
Chou Huat dibebaskan setelah adiknya membayar ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 14 Mac ini.
sumber
0 komentar:
Posting Komentar