Hukum Bekerja Di Restoran Tidak Halal | Islam mewajibkan umatnya mencari rezeki yang halal, maksud halal di sini ialah jauh dari tercampur benda-benda yang haram dan dilarang oleh Allah swt. Ramai umat Islam sekarang ini tidak faham dengan konsep mencari rezeki yang halal, malah mereka mengeluarkan fatwa hukum sendiri untuk menghalalkan pekerjaan mereka tersebut, walaupun mereka sedar bahawa pekerjaan mereka itu jelas haram.
Inilah yang menjadi penyakit umat Islam sekarang ini, walaupun mereka bukan dari kalangan orang yang mempunyai ilmu agama tetapi percakapan dan fatwa mereka seolah mereka orang agama. Sebab itulah jadinya sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya.
Saya sendiri pun tidak pandai dan tidak berani mengeluarkan hukum pendapat sendiri tanpa disandarkan kepada pendapat Al-Quran, Hadis dan ulamak. Setiap hujah yang dikeluarkan mestilah berpandukan kepada 4 sumber perundangan Islam iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Inilah yang dinamakan sebagai sumber yang sahih dan lebih yakin dengan kebenarannya dan mempunyai nilai ilmiahnya.
Bekerja di restoran yang menyediakan makanan haram seperti babi, arak dan sebagainya adalah haram, hal ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud :
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).” (Al-Maidah : 2)
Ayat di atas cukup jelas bahawa Allah melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang mungkar atau dosa seperti menjual benda-benda yang jelas haramnya. Ini seolah bersyubhat dengan pihak kedai tersebut dan meredhokan apa yang dilakukan dikedai atau restoran tersebut. Haram bagi umat Islam menjual daging babi, arak, makanan atau barang-barang yang diharamkan oleh Islam. Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud :
“Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, maka Dia juga mengharamkan nilai harganya” (Diriwayatkan oleh Ahmad)
Ada alasan yang mengatakan bahawa tidak mengapa, kami cuma jual daging babi dan arak kepada non muslim sahaja dan tidak dijualkan kepada muslim. Ini pendapat orang yang tiada ilmu dan sengaja menambah-nambah perkara baru dalam agama, orang yang menambah benda baru dalam agama tanpa dalil, maka akan ditempatkan di dalam neraka Allah. Haram juga bagi orang yang menjualkan daging babi, arak kepada non muslim, ini berdasarkan kepada hadis di atas.
Rasulullah melaknat orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan arak. Ini berdasarkan kepada Hadis Anas Bin Malik :
“Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai arak iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Jelas di sini bahawa hukum orang yang bekerja di restoran yang menyediakan makanan yang tidak halal adalah haram walaupun ia hanya dihidangkan kepada non muslim sahaja. Lagilah besar dosanya kalau dihidangkan makanan haram kepada muslim. Kalau mereka yang telah melaksanakannya, maka kembalilah ke jalan Allah dan bertaubatlah sebelum terlambat.
Masalah duit biasiswa itu tidak menjadi masalah kalau mereka ingin mencari pendapatan lebih, pastikan pekerjaan itu adalah pekerjaan yang halal. Bagi mereka yang mahu bekerja, jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab hakiki iaitu belajar. Orang yang belajar ialah orang yang membawa amanah daripada Allah, keluarga, bangsa dan negara. Kalau mereka mensia-siakan amanah itu, maka mereka berdosa dengan Allah dan semua orang yang terlibat dalam usaha untuk memberikan bantuan pelajaran kepadanya.
Sumber: Ustaz Nor Amin
7eleven jual arak tu cmne?
BalasHapus7eleven jual arak tu cmne?
BalasHapus