Searching...
Jumat, 17 Februari 2012
16.31 0

Larikan Kereta Peronda Selepas Sedar Diburu

Larikan Kereta Peronda Selepas Sedar Diburu
MELAKA – Seorang lelaki yang memiliki  dua rekod kesalahan berkaitan dadah kini diburu  kerana melarikan sebuah kereta peronda polis di  pekarangan Balai Polis Trafik Alor Gajah di sini  semalam.
Suspek yang berusia 35 tahun melarikan kereta  peronda jenis Proton Iswara pada pukul 10 malam  selepas menyedari dia dikehendaki polis kerana  terlibat dalam kes dadah pada 2004.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye  berkata, suspek sebelum itu datang ke balai polis  bersama isterinya untuk membuat laporan  selepas terlibat dalam satu kemalangan Selasa  lalu.
“Bagaimanapun, dia ternampak status dirinya  dikehendaki polis atas dua kes kes dadah di  Pengkalan Chepa, Kelantan dan Tanjung Minyak di  sini ketika anggota polis memusingkan skrin  komputer untuk mengambil keterangan  kemalangan.
“Akibat panik, suspek segera melarikan diri  bersama isterinya. Namun, dia berjaya ditangkap  oleh anggota polis di pekarangan balai itu,” katanya  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari  ini.
Bagaimanapun, kata Ghee Lye, suspek ketika itu  tidak dapat digari kerana tangan kanannya  bersimen disebabkan patah selepas terlibat dalam  kemalangan.
Suspek yang kemudian dimasukkan ke tempat  duduk belakang sebuah kereta peronda yang telah  dihidupkan enjin kemudian bertindak pantas ke  bahagian pemandu dan melarikan kereta  tersebut.
Kata Ghee Lye, beberapa anggota polis trafik telah  mengejar kereta peronda itu sejauh lima kilometer  namun suspek berjaya meloloskan diri.
Katanya, polis bagaimanapun berjaya menemui  kereta peronda yang dilarikan suspek di tepi jalan  Kampung Panchor, Alor Gajah pukul 2.15 pagi  ini.
“Polis kini melancarkan gerakan besar-besaran di  sekitar Alor Gajah namun sehingga kini gagal  menemui suspek dan percaya suspek yang  bertubuh kurus akan mendapatkan rawatan di  klinik dan hospital kerana kecederaan yang  dialami,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun  Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang  mempunyai maklumat supaya menghubungi IPK  Melaka di talian 06-2854222 atau Ibu Pejabat  Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian  06-5564153.
* Sekadar Gambar Hiasan


0 komentar:

Posting Komentar