Searching...
Selasa, 05 Maret 2013
04.40 0

Rakyat sokong gempur pengganas



Rakyat sokong gempur pengganas | LAHAD DATU: Tindakan drastik pasukan keselamatan untuk menamatkan kemelut pencerobohan selama 22 hari di Kampung Tanduo, di sini dengan melancarkan serangan ofensif hari ini mendapat reaksi positif penduduk di Sabah.

Rata-rata penduduk yang ditemui Bernama menyokong tindakan serius kerajaan dalam menangani isu pencerobohan di beberapa kawasan di negeri ini dan berharap operasi pembersihan penceroboh itu berakhir segera.
Pekerja hotel, Anisah Aradji, 37, berkata beliau dan keluarga berasa risau dan takut selepas mengikuti peristiwa yang berlaku di Kampung Tanduo dan Semporna di akhbar.

"Sudah tentu saya risau dan takut. Selepas mengetahui pasukan keselamatan sudah melakukan serangan terhadap penceroboh, saya berasa sedikit tenang dan lega tetapi tetap perlu berhati-hati kerana penceroboh masih belum dihapuskan sepenuhnya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Anisah berkata beliau dan keluarga bergegas melakukan persiapan setelah keadaan mula kecoh, termasuk menambah bekalan makanan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

"Selepas mengetahui insiden itu, kami terus membeli barangan dapur untuk persiapan sebarang kemungkinan kerana bimbang tentang keselamatan kami sekeluarga," katanya.

Bagi anak jati Felda Sahabat 16, Nuriyamah Mohemma, 25, berita mengenai serangan ofensif yang dilancarkan pasukan keselamatan ke atas kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo benar-benar melegakannya.

"Saya amat berterima kasih kepada polis dan tentera atas tindakan yang diambil dan berharap semua ini akan selesai segera kerana bimbang dengan keselamatan ibu bapa saya yang berada di sana," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Lahad Datu Datuk Nasrun Mansur turut bersetuju dengan tindakan pasukan keselamatan dalam menghapuskan ancaman daripada kumpulan penceroboh dari Sulu itu.

Serangan ofensif itu katanya mampu memberi keyakinan kepada penduduk di Lahad Datu dan menunjukkan kerajaan tidak lemah dalam menangani isu berkaitan keselamatan negara.

"Mereka akan berasa keselamatan mereka terjamin dan (tindakan) inilah yang memberi semangat kepada mereka. Ini sekali gus memberi satu tanggapan bahawa kerajaan mampu atasi isu pencerobohan ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Di Sandakan, keadaan dilaporkan terkawal dan polis meningkatkan kawalan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga di seluruh bandar itu bagi memantau situasi semasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong dalam sidang akhbar hari ini memberi jaminan keadaan keselamatan di bandar Sandakan adalah terkawal dan selamat.

"Orang awam masih menjalankan tugas seharian seperti biasa dan tiada perintah berkurung dikeluarkan," katanya.

Beliau turut meminta orang awam bekerjasama polis untuk menyalurkan apa jua maklumat berhubung kejadian dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka.

Harapan agar kemelut di Lahad Datu dan Semporna diselesaikan segera turut disuarakan rakyat Sabah yang berada di luar kawasan tragedi.

Sibin Gantau, 63, dari Tamparuli, berharap pencerobohan itu berakhir dengan cepat bagi mengelakkan lebih ramai yang terkorban.

"Pencerobohan itu tidak patut terjadi sebab dunia sudah maju," katanya.

Khairunisah Aisyah, 32, dari Tawau pula berharap masalah itu selesai secepat mungkin untuk membolehkan masyarakat menjalani kehidupan seharian tanpa rasa takut.

Katanya media juga perlu memainkan peranan untuk membuat liputan yang cepat dan tepat bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kehidupan masyarakat.

Ackley Saimon, 34, dari Menggatal pula berkata pertempuran itu tidak sepatutnya berlaku jika penceroboh bersenjata dari Sulu itu menerima cadangan supaya berundur seperti yang ditawarkan kerajaan sebelum ini.

"Harus diingat Sabah telah merdeka dan menjadi sebuah negeri di bawah Malaysia. Mana-mana negara di dunia akan menentang jika diceroboh orang asing. Cara Malaysia mengatasi masalah itu adalah terpuji kerana memberi penceroboh tersebut peluang untuk berundur," katanya. -hmetro

0 komentar:

Posting Komentar