Searching...
Rabu, 27 Maret 2013
03.10 0

KEJAM!!!Kanak-Kanak Mati Didera



KEJAM!!!Kanak-Kanak Mati Didera | KOTA BHARU : Seorang kanak- kanak berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai didera bapa kandung dan ibu tirinya di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, Umi Amelia Azman didakwa mengalami dua kesan pecah pada usus besar dan kecederaan pada buah pinggang kirinya.

“Selain daripada itu, mangsa juga dipercayai tidak diberi makan selama dua hari kerana hasil pemeriksaan mendapati perutnya kosong dan dipenuhi
darah. Kecederaan tersebut dialami mangsa dalam tempoh 48 jam,” katanya kepada pemberita semalam selepas merasmikan Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis ke 206 Tahun Peringkat Kontinjen Kelantan.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.56 pagi kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) selepas dimasukkan ke sana sehari sebelumnya.Beliau berkata, pada Sabtu lalu, mangsa dibawa ke HRPZ II dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapa kandung yang bekerja sebagai penjual sate ikan dan ibu tirinya.

Mazlan berkata, selepas pemeriksaan dijalankan seorang petugas di bahagian kecemasan hospital tersebut mengesyaki mangsa didera dan membuat
laporan kepada pihak polis.

“Mangsa adalah anak hasil perkahwinan bapa dan ibunya yang merupakan warganegara Thailand, bagaimanapun sudah bercerai lebih kurang dua
tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, polis telah menahan bapa mangsa dan ibu tirinya jam 6 petang kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, bapa kandung dan ibu tiri kepada Umi Amelia ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, mangsa dikatakan sejak seminggu lalu tidak dapat tidur malam sehinggakan dibawa untuk berubat cara tradisional.

Menurut Wan Norlin Said, nenek kepada Umi Amilia, arwah pulang di rumahnya di Hujung Perumahan Kos Rendah Jubakar Pantai tiga bulan lalu kerana sebelum ini berada di rumah ibu saudaranya di Johor.

“Dia pulang untuk bersekolah di sini, di sebuah tabika di kampung ini dan dijaga anak makcik, iaitu ibu tiri arwah,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang petanda pelik cuma sehari sebelum kejadian dia tidak mahu makan.

“Dia kurang sihat kerana sudah seminggu dia tidak dapat tidur malam,” katanya.

Menurutnya, keadaan arwah semakin serius apabila dia mengalami sesak nafas serta mukanya pucat menyebabkan bapa dan ibu tirinya membawanya
ke Hospital Tumpat.

“Dia kemudian dirujuk ke HPRZ II untuk rawatan selanjutnya namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Geting, di kampung kediaman bapanya jam 11 malam kelmarin.

Arwah merupakan anak sulung daripada dua beradik tidak mempunyai sijil kelahiran kerana lahir di Thailand, manakala bapanya merupakan warga tempatan.


0 komentar:

Posting Komentar