Jehan Miskin Merajuk Tolak Tawaran Berlakon | PETALING JAYA: Pelakon Jehan Miskin menyangkal dakwaan kononnya dia merajuk dengan dunia lakonan sehingga membuatkan dia menolak beberapa tawaran yang diberikan kepadanya.
Jehan sebaliknya berkata, keputusan menolak tawaran lakonan adalah disebabkan dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya barunya iaitu seorang penerbit dan pengarah.
"Benar sudah tiga bulan saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon daripada mana-mana produksi kerana terlalu sibuk dengan pelbagai tugas sebagai pengarah dan penerbit.
"Merajuk itu tidak benar sama sekali kerana tiada sebab untuk saya berbuat demikian," jelasnya kepada mStar Online.
Jehan memberitahu dia bakal mengarahkan drama rantaian untuk 8TV berjudul What Ifsebanyak 13 episod selain sibuk dengan kerja-kerja pengarahan iklan komersial untuk syarikat korporat.
"Ramai tidak menyedari saya sudah tiga tahun bergiat aktif dalam penghasilan iklan komersial dan dokumentari untuk siaran televisyen," katanya.
Dalam pada itu, Jehan berkata, dia akan kembali berlakon apabila tiba masa yang sesuai kerana buat masa ini ingin memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang pengarahan.
Katanya, dia perlu melakukan sesuatu bagi meluaskan kerjaya seninya dan tidak boleh terus berada pada tahap lama demi masa depan.
"Saya perlu membawa karier saya ke tahap yang lebih baik dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja dan untuk mengejar cita-cita itu saya perlu melupakan dunia lakonan seketika.
"Tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak mahu berlakon kerana lakonan masih menjadi minat utama saya," ujarnya.
Sementara itu, Jehan mengakui peminatnya ada mengajukan pertanyaan menerusi Twitter dan Facebook tentang ketiadaannya di televisyen sejak kebelakangan ini.
"Saya terharu dengan kebimbangan mereka terhadap saya dan pada masa sama saya rasa dihargai kerana peminat sentiasa bertanyakan tentang perkembangan terbaru dan mengingati saya," jelasnya.
0 komentar:
Posting Komentar