Roslawati (kiri) menahan sebak namun pasrah selepas menerima berita kematian anaknya akibat nahas jalan raya ketika menyertai Operasi Daulat di Lahad Datu, semalam. Gambar kecil
Ibu Allahyarham Farhan: ‘Lemah longlai lutut saya’ | KOTA BHARU - ”Lemah longlai lutut saya apabila menerima berita mengenai anak kedua saya yang terkorban dalam nahas jalan raya semasa menyertai Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah, petang tadi (semalam).
“Memang saya sering risaukan dia yang menyertai operasi itu, namun dia selalu tenangkan saya supaya jangan risau kerana menurutnya, dia dalam keadaan selamat, “ kata ibu anggota tentera terbabit, Roslawati Ghani, 47, ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Darul Naim 2. Pasir Tumboh semalam.
Roslawati berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu, Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, Jumaat lalu, melalui telefon bimbitnya.
“Walaupun masih terkejut, namun saya reda dengan pemergiannya dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan golongan beriman," katanya.
Roslawati berkata, ketika dia menerima berita daripada dua tentera yang datang ke rumahnya kira-kira jam 4 petang semalam, suaminya tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Singapura.
Sementara itu, datuk mangsa, Ghani Mohamad, 67, berkata, walaupun sedih dengan pemergiannya itu namun dia bangga dengan semangat cucunya yang berkhidmat untuk mempertahankan negara.
“Walaupun sedih tetapi kami tetap reda dengan pemergiannya kerana ALLAH SWT lebih sayangkan dia.-sinar harian
0 komentar:
Posting Komentar