Bersekedudukan Dengan Lelaki Warga Asing Sehingga Hamil
Bersekedudukan Dengan Lelaki Warga Asing Sehingga Hamil | ROMPIN – “Saya tak tahu prosedur, malah saya bimbang jika anak dilahirkan ini tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya yang sebenar kerana saya telah mengandung lapan bulan,” demikian luahan seorang saudara baru yang memeluk Islam, kira-kira sebulan lalu.
Salmah (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia mengandung anak luar nikah hasil hubungan sulitnya dengan seorang lelaki warga asing yang bekerja di sebuah projek tanaman buah-buahan tempatan berhampiran tempat tinggalnya.
Menurutnya, dia dan lelaki yang dikenali sebagai Mahmud (bukan nama sebenar), 30, mula menjalani kehidupan sebagai ‘suami isteri’ selepas dia disahkan mengandung dua bulan.
“Akibat keterlanjuran kami, saya mengandung, dan dia sanggup bertanggungjawab atas segala yang berlaku, malah mahu memperisterikan saya secara sah melalui ikatan perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, dia berdepan masalah untuk berkahwin secara sah kerana ‘suami’ warga asing itu beragama Islam, sedangkan dia masih berpegang kepada ajaran animisme dianutinya selama ini.
“Saya pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid), namun mereka meminta kami memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen memandangkan suami bukan orang tempatan,” katanya.
Salmah berkata, disebabkan urusan mendaftar perkahwinan rumit, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut istiadat masyarakat Orang Asli.
“Setelah berbincang dengan keluarga saya, kami mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut adat Orang Asli, malah ketika perkahwinan itu dilangsungkan saya masih belum memeluk Islam,” katanya.
Menurutnya, dia memeluk Islam sebulan lalu di Paid Rompin, bagaimanapun terpaksa menyembunyikan kandungannya.
Salmah yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu berkata, dia mahu mengikut prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam kerana bimbang masa depan anak yang bakal dilahirkannya itu.
“Saya memohon Paid menikahkan saya dengan segera kerana tidak sanggup bergelumang dosa, apatah lagi saya sudah menjadikan Islam sebagai pegangan hidup,” katanya.
Menurutnya, sejak hidup bersama Mahmud, lelaki warga asing itu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, malah dia yakin perkahwinan keduanya itu menemui kebahagiaan yang dicarinya selama ini.
“Saya mahu terus hidup bersamanya. Biarpun berlainan keturunan. Saya yakin lelaki ini bertanggungjawab dan ikhlas menerima saya seadanya,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Paid Muadzam Shah berkata, perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Orang Asli itu tidak sah di sisi syarak, sedangkan lelaki itu beragama Islam.
Menurutnya, pasangan itu perlu datang ke Paid Muadzam Shah untuk membetulkan semula pernikahan tersebut seandainya semua syarat termasuk kelulusan dan kebenaran daripada kedutaan negara dan Jabatan Imigresen diperoleh.
“Bagaimanapun, status anak dikandungkannya tidak sah dan tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama lelaki terbabit,” katanya.-Sinar Harian
0 komentar:
Posting Komentar