Searching...
Jumat, 17 Januari 2014
08.50 0

Pentadbiran Sekolah Mohon Maaf Isu Guru Dipaksa Buka Tudung


Pentadbiran Sekolah Mohon Maaf Isu Guru Dipaksa Buka Tudung |  Susulan kes seorang guru mualaf di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Teluk Sengat, Johor diarahkan membuka tudung dan diancam keselamatannya; pentadbiran sekolah berkenaan membuat satu permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Permohonan maaf dibuat Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah terbabit, Pang Ah Ngang, 72, dan Guru Besar, Chiew Swee Tuan di hadapan guru mualaf terbabit yang dirahsiakan nama Islamnya, Choi Yi Shan, 25, di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Kota Tinggi.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak; Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman dan Penghulu Mukim Johor Lama, Mohd. Nazri Kasmin.

Guru berkenaan menerima permohonan maaf itu dan berkata tidak mahu mengheret isu ini lagi dan hanya mahu menumpukan perhatian kepada tugas beliau.

Dilaporkan bahawa guru itu telah dipindahkan sementara waktu ke sebuah sekolah di daerah Kota Tinggi sementara Jabatan Pendidikan Johor menyiasat kes itu.
 Semalam, Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO Malaysia, Rafiq Naizamohideen mengeluarkan kenyataan memberi tempoh selama 24 jam kepada ahli jemaah pengurus SJKC Nan Ya untuk memohon maaf kepada umat Islam negara ini.

Selain itu, beliau turut mendesak agar Guru Besar sekolah terbabit dipecat kerana gagal memahami sensitiviti umat Islam negara ini.

Sementara Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim pula dalam satu kenyataan media turut melahirkan dukacita terhadap insiden ini namun beranggapan ucapan maaf sahaja tidak cukup untuk menyelesaikannya.

“Kes ini tidak boleh diselesaikan sekadar permohonan maaf daripada pihak berkenaan kerana ia melibatkan keselamatan awam. PPUNJ juga berasa amat kesal dengan sikap berdiam diri Guru Besar sekolah terbabit yang seolah-olah merestui tindakan terkutuk itu.”

“Kami mendesak Kementerian Pelajaran agar mengambil tindakan tegas terhadap Guru Besar sekolah tersebut, bersesuaian dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan kes seumpama ini tidak berulang lagi,” tegas Hahasrin yang dipetik Astroawani.com.

0 komentar:

Posting Komentar