Searching...
Rabu, 15 Januari 2014
05.22 0

Ibu kecewa anak OKU tidak diizin tukar belajar tingkat bawah


 Ibu kecewa anak OKU tidak diizin tukar belajar tingkat bawah | Kuala Lumpur: “Mama boleh tak bedah kaki adik dan ganti kaki baru? Adik nak pergi sekolah macam kawan-kawan lain.” Itu permintaan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) selepas terpaksa berhenti sekolah berikutan tiada kemudahan untuk OKU sepertinya disediakan.

Alliy A’fif Kamaron Zaman, 9, yang menghidap penyakit lemah otot sejak berusia enam bulan terkilan selepas permintaannya supaya kelasnya di tingkat tiga ditempatkan ke tingkat bawah tidak dilayan oleh pengurusan sekolah.

Menurut ibu kanak-kanak berkenaan Widyawati Mohd Nor, 35, lebih menyedihkan apabila guru besar sekolah anaknya belajar seolah-olah menghalau Alliy A’fif daripada meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan.

Katanya, berikutan itu, dia hanya mampu meminta surat berhenti sekolah daripada pengurusan sekolah berkenaan selepas anaknya tidak mampu menaiki tangga selain berisiko untuk jatuh. “Pihak sekolah memberi alasan bahawa nama kelas sudah diletakkan di pintu kelas sedia ada dan menyusahkan untuk ditukar ke tingkat lain.

“Saya sedih mengapa sistem semudah ini tidak boleh ditukar sedangkan keadaan anak saya yang tidak boleh berjalan perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Harian Metro turut difahamkan Alliy A’fif memperoleh keputusan memuaskan di sekolah berkenaan ketika tahun satu dan dua, namun pada tahun ini langsung tidak dapat hadir ke sekolah berikutan kedudukan kelasnya di tingkat atas.

 Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila kelas anaknya itu pada tahun ini terletak di tingkat tiga hingga memerlukan pembantu bagi mengangkat Alliy A’fif yang mempunyai berat badan melebihi 30 kilogram.

Widyawati berkata, dia tidak meminta anaknya itu diberikan layanan istimewa, cukup memadai dia diberikan kelas di tingkat bawah sesuai dengan keadaan fizikalnya.

“Anak saya hingga sekarang tidak dapat ke sekolah dan hanya menunggu jawapan daripada sekolah yang lebih jauh untuk menerimanya memandangkan sekolah itu mempunyai kemudahan lif.

“Saya hanya mahukan anak saya menerima pendidikan seperti kanak-kanak sebaya, bukannya diabaikan seperti ini,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu kini menunggu jawapan daripada Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan untuk menempatkan Alliy A’fif memandangkan hanya sekolah berkenaan yang menyediakan lif. “Kini saya perlu tunggu hingga hujung bulan ini jika sekolah yang dipohon terdapat kekosongan, namun jika tiada, saya buntu untuk menyelesaikan masalah anak saya ini.

“Doktor mengesahkan anak saya hanya tidak berupaya untuk berjalan sendiri dan perlu menggunakan kerusi roda, namun dia normal dari segi tahap intelektual,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai keadaan dihadapi Alliy A’fif.

Pada masa sama, jurucakap Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan berkata, kanak-kanak OKU lebih sesuai ditempatkan di sekolah yang mempunyai kemudahan lif.

“Sebuah sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya boleh mengubah kedudukan kelas atas beberapa faktor seperti mungkin terdapat susunan tertentu bagi sesebuah sekolah itu.

“Bagaimanapun, JPWP sudah dimaklumkan mengenai keadaan Alliy A’fif dan sedang mencuba sedaya upaya untuk ditempatkan ke sekolah yang dipohon,” katanya.

0 komentar:

Posting Komentar