Isu Ditahan Di Sweden : Anak Luahkan Perasaan Tidak Selesa
Isu Ditahan Di Sweden : Anak Luahkan Perasaan Tidak Selesa | KUALA LUMPUR - Empat anak pasangan warga Malaysia, yang ditahan polis Sweden setelah didakwa memukul mereka kerana enggan bersolat, menyatakan rasa tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama di negara itu.
Anak sulung pasangan itu yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 14, berkata, beliau dan tiga adik lelakinya yang berusia 7, 11 dan 12 tahun ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu sejak ibu bapa mereka ditahan pada 18 Disember lepas.
Aisyah berkata mereka tidak gembira dengan keadaan di dalam rumah berkenaan.
"Kami tidak gembira tinggal dengan keluarga angkat sebab keluarga ini bela anjing.
"Keluarga angkat juga makan makanan tidak halal...walaupun kami tidak diberi makanan itu tetapi kami berkongsi pinggan mangkuk yang sama," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Aisyah berkata mereka juga berulang kali menyatakan hasrat pulang ke Malaysia secepat mungkin namun tidak dibenarkan pihak khidmat sosial.
Katanya mereka juga tidak dibenarkan bertemu ibu bapa dan anggota keluarga dari Malaysia.
Menurutnya seminggu selepas penahanan ibu bapa mereka, keluarga dari Malaysia datang untuk bertemu dengan mereka namun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.
Anak kedua yang mahu dikenali sebagai Ammar pula berkata mereka mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin kerana tidak tahan tinggal dengan keluarga angkat itu.
"Kami rindukan mummy dan daddy...kami nak balik Malaysia tapi mereka tidak benarkan. Kami sedih, setiap kali balik sekolah mummy dan daddy tiada.
"Sebelum ini, mummy dan daddy hantar dan ambil kami di sekolah. Sekarang terpaksa naik kenderaan awam sendiri. Adik bongsu pun menangis setiap hari sebab rindukan mummy dan daddy," katanya.
Tahanan reman pasangan suami isteri itu, yang dipercayai kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan dua minggu lagi bagi membantu siasatan. - Bernama
0 komentar:
Posting Komentar