Misteri! Roh Isteri Jengah Suami Di Felda Hulu Tebrau | Kelmarin, saya terbaca sebuah artikel menarik di Majalah Mastika edisi Mei 2008, yang telah dibeli lebih sebulan yang lalu tetapi belum berkesempatan untuk membacanya. Saya mulanya tertarik dengan tajuk kecil di kulit Majalah berbunyi ‘Politik Malaysia dalam bahaya? ‘ lantas membelinya.
Artikel yang paling menarik itu adalah di muka surat 26, tulisan wartawan terkenal Mastika, saudara Shahidan Jaafar bertajuk “ Roh isteri jengah suami di Felda Hulu Tebrau”.
Berdasarkan maklumat dari artikel tersebut, saya membuat carian di internet ke atas nama ‘Dr Talib Samat – UPSI’ , dan hasilnya beliau adalah Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Artikel ini berkenaan arwah ibunya yang telah meninggal dunia tetapi rohnya masih berkunjung ke rumah keluarga mereka di kampung Felda Hulu Tebrau untuk berbual2 dengan ayahnya. Dr Talib mengundang Mastika untuk menyiarkan kisah ini untuk dijadikan iktibar dan pedoman kepada kita semua.
Pada hari Jumaat 30 November 2007, jam 12.05 tengahari, ibu kepada Dr Talib Samat, Puan Nea Mohd Zain, 75 telah meninggal dunia dan disemadikan pada petangnya di Tanah Perkuburan Islam Hulu Tebrau. Di sini saya petik sebahagian isi artikel tersebut sepertimana yang diceritakan Encik Samat Tukiman, 75, kepada wartawan Mastika.
Pakcik Samat Tukiman, foto kecil – almarhum makcik Nea Mohd Zain ( moga2 kita bertaubat bersungguh-sungguh demi menelusuri jejak langkah kesolehan makcik Nea)
MALAM itu, majlis tahlil arwah diadakan. Jiran-jiran dan saudara-mara terdekat dijemput.Tiba-tiba ketika majlis tahlil sedang berlangsung, Samat terpandang arwah isterinya datang dengan memakai telekung putih.
Arwah isterinya muncul dari pintu utama dan kemudian berjalan ke kelompok jemaah wanita. Setelah itu, arwah mendekatinya. Samat melihat tubuh isterinya tidak longlai seperti ketika dia sedang sakit dahulu. Tubuhnya segar dan kuat.
“Saya sihat!” jelas arwah isterinya sambil memerhatikan orang yang sedang bertahlil.
Samat senyum dan mengangguk. “Ramai orang di rumah kita ni!?” tanya arwah isterinya.
“Tengah tahlil, baca doa untuk awak!” beritahu Samat.
“Baguslah! Tapi di sana lebih istimewa. Kawan-kawan pun ramai,” beritahu arwah isterinya lagi.
Arwah isterinya itu tidak lama menghadiri majlis tahlil. Setelah muncul beberapa minit dan berbual-bual dengan Samat, wanita itu berjalan menerusi pintu utama dan terus ghaib.
Ketika itu tiada sesiapa yang menyedari kehadiran arwah kecuali Samat seorang.
Pada malam kedua, arwah isterinya datang lagi ketika majlis tahlil sedang berlangsung.
“Masih tahlil lagi?” tanya arwah isterinya.
“Ya. Tahlil,”jawab Samat.
Pada malam berkenaan, itulah sahaja perkara yang ditanya arwah isterinya.
Malam-malam berikutnya, arwah isterinya datang lagi, semasa majlis tahlil diadakan. Selepas bertanya khabar, wanita itu menghilangkan diri semula.
Namun pada malam ketujuh, arwah datang dengan membawa rombongan kawan-kawannya
seramai lebih kurang 60 orang. Setiap ceruk rumahnya penuh dengan kawan-kawan arwah
isterinya. Semua wanita yang dibawa isterinya itu memakai telekung putih, seorang pun tidak dikenalinya.
“Macammana di sana (kubur) ?” tanya Samat.
“Lagi istimewa. Dalam kubur, ada cahaya terang benderang!”
Semasa berbual-bual itu, arwah banyak mengingatkan supaya jangan lupa sembahyang, bersedekah dan membuat ibadat supaya apabila meninggal dunia kelak kuburnya dilimpahi cahaya terang-benderang.
Samat juga diberi gambaran oleh arwah keadaan di kuburnya tidaklah sunyi dan gelap seperti disangka tetapi terang benderang seperti sebuah bandar.
“Rumah kita ni gelap sikit. Tapi sana (kubur) macam bandar, terang-benderangl”
beritahu isterinya lagi.
Rakan-rakan arwah semuanya hanya mendiamkan diri.
Samat sempat bertanya arwah bagaimana corak kehidupan dalam kubur.
” Sana saya bukan makan nasi, saya makan kalimah syahadah, lailahaillah dah kenyang,” beritahu isterinya lagi.
Setelah majlis tahlil berakhir, arwah isterinya mengajak 60 orang rakannya tadi pulang. Tapi sebelum pulang, sekali lagi arwah isterinya berpesan kepada Samat supaya jangan lupa bersembahyang.
“Kalau berhutang boleh dibayar tapi sembahyang, wajib kena buat,” pesan
arwah lagi.
Samat juga pernah bertembung dengan arwah isterinya dalam sebuah kereta ketika
dalam perjalanan menghantar anaknya, Dr. Talib ke perhentian bas di Larkin, Johor Bahru.
Apabila ditanya Samat, arwah isterinya memberitahu dia sengaja datang untuk mengetahui ke mana anak dan suaminya hendak pergi. Arwah muncul dan sepantas kilat boleh menghilangkan diri – lolos ketika kereta sedang laju bergerak.
Samat juga pernah bertembung dengan isterinya ketika mereka sekeluarga sedang minum di restoran.
Roh arwah juga ada kalanya muncul untuk menolong Samat ketika orang tua itu dalam kesusahan, mengangkat barang seperti kerusi atau menyapu sampah.
“Pernah arwah tolong cabutkan pokok cempaka tu!” cerita Samat. Pokok cempaka tersebut sudah bergoyang- goyang akarnya. Tidak semena-mena arwah isteri Samat datang membantunya mencabut pokok tersebut.
Pakcik Samat berbual dengan arwah isterinya, di sebelahnya adalah anaknya Ashidah, adik Dr Talib.
KETIKA wartawan Shahidan Jaafar sedang berbual-bual di meja makan di dapur ( dalam pukul 4.00 petang) dengan Samat, tiba-tiba orang tua itu memberitahu arwah isterinya datang.
“Kenapa?, tanya Samat. Ini wartawan Mastika, Shahidan Jaafar. Ini Talib punya syor, Talib suruh masuk cerita awak dalam Mastika, boleh?” kata Samat seolah-olah bertanya kepada arwah isterinya.
Kemudian Samat diam.
“Tak apa! Dia kata boleh tulis. Ceritalah” beritahu Samat seketika kemudian.
Samat menjelaskan, arwah isterinya datang bertudung biasa.
Setengah jam kemudia, sekali lagi isterinya datang, kali ini duduk di atas kusyen pula.
“Awak nampak? Nampak ya? Inilah wartawan Mastika tu!” kata Samat
“Tadi dia beritahu saya, dia nampak wartawan Mastika. Dia kata, baguslah cerita perkara-perkara lama. Dia tanya, Wartwan Mastika nak tidur sini ke?”
“Saya kata tak, Datang nak interviu saja. Dia tanya nakbuat apa? Nak buat pedoman dan iktibar dalam Mastika ke? ” tanya Samat.
Ya! Cerita ini untuk pedoman dan iktibar!
NOTA: Anak-anak Samat juga sering merakam interaksi antara orang’ tua itu dengan arwah ibu mereka. Seperti yang dialami Mastika, gambar dan video yang mereka rakam itu menunjukkan Samat berbual seorang diri. Bayangan arwah ibu mereka tidak kelihatan langsung. Kata mereka, Samat sihat. Percakapan ayah mereka itu normal. Ingatannya masih waras. Selepas seminggu mengunjungi Samat, kami menerima SMS daripada anaknya, Dr. Talib Samat yang memberitahu ada perkembangan terbaru daripada adiknya, Ashidah Samat di Felda Hulu Tebrau di Johor.
“Arwah mak saya menghubungi Mak cik Niah, isteri Pak cik Sitam, jiran kami. Roh mak saya ucap terima kasih kerana pimpin majlis tahlil untuknya. Ini menunjukkan betapa arwah mak saya dapat menghubungi orang luar keluarga saya. Terimakasih. Dr. Talib Samat.”
0 komentar:
Posting Komentar