Searching...
Sabtu, 02 November 2013
04.23 0

Cinta Diana tak kesampaian... (3 GAMBAR)


Cinta Diana tak kesampaian... (3 GAMBAR) | Kematiannya diratapi jutaan manusia di seluruh dunia. Pemergian mengejutnya pada 31 Ogos 1997 akibat kemalangan maut di terowong Pond de l’Alma dekat Paris, Perancis sekelip mata jadi tumpuan dan ramai tidak dapat menerima puteri kesayangan dunia ini sudah tiada.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah hartawan Dodi al-Fayed yang disebut-sebut sebagai bekas kekasihnya.



Ketika itu seluruh dunia berkabung, menangis dan memberi penghormatan terakhir buat bonda kepada dua putera yang juga pewaris takhta diraja Britain iaitu Putera William dan Putera Harry itu.

Sepanjang hayatnya, kemuliaan hati Diana menjadi nadi dan inspirasi di pelusuk mana pun dan biar apa dugaan hebat termasuklah perceraiannya dengan Putera Charles, senyuman manisnya tidak pernah lekang.



Mendiang umpama sebutir berlian yang sentiasa memberikan harapan kepada manusia sejagat di mana usahanya untuk membantu kebajikan golongan susah tidak putus.


Lantas, tragedi yang meragut nyawanya itu cukup membuatkan jutaan hati hancur luluh sehinggakan pelbagai spekulasi timbul, ada menyalahkan papparazzi serta tidak ketinggalan mendakwa kemalangan itu dirancang.

Bercerai dan diasingkan dari Istana Buckingham, tidak termasuk terpaksa berjauhan daripada dua putera kesayangannya mungkin sudah membuat beliau sengsara namun siapa tahu apa sebenarnya kesengsaraan paling hebat melanda beliau.

Itulah yang cuba dipaparkan pada filem biografi mendiang hasil karya pengarah hebat Oliver Hirschbiegel menggambarkan keadaan Diana lakonan hebat calon Oscar, Naomi Watts dalam dua tahun terakhirnya sebelum pergi buat selama-lamanya.

Seluruh dunia ditinggalkan dengan teka-teki mengenai kesahihan percintaannya dengan Dodi, tapi ternyata di hati beliau, cuma ada seorang yang benar-benar menambat hatinya seperti diceritakan menerusi buku tulisan Kate Snell berjudul Diana: Her Last Love pada 2001.

Kisah buku itulah menjadi tunjang kepada filem arahan Hirschbiegel itu di mana betapa baru hendak menyulam bahagia merasai dicintai semula pakar bedah Doktor Hasnat Khan, impian mahu bersamanya punah meninggalkannya bertambah sengsara.

Setiap saat hidupnya sepanjang dua tahun berkenaan selepas bercerai dan tinggal seorang diri di Kensington Palace cukup menyedihkan di mana hanya kesibukannya beramal serta menjalankan misi kemanusiaan jadi cara terbaik tidak bermurung.

Namun pertemuannya dengan Hasnat mengubah segala-galanya di mana beliau mendapat semangat untuk merasai semula kegembiraan dan dengan lelaki itulah beliau mengenal semula apa ertinya bahagia.

Memang lari daripada perspektif yang mungkin diharapkan penonton namun bersedia untuk menyelami plot penceritaan di mana pengembangan kisah cintanya diselang-seli dengan buaian emosi.

Bertemu semula cinta sejati dan mengharapkan hubungan dengan Hasnat lakonan Naveen Andrews berakhir gembira, sebaik dihidu media, dari situlah beliau sendiri tahu cintanya tidak ke mana manakala kekasihnya itu pula harus berpegang kepada prinsipnya yang pentingkan privasi.

Maka, pertemuan terakhir di Hyde Park, London pada Jun 1997 menoktahkan cinta mereka dan dia sendiri yang memberi kata putus itu selepas berasakan dirinya tidak mungkin diterima keluarga Hasnat.

Jelas, Dodi bukan sesiapa dan bukannya kekasihnya seperti didakwa kerana beliau sebenarnya hanya mahu berdampingan dengan lelaki itu untuk meraih perhatian Hasnat dan membuatnya cemburu.

Kesanggupannya berkunjung ke kampung halaman Hasnat di Lahore, Pakistan juga cukup menyentuh di mana dia langsung tidak memanipulasi gelarannya sebagai puteri demi memikat hati keluarga kekasihnya itu terutama ibunya.


Naomi beraksi cemerlang

Kecaman daripada pelbagai pihak terutama sekali bagi rakyat Britain yang sendiri mengenali karakter sebenar Diana mula diterima. Bagaimanapun jika begitulah karakternya seperti ditunjukkan Naomi, ia memang cukup menyentuh.

Di sebalik senyuman yang tidak pernah mengenal situasi dan sentiasa manis itu, Diana sebenarnya sering kali tumpas dengan emosi terutama apabila berseorangan. Air mata sering jadi peneman apabila dia sudah tidak mampu menyembunyikan kesedihan.

Naomi berjaya menggambarkan karakter itu dengan cemerlang. Wajahnya tidak lekang daripada berseri namun bila di rumah, dia seakan seorang yang hilang arah tuju, murung dan kurang bermaya.

Begitu juga sewaktu dia melakonkan babak di mana dia perlu berhadapan dengan media, berucap, melawat ke lokasi terbabit untuk misi kemanusiaan, sungguh anggun pembawaan aktres itu menggambarkan Diana.

Daripada segi teknikal, muzik skor untuk filem ini cukup untuk membuai emosi dan sudah namanya filem biografi, pecahan setiap plot bukan isu utama kerana kesinambungan daripada pelbagai insiden pada dua tahun itu diceritakan dengan sempurna.

Sementara itu, dengan reaksi tidak memberangsangkan daripada rakyat Britain sendiri terhadap puteri kesayangan mereka itu, pengarahnya Hirschbiegel cukup kecewa namun tidak menyesal menghasilkan karya itu.

Dia mengakui disebabkan ulasan pedas yang diberikan pelbagai pihak itu sedikit-sebanyak mempengaruhi penonton, namun berharap mereka tidak dibayangi pandangan orang lain untuk menyaksikan Diana.

Meskipun kurang disenangi di Britain, dia bagaimanapun cukup lega selepas filem berkenaan mendapat reaksi bagus di negara lain termasuklah Poland, Republik Czech, Turki dan Slovakia.

Diana bakal menemui penonton di pawagam bermula 7 November ini.-hmetro
04.17 0

KESIAN! Rakan Hassan Perdaya Nenek (2 GAMBAR)


KESIAN! Rakan Hassan Perdaya Nenek (2 GAMBAR)PONTIAN - Seorang warga emas di sini melalui detik cemas apabila diragut seorang lelaki dalam kejadian di rumahnya di Kampung Parit Sulaiman, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 12.30 petang itu, mangsa, Tukimah Turingon, 65, sedang berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal.

Tukimah berkata, ketika itu, hanya dia dan menantu, Norani Masnan, 41, berada di rumah, manakala anak serta cucu masing-masing keluar bekerja dan bersekolah.

Menurutnya, pada mulanya, dia beranggapan lelaki itu hendak meminta pertolongan berkaitan motosikalnya.

“Rupanya dia mahu tahu mengenai arah rumah rakannya yang didakwa merupakan penduduk kampung ini.

“Mula-mula dia sebut nama rakannya ialah Hassan, pemandu teksi, kemudian mengubahnya kepada Hassan, tukang urut. Namun, tiada penduduk dimaksudkan tinggal di sini.

“Nenek beritahu, hanya Hassan yang bekerja sebagai tukang kebun sahaja tinggal di sini,” katanya.

Katanya, lelaki itu kemudiannya memintanya menunjukkan arah ke rumah Hassan berkenaan.

“Nenek terpaksa keluar dari rumah selepas berulang kali lelaki berkenaan mengajukan soalan sama.

“Ketika nenek berada di laman, lelaki itu terus merentap rantai leher sehingga nenek jatuh tersungkur,” katanya.

Dia berkata, mujur menantunya bertindak pantas cuba memukul lelaki berkenaan dengan kayu.

Sementara itu, Noraini berkata, dia rasa tidak sedap hati sebaik terdengar perbualan ibu mertuanya dengan lelaki itu.

“Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi seperti ibu terjatuh dan meminta pertolongan.

“Saya keluar dengan membawa kayu, lelaki itu yang melihat kehadiran saya kemudiannya bertindak melarikan diri dengan motosikalnya,” katanya.

Norani berkata, akibat kejadian itu, ibu mertuanya mengalami kecederaan di bahagian lutut dan siku selain kehilangan rantai emas berharga kira-kira RM3,000.

“Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Pontian,” katanya.-sinar harian
04.13 0

81,000 penjawat awam terima surat opsyen bulan ini


81,000 penjawat awam terima surat opsyen bulan ini PUTRAJAYA - Lebih 600,000 penjawat awam yang terlibat dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014 akan menerima surat tawaran opsyen itu bulan ini.
 
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, mereka perlu memberi maklum balas dalam tempoh sebulan daripada tarikh surat itu dikeluarkan oleh ketua jabatan masing-masing.
 
Menurutnya perjumpaan dengan bahagian sumber manusia di semua agensi dan kementerian terlibat untuk memberi maklumat terperinci berhubung penambahbaikan itu akan diadakan secepat mungkin.
 
Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Cuepacs mengenai skim itu di sini hari ini, Mohamad Zabidi berkata mereka yang tidak bersetuju dengan opsyen itu akan kekal dalam skim atau jawatan asal.
 
"Antara penambahbaikan itu ialah kenaikan taraf skim perkhidmatan gred 1 hingga 10 kepada gred 11, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan pertukaran nama beberapa skim seperti diminta Cuepacs dan kesatuan berkaitan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata, penambahbaikan itu adalah sejajar dengan kerja keras penjawat awam pada masa kini yang bekerja dengan cepat, tepat dan produktif.
 
Berikutan penambahbaikan terhadap 81 skim perkhidmatan itu, beliau berkata jumlah skim perkhidmatan sedia ada dapat dikurangkan daripada 274 kepada 249 skim bermula 1 Jan 2014.
 
Sebelum ini, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.
 
Sementara itu Omar berkata, skim-skim lain yang tidak termasuk dalam 81 skim yang ditambahbaik itu masih mempunyai harapan untuk mendapat peluang yang sama.
 
"Untuk skim yang lain, kami sedang berunding," katanya.  - Bernama
04.11 0

Kisah Highland Tower Yang pasti Membuatkan Anda 'meremang'... (2 GAMBAR)


Kisah Highland Tower Yang pasti Membuatkan Anda 'meremang'... (2 GAMBAR) | KISAH runtuhan Highland Tower barangkali adalah kisah baharu bagi golongan muda yang lahir sekitar awal 1990-an.

Namun, bagi mereka yang pernah mengikuti perkembangan kes runtuhan yang berlaku pada 11 Disember 1993 sehingga mengorbankan 43 nyawa, pasti tahu banyak kisah yang terdengar selepas kejadian yang meninggalkan sejarah buat negara itu.

Kini, lokasi runtuhan sering dijadikan subjek buat pemburu entiti paranormal, begitu juga dengan penggiat seni yang mahu mencari kelainan dalam fi lem terbitan mereka.

Oleh kerana itu barangkali ada penonton yang sudah boleh mengagak tahap keseraman yang akan dialami sebaik menonton filem itu.

Namun, berbeza dengan karya terbaru dari Pierre Andre ini, filem yang menggunakan judul sama dengan nama kondominium itu memberi satu momentum baharu buat penggemar filem seram kerana ia bukanlah filem hantu tipikal yang biasa kita lihat dalam filem seram.

Apatah lagi filem ini melalui penggambaran dalam konsep found footage (sebahagian rakaman filem yang dijumpai atau dalam bentuk rakaman video) membuatkan jalan cerita terasa lebih real meskipun melalui proses suntingan seperti filem biasa.

Meskipun masih menerapkan unsur jeritan dan larian, namun segala tindak tanduk itu kena dengan situasi dan lebih penting ke semua peranan iaitu Mikael Andre, Nizam Zaidi, Eddy Rauf, Shima Anuar, Atikah Suhaimi dan Adibah Yunus; yang membawa nama sama dalam

filem ini tidak nampak terlalu 'terbuat-buat'.

Secara ringkasnya filem ini mengisahkan Mika (Mikael) dan Nizam mempunyai idea untuk membuat dokumentari pendek di sebuah tempat seram, di mana mereka akan membuat liputan di sebuah bangunan yang bernama Highland Tower.

Dengan bantuan pihak produksi daripada MiG, Mika dan Nizam berjaya mendapat dana daripada pihak produksi tersebut kerana mereka berminat dengan idea yang dibentangkan oleh mereka dan turut menambah krew bagi membantu melancarkan penggambaran iaitu Shima Anuar, Atikah, Adibah, Eddy dan Kamal.

Namun, sebaik penggambaran bermula pada waktu tengah malam, pelbagai peristiwa pelik mula berlaku sehingga Atikah dan Shima di rasuk!

Kekuatan sinematografi 

Bagi penulis perkara utama yang menjadi titik penting dalam sesebuah filem seram adalah kisah dan lokasinya.

Tanpa melibatkan makhluk dengan rupa yang menakutkan, filem yang berbentuk seakan dokumentari ini telah memberikan satu perasaan aneh pada penonton hanya dengan melihat sinematografi atau lokasi Highland Tower itu sendiri.

Dengan suasana sunyi, bangunan usang dan semak samun, ia sudah cukup memberi satu debaran yang tersendiri buat penonton.

Apatah lagi, Pierre bijak memancing perhatian penonton dengan meletakkan sedikit babak seram pada permulaan jalan cerita sebelum membawa penonton 'menjelajahi' Highland Tower.

Lakonan mantap!

Meskipun mempertaruhkan muka-muka baru dalam filem ini, bagi penulis lakonan mereka tidak wajar dipandang enteng terutamanya Eddy, Mikael dan Nizam.

Malahan kali ini, Eddy dan Mikael dilihat lebih berjaya mengemudi watak masing-masing dan Eddy kerap menimbulkan rasa lucu kerana sikapnya yang begitu takut sehingga beberapa kali mengajak rakannya untuk pulang.

Justeru, bagi pembaca yang masih belum menonton Highland Tower, penulis sarankan untuk menonton filem ini kerana ia lain dari lain dan anda akan saksikan sendiri keseramannya.-sinar harian
04.09 0

Stesen Minyak Ini Akhirnya Kantoi Tipu Pengguna


Stesen Minyak Ini Akhirnya Kantoi Tipu Pengguna | IPOH - Dalam bahasa mudah, pengguna sepatutnya menerima 70 liter petrol untuk RM100, tetapi sebaliknya hanya menerima 65 liter sahaja.

Itu penipuan yang berlaku di tiga stesen minyak sekitar Silibin dan Chemor didapati mengubah suai pam pengagih minyak (pump dispenser) bagi mengaut keuntungan dengan cepat sejak beberapa bulan lalu.

Daripada tiga stesen diserbu, hanya satu daripadanya disita secara keseluruhannya kerana kesemua 26 pam pengagih minyak telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Metrologi Corporation Malaysia (MCM) Sdn Bhd.

Penipuan itu dikesan selepas pengguna kenderaan mendapati sukatan petrol atau diesel kurang dengan harga sebenar dan mereka bertindak membuat aduan ke Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri.

Penolong Pengarah Kanan Unit Metrologi Sah Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK Putrajaya, Mohd Zulkifli Saidi berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau bersama 10 pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan sejak jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, dalam Ops Sekat Minyak itu, pihaknya berjaya mengesan sebuah stesen minyak yang menjalankan kegiatan tersebut selepas membuat pemeriksaan menggunakan silinder penyukat bahan api.

“Malah, sebuah lagi stesen minyak turut dikesan melakukan perkara yang sama ke atas tiga pam di premis mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, premis yang gagal menepati kehendak kementerian disita supaya pam pengagih minyak tersebut dapat memperbaharui penentusahan semula dengan MCM Sdn Bhd.

“Sepatutnya, pengusaha stesen minyak perlu memperbaharui penentusahan semula pam tersebut genap 12 bulan bagi memastikan alat timbang dan sukatnya tepat.

“Kita menggesa semua pengusaha stesen minyak mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zulkifli berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM4,000 bagi setiap sukatan yang
diselewengkan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi diperluas ke seluruh negara bagi memastikan pengusaha tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih.-sinar harian
04.08 0

Misteri tapak kaki gergasi (3 GAMBAR)


Misteri tapak kaki gergasi (3 GAMBAR)MARANG - Penemuan kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk luar biasa dalam kebun kelapa sawit di kawasan hutan Bukit Mak Ra di Pengkalan Berangan, di sini, menggemparkan penduduk setempat, selain menimbulkan pelbagai andaian.

Wakil penduduk, Mat Adam Mat Amin, 60, mendakwa, beberapa kesan tapak kaki ganjil itu ditemui anak sepupunya di sekitar kawasan kebun kelapa sawit milik keluarga mereka di kawasan hutan berkenaan sejak seminggu lalu.

Katanya, selepas diberitahu mengenainya, dia bersama beberapa penduduk kampung terus ke kebun berkenaan lalu menemui beberapa kesan tapak kaki ganjil.

“Kesan tapak itu seperti tapak kaki manusia gergasi dan mempunyai dua saiz. Tapak kaki bersaiz besar kira-kira 40 sentimeter panjang dan 20 sentimeter lebar manakala yang bersaiz kecil 30 sentimeter panjang dan 15 sentimeter lebar,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Adam yang lebih dikenali sebagai Pak Rani berkata, mereka percaya dua saiz tapak kaki berbeza itu adalah milik makhluk hidup berkaki dua yang mempunyai ketinggian dan berat luar biasa berbanding manusia normal.

“Berdasarkan kedalaman tapak kaki berkenaan, makhluk hidup berkaki dua itu mungkin mempunyai berat melebihi 300 kilogram bagi tapak kaki besar, dan berat sekitar 200 kilogram bagi tapak kaki yang kecil,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Pak Rani dan beberapa penduduk di kawasan kebun kelapa sawit itu mendapati beberapa kesan tapak kaki masih jelas kelihatan walaupun sedikit berubah kerana faktor hujan dan sebagainya.

Bagaimanapun kata Pak Rani yang diberi tanggungjawab menjaga kebun berkenaan, sehingga kini belum ada penduduk terserempak dengan makhluk ganjil termasuk spesies binatang buas di kawasan hutan tersebut.

Penemuan bukan kali pertama

Sementara itu, rakannya, Daud Ali, 50, mendakwa, kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk seperti kaki manusia sudah ditemui sejak 17 tahun lalu iaitu pada 1996 di kawasan hutan Bukit Temiang dan pada 1997 di Bukit Jejulung.

“Malah ada juga pihak pernah melihat kelibat ‘makhluk gergasi’ yang dipercayai ada hubung kait dengan penemuan kesan tapak kaki tersebut di jambatan Kampung Bukit Jetit apabila makhluk setinggi tiang api (elektrik) itu melintas jalan,” katanya.

Bagi Daud, penemuan kesan tapak kaki tersebut mungkin ada persamaan dengan misteri kewujudan ‘big foot’  iaitu makhluk yang dikatakan mempunyai bulu di seluruh badannya.

“Namun, sehingga kini masih tiada penemuan sebenar tentang makhluk itu menyebabkan andaian mengenai tapak kaki tersebut adalah tapak kaki ‘big foot’ terus menjadi misteri,” katanya.

Difahamkan, pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan ‘big foot’ juga dilakukan penduduk di kawasan berkenaan diketuai Pak Rani.

Bagi seorang pemuda, Mohd Zullaidi Wahab, 33, penemuan kesan tapak kaki itu menjadi bualan penduduk khususnya golongan muda, namun bagi sesetengah golongan berusia, ia dianggap perkara biasa.

“Ini kerana mereka sering menemui kesan tapak kaki tersebut, namun tidak menghebohkan perkara itu kerana bimbang akan menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat,” katanya.-sinar harian