Searching...
Jumat, 01 Maret 2013
03.06 0

Penceroboh Dakwa 10 Anggotanya Mati



Penceroboh Dakwa 10 Anggotanya Mati | Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram – Azzimudie Kiram – yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.
“Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut,” kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan berlaku insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu tetapi menegaskan bahawa pasukan keselamatan Malaysia tidak melepaskan tembakan.

“Saya mengesahkan pasukan keselamatan kita tidak melepaskan walau satu das tembakan pun, sebaliknya ditembak pada 10 pagi ini!” katanya dalam mesej tweet tanpa menyebut sama ada operasi dijalankan untuk menahan penceroboh bersenjata itu.

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu sidang media di sini bahawa Malaysia telah memberi tempoh sewajarnya untuk mengusir kira-kira 150 penceroboh itu supaya berundur dan pulang ke tanah air mereka.
Malah, beliau berkata Malaysia sudah banyak berlembut dengan memberi ruang secukupnya dalam beberapa siri rundingan dan kaedah diplomasi.

“Saya mengingatkan kumpulan penceroboh yang memasuki negara ini agar tidak menuduh Malaysia tidak beri waktu dan ruang secukupnya kepada mereka untuk berundur dari negara ini.

“Malaysia sudah banyak berlembut dengan cara rundingan dan diplomasi,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Pergerakan Pemuda Malaysia Palestin di Jabatan Pertahanan Awam.

Menurut sumber pasukan keselamatan, operasi menahan penceroboh itu dipercayai dijalankan secara bersepadu melibatkan pasukan polis dan tentera termasuk Pasukan Gerakan Am, pasukan Komando 69 dan polis marin.

Keadaan di pekan Lahad Datu tegang dengan banyak premis kedai ditutup manakala penduduk pula tidak keluar dari kediaman masing-masing.

Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Feb lepas apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke perairan Malaysia pada 9 Feb dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung itu sebagai pangkalan mereka.

Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera ‘Raja Sulu’ dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.

Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air.
Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina itu.

Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan
itu. – Bernama


via
02.05 0

Keputusan Rayuan SBP 2013 Tingkatan 4 Ambilan Kedua



Keputusan Rayuan SBP 2013 Tingkatan 4 Ambilan Kedua | Semakan keputusan rayuan SBP 2013 Tingkatan 4 atau ambilan kedua. Bagi calon yang telah membuat permohonan rayuan pada sebelum ni untuk kemasukan sekolah berasrama penuh, anda boleh membuat semakan mulai 27 Februari 2013. Kenyataan ini juga dikeluarkan rasmi oleh kementerian pelajaran Malaysia.

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Ambilan Kedua Ke Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2013 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 27 Februari 2013 (Rabu).

Semakan boleh dibuat dilaman http://www.moe.gov.my/

01.59 0

Seram: Rakan Sebilik Berubah Selepas Didatangi Kain Putih



Seram: Rakan Sebilik Berubah Selepas Didatangi Kain Putih | Cerita ini berlaku kalau tak silap aku pada tahun 1985. Ketika itu aku masih menuntut disalah sebuah institusi pengajian tinggi. Aku tinggal diasrama tingkat 4. Waktu itu kebanyakan pelajar balik kampung sebab hujung minggu. Maka tinggallah aku bersama rakan sebilikku. Kami tidak balik sebab sibuk menyiapkan term paper.

Jam menunjukkan pukul 2:30 pagi. Aming rakan sebilikku dah lama dibuai mimpi. Dia memang kurang sihat sejak dari petang tadi. Cuaca diluar agak suram dengan pancaran kilat sekali sekala menanda hujan akan turun tidak lama lagi. Meja studyku menghadap ketingkap. Suasana diluar memang gelap. Sesekali ketika kilat memancar, nampak dedahan kering diluar. Angin bertiup semakin kencang. Aku memperlahankan radio untuk tidak menganggu Aming. Siarannya pun sering terganggu apabila kilat memancar.

Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar Aming mengerang. Dia meracau-racau. Aku tidak berapa dengar apa yang dia sebutkan. Dia nampak gelisah. Matanya tertutup rapat. Cuma badannya mengeliat-ngeliat seperti orang diikat badannya. Kakinya kejang dan tangannya mengengam penumbuk. Sekali lagi aku tersentak apabila terdengar lolongan diluar. Bulu romaku mula berdiri. Ini tak boleh jadi ni, fikir hatiku. Aku cuba mengejut Aming. Dia masih meracau. Badannya yang panas terasa keras seolah-olah dia menahan nafasnya.

Dentuman guruh diluar betul-betul membuat aku hilang semangat. Badanku terasa seram sejuk. Lolongan diluar bertambah rancak. Hujan mula turun dengan lebatnya dengan pancaran kilat dan dentuman guruh yang menggila. Aku bingkas bangun untuk menutup tingkap.

 Ketika itu aku ternampak sesuatu berwarna putih terawang-awang disebelah pokok besar betul-betul dihadapan tingkap. Aku tersentak dan mengucap beberapa kali. Disaat itu aku terdengar suara mengilai yang nyaring dan benda putih yang seperti kain tadi semakin menghampiri tingkap. Aku kaku dan terduduk disebelah katil Aming.

Aku cuba mengejut Aming yang masih meracau-racau dalam bahasa yang aku tidak tahu. Badannya masih keras. Aku memanggil namanya beberapa kali. Tiba-tiba matanya terbeliak melihat syiling. Matanya merah. Dia tidak meracau tetapi mengerang-ngerang. Disaat yang sama aku terasa deruan angin dimukaku. Bunyi hilaian tadi memenuhi ruang bilik kami. Aku mendongak kesyiling.

Dimasa itu aku terasa sangat lemah dan tidak dapat berbuat apa-apa. Apa yang aku lihat sangat mengerikan. Kain putih tadi telah berada didalam bilik kami. Ianya seolah-olah tersangkut pada kipas syiling. Berpusing-pusing sambil mengilai.

Suaraku tersekat. Aku cuma mampu melihat. Tiba-tiba bahuku digengam Aming dengan kuatnya. Matanya yang merah masih terbeliak. Mulutnya berbuih. Aku cuba menjerit, tetapi suaraku tidak keluar. Aku mengucap didalam hati beberapa kali. Hilaian dari kain putih tadi memekak telingaku. Akhirnya aku berjaya melaungkan azan. Sungguhpun perlahan, tetapi berjaya menenangkan keadaan. Suara hilaian tadi menjadi sayup-sayup dan akhirnya hilang ditelan bunyi hujan lebat diluar. Kain putih yang berlegar disyiling pun ghaib entah kemana. Gengaman Aming semakin lemah dan akhirnya tangannya terkulai. Nafas kami sesak seperti baru lepas berlari jauh. Peluh membasahi muka kami. Aming telah mula sedar.

Dia memberitahu aku yang dia telah dihimpap sesuatu yang berat sehingga sukar untuk bernafas. Katanya lagi dia beberapa kali meminta tolong dariku tetapi aku seolah-olah tidak menghiraukannya. Aku tanya adakah dia melihat apa yang berlaku sebentar tadi. Dia kebingungan. Katanya dia cuma melihat aku dimeja studyku. Aku sendiri kebingungan. Dia seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku.

Jam menunjukkan hampir pukul 6:00 pagi. Sayup-sayup terdengar bacaan ayat-ayat suci dari masjid yang berdekatan. Aku bersyukur kami berdua selamat meskipun masing-masing mengalami dua kejadian yang berlainan dalam waktu yang sama.


01.47 0

Misteri! Roh Isteri Jengah Suami Di Felda Hulu Tebrau



Misteri! Roh Isteri Jengah Suami Di Felda Hulu Tebrau | Kelmarin, saya terbaca sebuah artikel menarik di Majalah Mastika edisi Mei 2008, yang telah dibeli lebih sebulan yang lalu tetapi belum berkesempatan untuk membacanya. Saya mulanya tertarik dengan tajuk kecil di kulit Majalah berbunyi ‘Politik Malaysia dalam bahaya? ‘ lantas membelinya.

Artikel yang paling menarik itu adalah di muka surat 26, tulisan wartawan terkenal Mastika, saudara Shahidan Jaafar bertajuk “ Roh isteri jengah suami di Felda Hulu Tebrau”.

Berdasarkan maklumat dari artikel tersebut, saya membuat carian di internet ke atas nama ‘Dr Talib Samat – UPSI’ , dan hasilnya beliau adalah Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Artikel ini berkenaan arwah ibunya yang telah meninggal dunia tetapi rohnya masih berkunjung ke rumah keluarga mereka di kampung Felda Hulu Tebrau untuk berbual2 dengan ayahnya. Dr Talib mengundang Mastika untuk menyiarkan kisah ini untuk dijadikan iktibar dan pedoman kepada kita semua.

Pada hari Jumaat 30 November 2007, jam 12.05 tengahari, ibu kepada Dr Talib Samat, Puan Nea Mohd Zain, 75 telah meninggal dunia dan disemadikan pada petangnya di Tanah Perkuburan Islam Hulu Tebrau. Di sini saya petik sebahagian isi artikel tersebut sepertimana yang diceritakan Encik Samat Tukiman, 75, kepada wartawan Mastika.


Pakcik Samat Tukiman, foto kecil – almarhum makcik Nea Mohd Zain ( moga2 kita bertaubat bersungguh-sungguh demi menelusuri jejak langkah kesolehan makcik Nea)

MALAM itu, majlis tahlil arwah diadakan. Jiran-jiran dan saudara-mara terdekat dijemput.Tiba-tiba ketika majlis tahlil sedang berlangsung, Samat terpandang arwah isterinya datang dengan memakai telekung putih.

Arwah isterinya muncul dari pintu utama dan kemudian berjalan ke kelompok jemaah wanita. Setelah itu, arwah mendekatinya. Samat melihat tubuh isterinya tidak longlai seperti ketika dia sedang sakit dahulu. Tubuhnya segar dan kuat.

“Saya sihat!” jelas arwah isterinya sambil memerhatikan orang yang sedang bertahlil.

Samat senyum dan mengangguk. “Ramai orang di rumah kita ni!?” tanya arwah isterinya.

“Tengah tahlil, baca doa untuk awak!” beritahu Samat.

“Baguslah! Tapi di sana lebih istimewa. Kawan-kawan pun ramai,” beritahu arwah isterinya lagi.

Arwah isterinya itu tidak lama menghadiri majlis tahlil. Setelah muncul beberapa minit dan berbual-bual dengan Samat, wanita itu berjalan menerusi pintu utama dan terus ghaib.

Ketika itu tiada sesiapa yang menyedari kehadiran arwah kecuali Samat seorang.

Pada malam kedua, arwah isterinya datang lagi ketika majlis tahlil sedang berlangsung.

“Masih tahlil lagi?” tanya arwah isterinya.

“Ya. Tahlil,”jawab Samat.

Pada malam berkenaan, itulah sahaja perkara yang ditanya arwah isterinya.

Malam-malam berikutnya, arwah isterinya datang lagi, semasa majlis tahlil diadakan. Selepas bertanya khabar, wanita itu menghilangkan diri semula.

Namun pada malam ketujuh, arwah datang dengan membawa rombongan kawan-kawannya
seramai lebih kurang 60 orang. Setiap ceruk rumahnya penuh dengan kawan-kawan arwah
isterinya. Semua wanita yang dibawa isterinya itu memakai telekung putih, seorang pun tidak dikenalinya.

“Macammana di sana (kubur) ?” tanya Samat.

“Lagi istimewa. Dalam kubur, ada cahaya terang benderang!”

Semasa berbual-bual itu, arwah banyak mengingatkan supaya jangan lupa sembahyang, bersedekah dan membuat ibadat supaya apabila meninggal dunia kelak kuburnya dilimpahi cahaya terang-benderang.

Samat juga diberi gambaran oleh arwah keadaan di kuburnya tidaklah sunyi dan gelap seperti disangka tetapi terang benderang seperti sebuah bandar.

“Rumah kita ni gelap sikit. Tapi sana (kubur) macam bandar, terang-benderangl”
beritahu isterinya lagi.

Rakan-rakan arwah semuanya hanya mendiamkan diri.

Samat sempat bertanya arwah bagaimana corak kehidupan dalam kubur.

” Sana saya bukan makan nasi, saya makan kalimah syahadah, lailahaillah dah kenyang,” beritahu isterinya lagi.

Setelah majlis tahlil berakhir, arwah isterinya mengajak 60 orang rakannya tadi pulang. Tapi sebelum pulang, sekali lagi arwah isterinya berpesan kepada Samat supaya jangan lupa bersembahyang.

“Kalau berhutang boleh dibayar tapi sembahyang, wajib kena buat,” pesan
arwah lagi.

Samat juga pernah bertembung dengan arwah isterinya dalam sebuah kereta ketika
dalam perjalanan menghantar anaknya, Dr. Talib ke perhentian bas di Larkin, Johor Bahru.

Apabila ditanya Samat, arwah isterinya memberitahu dia sengaja datang untuk mengetahui ke mana anak dan suaminya hendak pergi. Arwah muncul dan sepantas kilat boleh menghilangkan diri – lolos ketika kereta sedang laju bergerak.

Samat juga pernah bertembung dengan isterinya ketika mereka sekeluarga sedang minum di restoran.

Roh arwah juga ada kalanya muncul untuk menolong Samat ketika orang tua itu dalam kesusahan, mengangkat barang seperti kerusi atau menyapu sampah.

“Pernah arwah tolong cabutkan pokok cempaka tu!” cerita Samat. Pokok cempaka tersebut sudah bergoyang- goyang akarnya. Tidak semena-mena arwah isteri Samat datang membantunya mencabut pokok tersebut.


Pakcik Samat berbual dengan arwah isterinya, di sebelahnya adalah anaknya Ashidah, adik Dr Talib.

KETIKA  wartawan  Shahidan Jaafar sedang berbual-bual di meja makan di dapur ( dalam pukul 4.00 petang) dengan Samat, tiba-tiba orang tua itu memberitahu arwah isterinya datang.

“Kenapa?, tanya Samat. Ini wartawan Mastika, Shahidan Jaafar. Ini Talib punya syor, Talib suruh masuk cerita awak dalam Mastika, boleh?” kata Samat seolah-olah bertanya kepada arwah isterinya.

Kemudian Samat diam.

“Tak apa! Dia kata boleh tulis. Ceritalah” beritahu Samat seketika kemudian.
Samat menjelaskan, arwah isterinya datang bertudung biasa.

Setengah jam kemudia, sekali lagi isterinya datang, kali ini duduk di atas kusyen pula.

“Awak nampak? Nampak ya? Inilah wartawan Mastika tu!” kata Samat

“Tadi dia beritahu saya, dia nampak wartawan Mastika. Dia kata, baguslah cerita perkara-perkara lama. Dia tanya, Wartwan Mastika nak tidur sini ke?”

“Saya kata tak, Datang nak interviu saja. Dia tanya nakbuat apa? Nak buat pedoman dan iktibar dalam Mastika ke? ” tanya Samat.

Ya! Cerita ini untuk pedoman dan iktibar!

NOTA: Anak-anak Samat juga sering merakam interaksi antara orang’ tua itu dengan arwah ibu mereka. Seperti yang dialami Mastika, gambar dan video yang mereka rakam itu menunjukkan Samat berbual seorang diri. Bayangan arwah ibu mereka tidak kelihatan langsung. Kata mereka, Samat sihat. Percakapan ayah mereka itu normal. Ingatannya masih waras. Selepas seminggu mengunjungi Samat, kami menerima SMS daripada anaknya, Dr. Talib Samat yang memberitahu ada perkembangan terbaru daripada adiknya, Ashidah Samat di Felda Hulu Tebrau di Johor.

“Arwah mak saya menghubungi Mak cik Niah, isteri Pak cik Sitam, jiran kami. Roh mak saya ucap terima kasih kerana pimpin majlis tahlil untuknya. Ini menunjukkan betapa arwah mak saya dapat menghubungi orang luar keluarga saya.  Terimakasih. Dr. Talib Samat.”




01.41 0

Mengapa Keluarga Ini Menjamu Tetamu Dalam Gelap



Mengapa Keluarga Ini Menjamu Tetamu Dalam Gelap | Seorang telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan telah menceritakan kepada Baginda s.a.w. tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu Baginda s.a.w. tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri Baginda s.a.w. mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu.

Baginda s.a.w. kemudian bertanya kepada para sahabat,”Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?” Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, “Wahai Rasulullah s.a.w. , saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu.”

Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, “Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah s.a.w. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita.” Lalu isterinya menjawab, “Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?”

Orang Ansar itu pun berkata, “Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidakk akan ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya.”

Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang.

Berikutan dengan peristiwa itu, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud, “Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan.” (Al-Hasy : 9)


01.34 0

Pencerobohan di Lahad Datu sudah tamat



Pencerobohan di Lahad Datu sudah tamat | Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DPA) Raul Hernandez berkata pencerobohan sekumpulan pengikut sultan Sulu di Sabah sudah tamat, lapor akhbar The Philippine Inquirer.

Hernandez memberitahu satu sidang akhbar bahawa duta Malaysia Mohammad Zamri Mohammad Kassim bertemu dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert Del Rosario di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) untuk memaklumkanbahawa pihak berkuasa Malaysia telah menyerang kampung tempat kumpulan penceroboh Sulu itu berkubu.

Memetik laporan yang diberikan oleh duta Malaysia, Hernandez berkata 10 pengikut sultan Sulu telah menyerahkan dari.

Beliau juga berkata tiga orang terbunuh – dua anggota polis Malaysia dan pemilik rumah di mana adik sultan, Azzimudie Kiram tinggal.

Hernandez berkata DFA sedang mengesahkan dakwaan sultan Sulu di Manila bahawa 10 pengikut terbunuh dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, akhbar The Star melaporkan polis di Lahad Datu berkata mereka tidak menerima sebarang arahan untuk menguatkuasakan perintah darurat.

Ketua Polis Daerah Semporna Timbalan Supt Firdaus Francis Abdullah berkata mereka semua bersiap sedia, bersama-sama dengan pasukan keselamatan lain.

“Kami masih belum menerima apa-apa perintah darurat dari pihak berkuasa atasan,” kata Firdaus, sambil menambah bahawa langkah berjaga-jaga adalah perlu dan rakyat perlu bertenang.

“Ramai yang bimbang masalah itu akan merebak ke Semporna, tetapi sebenarnya tidak perlu bimbang di sini sebagai lelaki bersenjata Sulu telah dikepung di Lahad Datu,” katanya